islam adalah agama penyatuan~malaysiakini

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Ahli- ahli Parlimen beragama Islam daripada Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang telah mencapai persetujuan untuk memastikan keluhuran dan kedudukan agama Islam di negara ini terus terpelihara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertemuan itu diadakan pada 13 Oktober lalu di Parlimen dan empat perkara dipersetujui bagi memastikan kedudukan Islam tidak tergugat.

Menurutnya, walaupun beberapa langkah itu hanya boleh dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan, tetapi Ahli Parlimen Islam daripada pihak pembangkang telah bersetuju agar ia diteruskan.

Kata beliau, pertemuan itu diatur atas dasar Islam.

"Langkah pertama yang dicapai semua Ahli-Ahli Parlimen Islam tanpa mengira parti boleh memberikan pandangan atau cadangan bagi meminda serta menambah mana-mana perkara berkaitan Rang Undang-undang Islam yang akan dibentang di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

"Ia bagi dikemaskinikan mengikut pandangan-pandangan yang berasaskan kaedah-kaedah Islam," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar dan Mahasiswa di sini hari ini.

Ahmad Zahid memberitahu, rang undang-undang baru itu kini berada di pihak Jabatan Peguam Negara.

Katanya, perkara kedua yang dipersetujui ialah penubuhan sebuah institusi fatwa yang dikenali sebagai Darul Iftaq.

"Semua perintah Majlis Raja- Raja, aduan orang awam dan kajian-kajian yang dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan di salurkan kepada Darul Iftaq untuk mencari hukum-hukum terdahulu atau kini yang difatwakan di negara Islam lain untuk diguna pakai di Malaysia," katanya.

Jelas beliau, semua pihak yang terbabit dalam pertemuan itu telah bersetuju agar Darul Iftaq diletakkan di bawah Jakim.

Kata Ahmad Zahid, langkah ketiga yang dipersetujui adalah untuk Ahli-ahli Parlimen Islam tanpa mengira parti yang diwakili untuk mengadakan aktiviti berkaitan keagamaan secara bersama.

Langkah terakhir pula, katanya, adalah agar bulan dakwah yang pernah dibuat satu masa dahulu diwujudkan semula.

"Bulan dakwah akan diadakan pada setiap bulan Januari dan Februari di semua negeri termasuk yang diperintah oleh pembangkang," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, satu lagi perkara yang turut dipersetujui adalah mengadakan bersama Kongres Ekonomi Islam pada 24 hingga 26 Disember depan.

"Beberapa resolusi yang dicapai dalam kongres itu akan dijadikan dasar dalam sistem ekonomi Islam,'' katanya.

No comments

Powered by Blogger.