Timbalan Speaker teliti kenyataan Nazri


KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau perlu meneliti kenyataan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berhubung hakim yang terbabit dalam krisis kehakiman 20 tahun lalu, sebelum membuat keputusan sama ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan seperti disaran Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

“Saya terpaksa berhati-hati. Sebab kalau Yang Berhormat (Bukit Gelugor) tengok kepada track record saya, saya jarang membuat keputusan begitu sahaja.

“Sebelum buat keputusan, bagi saya peluang dua, tiga hari untuk mendapatkan butiran bukan sahaja dari Malayan Law Journal (MLJ). Dengan itu nanti, saya akan buat keputusan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Karpal meminta supaya Nazri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa apa yang dikatakan oleh Menteri itu adalah sesuatu perkara yang tidak benar dan satu pembohongan besar.

Karpal berkata, merujuk kepada MLJ, bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd Salleh Abas dan dua hakim kanan, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh dan Tan Sri George Edward Seah Kim Seng, dipecat dan bukan diberhentikan awal seperti yang dinyatakan.

“Apa yang dikatakan tidak benar, satu perkara yang tidak berasas, bermakna dia (Menteri) melanggar peruntukan 36 (12) dan harus dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu,” katanya.

Karpal merujuk kepada kenyataan Nazri pada 6 November lalu, yang menyatakan apabila tribunal membuat keputusan dan mendapati mereka (hakim-hakim) ada melakukan kesilapan, apa yang berlaku mereka bukan dipecat tetapi mereka diberhentikan awal.

Ketika itu, Nazri mengumumkan kerajaan telah membayar ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada Mohd Salleh dan lima lagi bekas hakim kanan yang terlibat semasa krisis itu.

Mohd Salleh menerima bayaran tertinggi dengan RM5 juta, Wan Suleiman (RM2 juta), George Seah (RM2 juta) manakala Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Tan Sri Azmi Kamaruddin masing-masing mendapat RM500,000.

Nazri dilaporkan berkata, bekas hakim itu telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti saranan panel yang bersidang berhubung kes itu dan bukan dipecat oleh kerajaan. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.