Konflik kem Abdullah - Najib di Wilayah Persekutuan


PENCALONAN Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno, sementara Dato' Seri Najib sebagai Presiden, dari Umno Bahagian Wangsa Maju sedikit sebanyak membawa erti besar kepada Muhyiddin kerana, ketua bahagian ini, Dato' Mohd Shafie Abdullah adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Iklan




Walaupun Mohd Shafie memberitahu wartawan kemudiannya, pencalonan itu bukan atas kapasitinya sebagai Setiausaha Politik Najib tetapi hanya sebagai ketua bahagian, tetapi Muhyiddin tentunya mengharapkan lebih dari itu, setelah Umno Bahagian Kota Bharu yang diketuai Dato' Mohamad Fatmi Che Salleh, yang juga Setiausaha Politik Najib di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, turut mencalonkannya.

Mengharapkan pencalonan untuk Muhyiddin dari Umno Bahagian Pekan, yang diketuai Najib tentulah mustahil memandangkan Majlis Tertinggi (MT) sudah membuat keputusan Bahagian Pekan dan Kepala Batas tidak akan menamakan calon-calon yang bertanding, bagi mengelakkan perwakilan terpengaruh dengan keputusan yang bakal dibuat dua bahagian ini. Pekan diketuai Najib dan Kepala Batas diketuai Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Timbul satu persoalan, mengapa Mohd Shafie sedia mencalonkan Muhyiddin dengan sokongan sebulat suara, tetapi dari 25 calon Majlis Tertinggi (MT), Mohd Shafie tidak menamakan Dato' Seri Zulhasnan Rafique dan Dato' Mohamad Norza Zakaria sebagai calon-calon yang sepatutnya disenaraikan?

Zulhasnan adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan (WP) yang menawarkan diri bertanding kerusi MT, manakala Mohamad Norza adalah anggota MT yang dilantik mewakili Pergerakan Pemuda Umno. Zulhasnan pernah menjadi AJK Umno Bahagian Wangsa Maju dan Ahli Parlimen Wangsa Maju manakala Mohamad Norza adalah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Wangsa Maju dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno WP.

Apa yang tidak kena dengan 'sejarah dan budi' Zulhasnan dan Mohamad Norza kepada Umno Wangsa Maju? Adakah langkah yang diambil Mohd Shafie ini merupakan langkah bijak dan atas 'kebenaran' Najib? Tidakkah pencalonan yang dibuat dikaitkan dengan Najib dan apabila pencalonan tidak dibuat, ia juga turut dikaitkan dengan Najib?

Mohd Shafie menang tanpa bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju apabila Pemangku Ketua Bahagian, Dato' Zainal Nazri tidak mempertahankan jawatan. Sebelum ini, bahagian ini diketuai Dato' Astamam Abdul Aziz tetapi terpaksa mengosongkan kerusi itu ekoran tindakan pengantungan selama tiga tahun dikenakan terhadapnya, ekoran didapati bersalah terlibat dengan politik wang.

Astaman yang menawarkan diri bertanding kerusi Timbalan Ketua Bahagian, tewas. Hari ini, selain kekecohan Umno Bahagian Seputeh dan Batu menjadi topik perbincangan ialah 'permainan baru' yang dibawa Mohd Shafie dalam Umno WP.

Tidak mustahil, apabila Najib menjadi Perdana Menteri, nama-nama seperti Zulhasnan, Dato' Kamaruddin Ambok (Segambut), Dato' Riduan Abdul Hamid (Kepong) dan Dato' Md Yusoff Abd Hamid (Batu) akan �hanyut bersama banjir kilat� di ibukota.

Tidak mustahil, Najib lebih berminat jika Mohd Shafie mengetuai Umno WP dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Setiawangsa, Dato' Halim Samad, menjadi timbalannya atau, Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menggantikan Zulhasnan dan Kamaruddin, yang dilihat lebih mirip kepada kem Abdullah Ahmad Badawi.

Kepimpinan Zulhasnan di WP nyata tidak dapat sokongan ketua-ketua bahagian hinggakan cerita yang mengatakan ada dua kem dalam WP kini, antara orang Zulhasnan dengan orang Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sudah menjadi 'rahsia terbuka'. Kini, kemenangan Mohd Shafie, membuka lebaran baru dalam senario politik WP yang tidak pernah tenang.

Dakwa mereka yang tidak sukakan Zulhasnan ialah, kedatangannya secara bidan terjun ke dalam politik WP di era kepimpinan Abdullah, nyata membawa petaka. Tidak pernah kerusi Umno tewas di Lembah Pantai dan Titiwangsa, ia menjadi mimpi ngeri dalam era kepimpinan Zulhasnan.

Kata mereka, Zulhasnan tidak berada 'di arus bawah' Umno sebaliknya sibuk dengan agenda besar yang tidak mungkin dicapainya.

Bukan sahaja Umno menghadapi zaman gelap, malahan MCA dan Gerakan juga menempuh kemuraman yang amat sangat.

Mereka mahu, Zulhasnan bertanggungjawab dengan kemusnahan ini atau namanya akan dipahat dalam sejarah, sebagai 'pemusnah BN' di WP.

Satu sumber yang rapat dengan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Dato' Seri Dr Suleiman Mohamed memberitahu, cadangan supaya kawasan Parlimen Titiwangsa dipecah dua, yang kedua-duanya ditandingi calon dari Umno (BN) tidak diterima.

Malahan, mereka kesal kerana kerusi Parlimen Wangsa Maju yang merupakan kubu kuat Umno suatu ketika dahulu, kini sudah ditandingi MCA dan, terbaru calon MCA tewas kepada calon PKR.

Kata sumber itu lagi, tidak hairanlah kalau Zulhasnan yang pernah menjadi Ahli Parlimen Wangsa Maju, tidak diiktiraf oleh Umno bahagian itu, kerana mereka cukup kecewa dengan Zulhasnan yang tidak memperdulikan ahli-ahli Umno di Wangsa Maju apabila sudah selesa di tempat baru, Setiawangsa.

"Jika bukan kerana Umno Wangsa Maju menobatkannya, tiada siapa kenal dia," kata mereka yang marahkan Zulhasnan.

No comments

Powered by Blogger.