Pemilihan Umno: Muhyiddin malu, lebih 900 aduan rasuah~malaysiakini


Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kecewa dengan peningkatan jumlah aduan rasuah dan salah guna kuasa diterima Lembaga Disiplin parti itu sepanjang kempen pemilihan kali ini, yang disifatkannya amat buruk dan memalukan.

Katanya, angka lebih 900 aduan diterima lembaga itu bukan sahaja memalukan Umno tetapi menjatuhkan maruah anggota Umno serta menimbulkan pandangan negatif masyarakat luar terhadap parti.

Sambil menyifatkan mereka yang terlibat sebagai sanggup menggadaikan maruah parti semata-mata untuk memenuhi matlamat peribadi, Muhyiddin mahu gejala tidak sihat itu ditangani segera.

"Angka aduan yang tinggi itu bukan sahaja menjatuhkan maruah semua ahli parti, malah ia bakal mewujudkan tanggapan seolah-olah ahli-ahli Umno hanya mementingkan soal kepentingan diri sendiri hingga sanggup menggadaikan maruah dan terbabit dalam gejala rasuah politik," tegasnya yang dipetik Bernama pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan rumah Program Murni Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) di Sri Pekembar, Pagoh, semalam.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, bimbang gejala buruk itu akan menyebabkan anggota parti beralih arah dalam memilih pucuk pimpinan parti daripada calon berwibawa kepada mereka yang hanya mampu menawarkan habuan wang ringgit besar sahaja.

"Saya cukup bimbang apabila membaca kenyataan Lembaga Disiplin parti semalam bahawa bilangan aduan tentang politik wang yang diterima begitu banyak, malah lebih tinggi daripada pemilihan sebelum ini.

"Saya malu kerana pendedahan ini seolah-olah menunjukkan kita (Umno) gagal menangani politik wang dan ahli-ahli kita lebih mementingkan soal perut, wang, ongkos dan sogokan dalam memilih pemimpin," katanya.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail meminta pucuk pimpinan Umno segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran berikutan berleluasanya politik wang yang disifatkan paling serius dengan 900 aduan seumpamanya diterima.

Muhyiddin berkata beliau bersetuju dengan hasrat Tengku Ahmad Rithauddeen yang ingin bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam membanteras isu politik wang.

No comments

Powered by Blogger.