Penjelasan kuota perumahan Kedah oleh MP Sungai Petani
SUNGAI PETANI - Baru-baru ini masyarakat sering digembar-gemburkan dengan isu kuota perumahan di negeri Kedah yang dilabelkan rakyat atau sesetengah pihak sebagai tidak adil. Namun begitu, rata-rata yang melabelkan kuota perumahan yang telah dinaikkan menjadi 50 peratus kepada bukan Bumiputera dan 50 peratus kepada Bumiputera daripada kuota asal 70 peratus kepada bukan Bumiputera dan 30 peratus kepada Bumiputera sebagai tidak adil sebenarnya disalahtafsirkan.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul berkata, sebenarnya isu ini tidak seharusnya dikecohkan rakyat kerana penjelasan sebenarnya mengenai tindakan Kerajaan Negeri menaikkan kuota berkenaan adalah adil dan saksama kepada rakyat, namun ianya hanya berbeza dalam aspek tertentu sahaja.
“Sebenarnya pemahaman rakyat mengenai isu ini yang salah faham perlu diperbetulkan. Kerajaan Negeri hanya mengguna pakai kuota perumahan 50-50 ini adalah jika berlakunya proses ‘swapping’ tanah,” katanya yang telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Kedah pada petang Rabu lepas di Wisma Darul Aman tentang perkara ini.
Menurutnya, jika dilihat dari sudut tanah individu di dalam bandar, terdapat tiga jenis tanah yang boleh dikategorikan iaitu tanah kerajaan, tanah milik bebas (free hold) dan tanah rizab Melayu.
“Selama ini untuk setiap pembangunan perumahan bagi tanah milik bebas, Kerajaan Negeri kenakan kuota perumahan sebanyak 70 peratus untuk bukan bumiputera dan 30 peratus lagi untuk Bumiputera"
“Namun, setelah dikaji, terdapat banyak tanah rizab melayu di kawasan bandar dan tidak dibangunkan berikutan faktor tidak berkemampuan untuk dibangunkan oleh tuan tanah dan kita lihat terdapat banyak tanah milik bebas di kawasan pedalaman negeri ini yang juga tidak dibangunkan,” katanya.
Johari berkata, individu yang ingin melakukan proses ‘swapping’ atau pertukaran tanah di antara tanah milik bebas di kawasan lain dengan tanah rizab melayu di kawasan yang ingin dibangunkan, tanah yang dahulunya tanah rizab Melayu tetapi ditukarkan menjadi milik bebas maka kuota perumahan sebanyak 50 peratus untuk Bumiputera dan 50 peratus lagi untuk bukan Bumiputera akan dikenakan Kerajaan Negeri.
“Jadi untuk pembangunan perumahan tanah milik bebas yang tidak berlaku ‘swapping’ akan dikenakan kuota perumahan seperti sediakala iaitu 70-30 dan rakyat perlu faham mengenai perkara ini sejelas-jelasnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak yang terlibat agar menjelaskan perkara ini kepada rakyat yang kebanyakannya hanya golongan biasa sahaja dan sukar memahami proses kuota perumahan yang berlaku sedikit perubahan ini.
“Apa yang Kerajaan Negeri buat adalah untuk memberikan sesuatu yang adil dan saksama kepada semua dan Menteri Besar turut menegaskan Kerajaan Negeri juga tidak mahu mana-mana pihak teraniaya,” kata Johari.
Beliau turut menyarankan mana-mana pihak yang ingin melakukan proses ‘swapping’ tanah boleh berurusan seperti biasa di Pejabat Tanah dan Daerah di tempat masing-masing.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan bahawa pihak Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia Cawangan Kedah / Perlis (REHDA) telah memohon maaf kepada Kerajaan Negeri tentang isu kuota perumahan yang telah dibangkitkan ini.
Selain itu katanya, wakil rakyat juga diminta untuk memberikan penerangan kepada semua rakyat tentang isu kuota perumahan ini agar rakyat mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai hal ini. Beliau turut memberitahu, Menteri Besar juga sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan keterbukaan dengan semua pihak dalam usaha untuk membangunkan Negeri Kedah terutamanya untuk mengusahakan tanah-tanah terbiar.
No comments
Post a Comment