kali pertama sharir uban kira harga minyak dengan betul
PUTRAJAYA 21 Nov. - Rakyat dijangka menikmati harga petrol yang lebih rendah sehingga paras RM1.60 seliter, berbanding RM1.92 seliter sebelum kenaikannya jika kerajaan mempertimbangkan satu mekanisme pengapungan harga secara terurus berasaskan harga pasaran.
Ini berikutan buat pertama kalinya, harga runcit minyak di pam sekarang adalah lebih tinggi berbanding harga di pasaran ekoran penurunan mendadak harga minyak mentah dunia di bawah AS$50 setong.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, sekiranya terdapat mekanisme tertentu bagi menetapkan harga minyak, kadar yang sewajarnya adalah bergantung kepada harga pasaran.
Ini katanya, supaya harga runcit minyak dapat mencerminkan harga minyak mentah di pasaran dunia.
''Kalau ikut pasaran, sehingga 20 November lalu, harganya adalah RM1.60 seliter (tanpa subsidi) ketika harga purata minyak mentah di bawah AS$60 dolar setong.
''Buat kali pertama kita lihat harga runcit di pam lebih tinggi daripada harga pasaran, ini adalah satu keadaan yang baru," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet bagi kementeriannya di sini hari ini.
Sebelum ini, Shahrir dipetik sebagai berkata, kerajaan akan berbincang dengan Majlis Ekonomi Negara bagi memutuskan sama ada harga lantai untuk petrol perlu dilaksanakan dengan ketetapan RM1.92 atau diturunkan lebih rendah lagi.
Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga minyak petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.
Ia merupakan penurunan kali kelima harga bahan api itu selepas mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.
Menurut Shahrir, berdasarkan keadaan terbaru itu, Kabinet hari ini membincangkan mengenai mekanisme yang membolehkan kerajaan menentukan satu sistem pengapungan harga runcit minyak secara terurus.
Justeru katanya, keputusan mengenai mekanisme yang perlu digunakan akan dibincangkan pada mesyuarat Exco Majlis Ekonomi pada 1 Disember ini.
Beliau yang turut membayangkan akan terdapat keputusan untuk menurunkan harga minyak selepas mesyuarat itu menyatakan, mekanisme pengapungan harga itu akan digunakan secara berterusan dan bukannya bersifat sementara.
Ini katanya, termasuk jika harga minyak mentah di pasaran dunia melambung naik sekali gus memerlukan kerajaan menetapkan kadar subsidi yang perlu disediakan.
''Ia akan digunakan untuk sepanjang masa dan akan melibatkan fakta subsidi serta berpandukan pada harga purata di pasaran.
''Apabila sampai harganya yang begitu rendah dan tak perlu subsidi ia pun boleh dinikmati harganya oleh rakyat dan negara tetapi dalam keadaan itu mungkin ada pertimbangan bagi kerajaan untuk mengambil sebahagian daripada pendapatan," katanya.
Pada masa yang sama katanya, mekanisme penurunan harga minyak setiap dua minggu akan dikekalkan sekiranya terdapat penurunan harga minyak mentah di pasaran.
Jelas beliau, keperluan penetapan harga lantai juga akan dibincangkan pada mesyuarat majlis itu memandangkan trend penurunan harga minyak sekarang menyebabkan satu harga minimum sukar ditentukan.
''Kalau letak harga lantai pun kita tidak tahu kerana harga minyak mentah turun begitu cepat, kita tidak tahu apa yang menjadi harga lantai.
''Kalau katakan RM1.92 sen seliter dengan subsidi sekarang sudah menjadi RM1.60 seliter tanpa subsidi, itu persoalan yang perlu diambil kira dengan pengapungan," katanya.
No comments
Post a Comment