mana kejantanan UMNO pulau pinang-malaysiakini
KUALA LUMPUR 7 Nov. - Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria (gambar) menasihatkan Gerakan Pulau Pinang berhenti menjadi 'hero' jika tidak bersetuju dengan sesuatu isu.
Beliau berkata, sekiranya semua parti komponen bertindak bersendirian dengan tujuan untuk menjadi hero memperjuangkan sesuatu isu, maka pemulihan dalam Barisan Nasional (BN) yang diperkatakan Gerakan tidak akan tercapai.
Menurutnya, Gerakan perlu memperlihatkan keikhlasan dan bertanggungjawab untuk memimpin melalui tauladan dan bukan sebaliknya.
Beliau menegaskan, UMNO yang tidak boleh berkompromi tentang kedaulatan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan Gerakan memahami pendirian tersebut.
''Sejak kebelakangan ini Gerakan sengaja mencari isu seolah- olah hendak membuli UMNO selaku parti tonggak dalam BN.
''Gerakan seperti mahu mengheret UMNO dan parti komponen BN yang lain untuk menyokong mereka dalam beberapa isu yang mereka timbulkan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau memberitahu demikian kepada Utusan Malaysia sebagai reaksi kepada kenyataan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan yang menyokong keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang memasang papan tanda pelbagai bahasa di Tapak Warisan Dunia di bandar itu baru-baru ini.
Mohamad Norza berkata, pemimpin UMNO memang menyedari persefahaman antara kaum kini dalam keadaan kritikal dan sekiranya Gerakan terus mencabar dan mengasak, maka tindakan itu hanya menuju kepada kehancuran.
''Apakah Gerakan mahu melihat persefahaman yang telah dibina sekian lama dengan UMNO kini diibaratkan sebagai retak menunggu belah?,'' katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad pula memberitahu, Gerakan sepatutnya menyokong penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di papan-papan tanda jalan di Pulau Pinang.
Beliau seterusnya menasihatkan Gerakan Pulau Pinang berhenti membuat sesuatu tindakan dan kenyataan yang bercanggah demi mengukuhkan semangat perpaduan di kalangan parti-parti komponen BN.
Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam pula berpendapat, semua parti komponen bebas untuk memperkatakan sesuatu tetapi dalam isu penggunaan pelbagai bahasa pada papan tanda jalan di Pulau Pinang, adalah wajar perkara itu dibincangkan di peringkat BN.
Beliau berkata, sesuatu langkah yang baru untuk dilaksanakan sepatutnya dibincangkan di peringkat BN bagi memastikan ia tidak melanggar undang-undang dan perlembagaan.
No comments
Post a Comment