Demontrasi 'bogel' perbuatan tidak bermaruah - Nik Aziz


Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis) mengadakan demontrasi 'bogel' bagi membantah kerajaan Selangor menaik kadar sewa rumah Projek Perumahan Rakyat sebagai tidak bermaruah.
Iklan




Menteri Besar Kelantan berkata, tindakan untuk berbogel sebagai membantah kerajaan Selangor bukan satu cara demontrasi yang wajar dilakukan.

"Kisah Nabi Adam a.s dimurkai Allah sehingga telah dibogelkan dan dihantar ke atas bumi. Dan sampai di bumi beliau terus mencari daun kayu untuk menutup auratnya, jadi kita yang bermaruah pun nak buat bogel.

"Bogel tak boleh dilakukan lebih-lebih lagi di khalayak ramai, tak ada manusia yang boleh terima bogel, dalam bilik air pun kita dianjurkan berdoa untuk mengelak gangguan syaitan.

"Masih banyak lagi cara untuk menyampaikan sebarang bantahan atau tidak puas hati tetapi janganlah sampai untuk berbogel, ini cara seumpama monkey," katanya selepas merasmikan kedai London Fish Tales di Tesco Mall di sini, hari ini.

Baru-baru ini Presiden Reformis, Ramlan Abu Bakar dilaporkan berkata mereka akan mengadakan demontrasi sebagai tanda protes terhadap tindakan kerajaan Selangor untuk menaikkan kadar sewa rumah dari RM124 kepada RM250 sebulan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato' Muhammed Khusrin Munawi dilaporkan berkata, tindakan akan diambil kepada mereka yang berbogel kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata perbuatan berbogel merupakan satu tindakan tidak bermaruah dan akan memalukan rakyat Malaysia.

Beliau juga melahirkan rasa kesal terhadap tindakan NGO bukan Islam yang cuba membuat bantahan terhadap keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan Pengkid iaitu perempuan yang menyerupai gaya hidup lelaki.

Beliau berharap NGO bukan Islam terbabit perlu berhenti membuat bantahan kerana ia melibatkan maruah agama Islam.

Menurutnya semua fatwa yang dikeluarkan mesti berdasar al-Quran dan Hadis.

"Gagah sangat ke kita, handal ke kita nak lawan Allah, bila Allah larang bererti benda tu tidak baik, macam polis larang kita parking kereta tepi jalan, ertinya kita lawan keselamatan,mana boleh kita buat demikian," ujarnya.

Kata beliau sikap NGO bukan Islam terbabit sebenarnya meniru kerajaan Umno sendiri yang juga melanggar keputusan dibuat fatwa.

"Saya merasakan mereka berani membantah hal-hal yang berkaitan dengan fatwa agama berpunca orang Islam sendiri yang acap kali melanggar fatwa yang diwartakan," katanya.

"Bagaimanapun saya berharap NGO bukan Islam jangan campur tangan dan NGO Hak Islam pun jangan lawan agama dia sendiri.

Ditanya persiapan Kelantan bagi menghadapi kemungkinan banjir tahun ini, beliau berharap orang ramai tidak menjadikan banjir sebagai pesta kerana ia melibatkan nyawa dan harta benda.

Oleh itu beliau menasihatkan ibu bapa agar mengambil berat terhadap keselamatan anak-anak,jangan biarkan mereka bermain di kawasan yang dinaiki air

No comments

Powered by Blogger.