Mampukah Mukhriz bertahan?

Selepas kesemua bahagian Pemuda Umno selesai bermesyuarat minggu lalu, kini timbul persoalan sama ada kehangatan sokongan terhadap Datuk Mukhriz Mahathir untuk bertanding jawatan ketua Pemuda, akan berterusan sehingga pemilihan parti Mac depan.

Mukhriz - yang juga ahli Parlimen Jerlun - menjadi pilihan utama Pemuda bahagian, dengan memperolehi 74 pencalonan - meninggalkan bekas menteri besar Selangor, Dr Dr Mohamad Khir Toyo yang mendapat pencalonan kedua terbesar (59) dan ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang mendapat 52 pencalonan.

kubang pasu division meet 090906 mukhrizSecara umumnya, Mukhriz tidak mempunyai asas sokongan yang kuat dalam Umno. Sepertimana Khairy - yang dikaitkan dengan bapa mentuanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi - Mukhriz pula dikaitkan dengan bapanya, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, kedudukan Khairy sebagai naib ketua Pemuda Umno memberi kelebihan kepadanya dari segi sokongan dari dalam pergerakan itu sendiri.

Beliau juga dijangka akan mendapat sokongan dari bahagian yang masih setia dengan perdana menteri.

Mukhriz pula, kemunculan popularitinya adalah ekoran kekalahan teruk Umno dalam pilihanraya umum lalu, dan desakan perubahan pucuk pimpinan tertinggi Umno.

Manakala Dr Mohd Khir pula pernah menerajui Umno Selangor sebelum pilihanraya umum lalu, dan muncul sebagai calon ahli Majlis Tertinggi (MT) yang mendapat undi terbanyak dalam pemilihan Umno 2004 lalu.

Sokongan berkekalan?


Jadi persoalannya, dengan tempoh berkempen yang lama - sehingga Mac tahun depan - apakah kehangatan sokongan kepada Mukhriz akan berkekalan.

Apakah ianya lebih menguntungkan Khairy dan Dr Mohd Khir?

Tanda-tanda awal boleh dilihat apabila di penghujung tempoh mesyuarat perwakilan - hampir 90 peratus pencalonan adalah sama ada untuk Khairy atau Dr Mohd Khir.

Apakah ianya boleh dianggap bahawa kehangatan sokongan untuk Mukhriz sudah 'sejuk'. Apakah kesediaan Abdullah untuk mempercepatkan peralihan kuasa pada Mac tahun depan, sudah dapat meredakan 'bara kemarahan' ahli-ahli ekoran kekalahan teruk Umno dalam pilihanraya umum lalu?

Ternyata masyarakat Melayu kaya dengan pelbagai perumpamaan. Satu daripadanya berbunyi 'Hangat-hangat tahi ayam' - yang membawa maksud kehangatan sementara dan kemudian sejuk semula.

Apa yang jelas ialah Mukhriz perlu bekerja kuat berkempen untuk mempertahankan sokongan terhadapnya dari kalangan bahagian-bahagian yang mencalonkan.

Jumlah bahagian negeri adalah Perlis (3) Kedah (15), Johor (26), Pahang (14), Pulau Pinang (13), Melaka (6), Perak (24), Selangor (22), Terengganu (8), Kelantan (14), Sabah (26) dan Wilayah Persekutuan (13).

Cabaran politik wang

Mengikut pencalonan, Mukhriz mendapat satu pencalonan di Perlis, 14 pencalonan dari Kedah, Johor (13), Pahang (8), Pulau Pinang (5) Negeri Sembilan (4), Melaka (2), Perak (6), Selangor (4), Terengganu (3), Kelantan (3), Sabah (7), Wilayah Persekutuan (4).

Dr Mohd Khir mendapat satu pencalonan di Kedah, Johor (7), Pahang (2), Pulau Pinang (3), Negeri Sembilan (2), Melaka (1), Perak (11), Selangor (15) dan Terengganu (3), Kelantan (3), Sabah (6), dan Wilayah Persekutuan (8).

Khairy mendapat satu pencalonan di Perlis, tiada sebarang pencalonan dari Kedah, Johor (6), Pahang (4), Melaka (3), Perak (7), Pulau Pinang (5), Selangor (3), Terengganu (2), Kelantan (8), Sabah (10), Negeri Sembilan (2), Wilayah Persekutuan (1).

Jika dibandingkan, Mukhriz mendapat sokongan padu dari Kedah (14 daripada 15 bahagian), Johor (13 daripada 25), Pahang (8 daripada 14), Negeri Sembilan (4 daripada 8).

Dr Mohd Khir pula mendapat sokongan besar dari Selangor (15 daripada 22 bahagian), Perak (11 daripada 24) dan Wilayah Persekutuan (8 daripada 13 bahagian).

Khairy pula mendapat sokongan kuat dari Kelantan (8 daripada 14 bahagian) dan Sabah (10 daripada 26).

Setiap bahagian tersebut akan menghantar empat perwakilan. Jika dicogak secara mudah - berdasarkan pencalonan darab jumlah perwakilan bahagian - Mukhriz akan mendapat 296 undi, Dr Mohd Khir 248 undi dan Khairy 208 undi.

Persoalannya apakah cabaran-cabaran lain - khususnya politik wang - akan menghakis sokongan terhadap Mukhriz?

No comments

Powered by Blogger.