Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang penakut~malaysiakini


KOTA BHARU: Ada calon yang menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan Umno, termasuk bagi jawatan tertinggi peringkat Pusat, mungkin didakwa kerana kesalahan rasuah sebelum Perhimpunan Agung Umno Mac depan.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, berkata perkara itu turut dibincangkan dengan Timbalan Ketua Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim (Mohamed) dan Pengarah Siasatannya, Datuk Shukri Abdull Selasa lalu.

“(Pendakwaan sebelum Mac akan dibuat) jika kita dapat jalankan perbicaraan dan siasatan selesai.

“Tetapi kita akui proses ini mengambil masa, maklumlah banyak kes dan Lembaga Disiplin kena menjalankan siasatan terlebih dulu. Sehingga kini, kita menerima lebih 900 aduan nak bicara sekali gus, itu ambil masa. Orang kita (Lembaga Disiplin) pun tak ramai nak buat siasatan, lepas selesai siasatan kita jalankan perbicaraan jika ada kes prima facie,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Koperasi Sri Nilam Berhad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan rumah contoh Taman Tengku Ahmad Rithauddeen yang dimajukan koperasi terbabit di Kampung Hutan Buloh, Melor, di sini, semalam.

Kelmarin, Berita Harian dalam laporan muka depannya menyebut, Lembaga Disiplin Umno dan BPR sudah menemui mekanisme yang akan digunakan untuk menyiasat dakwaan rasuah, politik wang dan salah guna kuasa sepanjang mesyuarat perwakilan Umno serta pencalonan pemilihan parti itu.

Dua mesyuarat antara Lembaga Disiplin dengan BPR di ibu negara itu turut bersetuju mengambil beberapa langkah khusus dalam usaha membendung politik wang daripada berleluasa.

Semalam, akhbar melaporkan, BPR dengan kerjasama Lembaga Disiplin Umno akan mendakwa pemimpin dan ahli Umno yang terbabit rasuah, politik wang dan salah guna kuasa, walaupun selepas Perhimpunan Agung Umno Mac depan.

Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, pihaknya sedia mendengar pandangan dan cadangan pelbagai pihak dalam menangani rasuah politik daripada berleluasa, termasuk mengkaji pelaksanaan sistem pembiayaan awam yang diguna pakai bagi membiayai kempen calon Presiden Amerika Syarikat (AS).

“Saya tak kaji lagi, tak boleh nak kata... kita sentiasa mahu pandangan mengenai pelaksanaan kaedah terbaik. Jika ada yang bagi pandangan supaya langkah terbaik dapat dilakukan untuk bangsa dan negara, kita sedia mendengar kerana ini perkara penting,” katanya.

Sistem pembiayaan awam calon Presiden AS diperkenalkan pada 1976 bagi melindungi integriti calon dan kepentingan rakyatnya, yang mana calon boleh menggunakan dana awam yang disediakan kerajaan bagi membiayai kempen pilihan raya.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Pengarah BPR Sabah yang baru, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Jalil Jaaffar, berkata dua pemimpin Umno peringkat bahagian yang disiasat BPR kerana dipercayai cuba menyogok perwakilan pada persidangan perwakilan Umno bahagian baru-baru ini, akan didakwa tidak lama lagi mengikut Seksyen 10(b)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada jumlah suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Enggan mendedahkan identiti ahli politik terbabit, Jalil bagaimanapun berkata, kedua-duanya bukan ketua bahagian, tetapi pemimpin Umno peringkat bahagian yang cuba memberi suapan ketika persidangan perwakilan Umno peringkat itu di antara 9 September hingga semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat BPR Sabah di sini, kelmarin.

No comments

Powered by Blogger.