Najib Harap Isu Peralihan Kuasa Tak Jejas Wanita Umno



PETALING JAYA, 18 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap isu peralihan kuasa Wanita Umno akan dapat diatasi tanpa menjejaskan kewibawaan pergerakan itu.

Katanya adalah penting perbezaan pendapat berhubung peralihan kuasa Wanita Umno diatasi secepat mungkin kerana kepimpinan Umno tidak ingin melihat kewibawaan pergerakan tersebut terjejas kerana ia juga akan secara tidak langsung melemahkan Umno.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Air Asia Pasifik 2008 di Subang Jaya dekat sini hari ini, Najib berkata Wanita Umno kini mempunyai dua pendapat iaitu satu yang ingin melihat pelan peralihan kuasa yang dicadangkan oleh Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz kekal dan satu lagi yang ingin mempercepatkan pelan tersebut.

"Oleh kerana itu Wanita Umno perlu mencari jalan penyelesaian. Kalau cara rundingan tidak berjaya mereka kena putuskan sendiri cara yang paling baik untuk menyelesaikan masalah itu. Apapun keputusan mereka diharap kewibawaan pergerakan Wanita Umno tidak akan tergugat kerana masalah ini," katanya.

Masalah dalam pergerakan itu timbul apabila sebahagian daripada anggota dan pemimpin peringkat bahagian dan negeri mahukan peralihan kuasa daripada Rafidah kepada naibnya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dipercepatkan ke Mac manakala sebahagian lagi mahukan ia kekal pada Jun.

Walaupun Shahrizat berkata beliau akur dengan pelan peralihan kuasa itu, sebanyak 73 Bahagian Umno masih mahukan beliau bertanding Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti Mac ini.

Di KOTA KINABALU, Ketua Penerangan Wanita Umno Sabah Datuk Jainab Ahmad hari ini sekali lagi meminta Rafidah untuk mempertimbangm mempercepat peralihan kuasa supaya pemilihan dapat berjalan dengan lancar pada Mac depan.

Katanya seperti Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengambil kira perpaduan dan sanggup berkorban untuk tidak bertanding pada pemilihan nanti, Rafidah harus juga memikirkan kemahuan akar umbi.

Jainab yang juga ketua wanita Sepanggar berkata walaupun 14 daripada 25 bahagian wanita di Sabah telah mencalonkan Shahrizat untuk pucuk pimpinan tertinggi pergerakan itu, beliau percaya 11 bahagian lain itu juga menyokong Shahrizat walaupun pada mulanya akur mengikut proses peralihan kuasa.

Beliau juga berkata kenyataan Ketua Pergerakan Wanita Umno Sabah Senator Datuk Armani Mahiruddin yang disalah ertikan sebagai kenyataan individu, sebenarnya berasaskan kepada sokongan 14 bahagian yang inginkan Shahrizat sebagai ketua.

"Kami sebenarnya sayang kepada kedua-dua (Rafidah dan Shahrizat) ... Tetapi jika Datuk Kamilia Ibrahim juga ingin bertanding naib, maka apa akan terjadi?," katanya, sambil menambah banyak bahagian juga telah menyokong Kamilia untuk jawatan naib tersebut.

Jainab yang ditemui pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata Wanita Umno Sabah juga bercadang mengadakan mesyuarat mengenai perkara ini dan diharapkan satu kenyataan sebulat suara dapat dicapai.

Wanita Umno Johor telahpun mengeluarkan kenyataan meminta Rafidah, Shahrizat dan Kamilia berjumpa untuk menyelesaikan masalah tersebut, supaya tiada pertandingan bagi pucuk pimpinan tertinggi Mac nanti.

Abdullah yang berada di Uzbekistan, hari ini dilaporkan berkata beliau akan menemui pemimpin-pemimpin Wanita Umno sekembali ke tanah air.

Perdana Menteri itu berkata pada mulanya beliau berharap Wanita Umno dapat menyelesaikan sendiri masalah peralihan kuasa dalam pergerakan itu, namun ianya berlarutan dan beliau akan cuba membantu tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.