ADAKAH ADA JAMINAN HARGA BARANG AKAN TURUN?
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Pengumuman mengenai penurunan harga petrol dan diesel sebanyak 15 sen seliter yang berkuat kuasa Selasa melegakan persatuan pengguna tetapi pada masa yang sama pengguna diminta supaya berjimat cermat kerana penurunan itu tidak memberi kesan kepada harga barangan lain.
Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pemantauan persatuan itu mendapati harga barang tidak turun meskipun harga petrol dan diesel diturunkan empat kali sebelum ini.
"Walaupun kempen penurunan harga sedang giat dijalankan, tetapi ia tidak menyeluruh. Ia hanya melibatkan produk-produk tertentu sahaja. Kami berharap harga barangan akan lebih stabil," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam Isnin.
Beliau berkata pada kebiasaannya harga barang akan melambung tinggi ketika harga minyak meningkat, tetapi tidak mengalami perubahan ketara apabila harga itu diturunkan.
"Oleh itu pengguna perlu mengambil langkah bijak dengan memilih produk yang lebih murah," katanya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan mengumumkan harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.15 seliter kepada RM2 seliter, manakala petrol RON 92 dan diesel dikurangkan kepada RM1.90 sen seliter berbanding RM2.05 seliter sebelum ini.
Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N. Marimuthu menyifatkan pengumuman itu membuktikan kerajaan melaksanakan janji untuk menurunkan harga minyak jika harga minyak di pasaran dunia turun.
Beliau bagaimanapun mengingatkan para pengguna supaya merancang penggunaan bahan api kerana bekalan itu akan pupus suatu hari nanti.
"Fomca juga meminta para peniaga tidak lagi menjadikan harga bahan api sebagai alasan untuk menaikkan harga barang," katanya.
Penurunan harga minyak itu bagaimanapun dilihat tidak memberikan impak ketara terhadap pengusaha bas kerana mereka menerima subsidi diesel pada harga RM1.42 seliter, kata Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia Datuk Mohamad Ashfar Ali.
"Ia tidak beri apa-apa kesan kepada bas sebab kebanyakan barang yang kita gunakan merupakan barangan import. Kami sebaliknya mengharapkan harga tambang bas boleh dinaikkan seperti yang dicadangkan sebelum ini," kata Mohamad Ashfar.
Beliau juga berharap harga subsidi diesel diturunkan kepada RM1 seliter kepada pengusaha bas selepas ini, sekiranya tambang tidak boleh dinaikkan.
Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi, Limosin dan Kereta Sewa Malaysia, Yusoff Lahir meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberi subsidi petrol kepada 26 ribu pemilik kereta sewa dan teksi di Lembah Klang.
"Penurunan harga minyak ini tidak beri kesan besar kepada kami yang menggunakan NGV. Tetapi kami harap pemilik kereta sewa dan teksi yang menggunakan petrol dapat subsidi seperti di Kedah," katanya.
-- BERNAMA
No comments
Post a Comment