ulasan berkaitan mufti perlis-malaysiakini
Tiga minggu dari sekarang kerusi Mufti Perlis bakal kosong. Mengikut media, kerajaan negeri belum mempunyai calon yang sesuai. Mesyuarat exco terakhir juga tidak membincangkan perkara itu. Malaysiakini melaporkan, dua nama disebut-sebut iaitu Dr Azwira dan Dr Juanda (baca sini).
Menurut Malaysiakini, antara faktor yang sedang ditimbangkan oleh Dr Azwira ialah faktor kenegerian. Maksudnya Mufti Perlis mesti orang Perlis. Dalam konteks organisasi, Mufti adalah ketua kepada Jabatan Mufti Negeri. Dia sama seperti pengarah atau ketua jabatan yang lain. Pengarah Jabatan Agama Islam sekarang adalah orang Kedah. Pengarah Baitul Mal Perlis juga orang Kedah. Sepatutnya faktor kenegerian menjadi faktor terakhir yang patut dipertimbangkan dalam konteks dunia yang semakin mengecil garis sempadannnya itu.
Mungkin faktor kenegerian yang dimaksudkan Dr Azwira ialah, dia perlu menjadi seperti kebanyakan orang Perlis dari segi beberapa amalan cabang dalam ibadat khusus. Maksudnya beberapa amalan cabang di dalam ibadat di negeri ini tidak sama dengan negeri lain. Kalau dia tidak buat begitu orang Perlis tidak dapat menerimanya. Tanggapan ini sedikit meleset berdasarkan perkembangan semasa. Buktinya, orang bermasalah dengan Mufti sekarang bukan kerana dia orang Pulau Pinang tetapi kerana pendekatannya yang dilihat agak ganjil dalam menangani isu itu dan beberapa isu masyarakat setempat.
Realitinya, itu tidakmenjadi masalah langsung. Hari ini orang tidak bertelagah lagi soal qunut, usalli atau taliqin. Masyarakat dapat menerima perbezaan dalam perkara itu dengan syarat ia ditampilkan secara ilmiah. Dr Azwira tidak perlu fobia dengan persoalan itu. Mungkin ada beberapa kerat tokoh tempatan yang masih membangkitkan persoalan itu, ia tidak berkesan pun. Sesiapa yang membangkitkannya tanpa sokongan hujjah ilmu, dia akan dicebik begitu sahaja. Samada Dr Azwira ingin beramal seperti ‘amalan orang Perlis’ atau ‘orang Kelantan’ atau ‘orang Selangor’, tiada masalah langsung.
Berkaitan silap mata politik, sebenarnya Mufti sekarang terperangkap dengan mainan politik licik bekas MB Perlis. Bekas MB itu ingin dilihat sebagai orang yang kuat pegangan agama dan wara’ serta alim. Kalau tidak masakan dia sanggup tidak lekang dengan jubah sepanjang tempoh kempen pilihanraya dan ambil peperiksaan Bahasa Arab di peringkat PMR padahal pada masa yang sama dia pelajar Ph.D. Ayat al-Quran juga tidak lekang dari mulutnya walau pun dalam keadaan tertentu ayat yang dibacanya di luar konteks. Diambilnya Mufti sekarang untuk memperkukuhkan cengkaman politiknya. Mufti itu diusung kemana sahaja dan dilihat mengiakan tindakannya. Beliau turut mendokong faham Islam Hadhari bahkan kertaskerjanya yang menyokong Islam ala Amerika itu tersebar luas. Imej bekas MB itu sebagai orang agama mendesup naik dengan tindakannya. Dia perlu berbuat begitu untuk membendung pengaruh PAS negeri ini yang diterajui oleh golongan ustaz. Tapi akhirnya dia tersingkir atau tersungkur jua. Kesudahannya tinggallah Mufti yang diambilnya itu sendirian. MB baru pula adalah geng pesaing bekas MB itu, ditambah pula dengan kelantangan Mufti sekarang mengkritik beberapa isu semasa yang tidak memihak kepada kerajaan yang ada. Ini mendorongnya berasa tertekan dan mengambil langkah mengundur diri dengan alasan ‘silap mata politik’. Mufti Perak juga lantang tetapi dia tidak tersilau dengan silap mata politik ahli politik pun.
Malaysiakini turut melaporkan bahawa Dr Azwira menyatakan, "Saya ingin fikrah sunnah (Ahli Sunnah wal-Jamaah) diteruskan. Mungkin saya tidak setanding Dr Mohd Asri yang terkenal di peringkat nasional. Saya ingin fokuskan kepada aktiviti pemantapan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di peringkat negeri."
Masih samar apa yang dimaksudkan dengan pemantapan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Adakah di Perlis sahaja fahaman itu perlu dimantapkan, tidak di negeri-negeri lain? Apa pula maksud sebenar pemantapan Ahli Sunnah Wal Jamaah itu?
Kalau ia bermaksud menyekat penyebaran Syiah, itu tiada masalah langsung. Syiah tiada tempat di sini. Atau, kalau bermaksud memerangi bid’ah, itu juga tidak ada masalah langsung. Tiada siapa yang ingin menjadi pendokong bid’ah asalkan tidak sewenang-wenang menbid’ahkan beberapa amalan cabang yang menjadi amalan masyarakat setempat seperti bertalqin, bertahlil dan seumpamanya.
Kalau memantapkan fahaman Ahli Sunnah itu bermaksud menentang usalli, talqin, berwirid kuat selepas solat, berdoa beramai-ramai, calon Mufti itu akan berhadapan masalah sama seperti masalah yang dihadapi oleh Mufti sekarang. Atau, kalau maksud memantapkan Ahli Sunnah itu ialah menentang pegangan terhadap mazhab tertentu seperti mazhab Syafie misalnya, ini juga mengundang masalah. Tapi kalau maksudnya memperkukuh pegangan dan penghayatan agama secara syumul berasaskan al-Quran dan as-Sunnah seperti generasi awal Islam yang diterajui terus oleh para pejuangnya selepas itu, itu tiada masalah langsung.
Datanglah dengan dada yang lapang untuk berkhidmat kepada Islam. Usah ditimbulkan persoalan yang bersifat furu’. Perangilah bid’ah yang disepakati oleh pada ulama’ sebagai bid’ah dan mungkar. Jangan diganggu-gugat amalan-amalan furu’ yang baik yang didasarkan kepada nas-nas umum yang berjalan dalam masyarakat sekarang. Jangan dengan sewenang-wenang membid’ahkannya. Contohilah para imam mujtahidin terdahulu yang berlapang dada dengan perbezaan sebegitu. Beri tumpuan kepada isu-isu asas negara dan masyarakat seperti rasuah, penyelewengan harta awam, penyelamatan aqidah umat, serangan kepada Islam, membersihkan wajah Islam daripada arang hitam yang diconteng kemukanya oleh musuhnya, menyemarakkan dialog antara agama, memartabatkan pendidikan Islam, membersihkan sistem ekonomi umat daripada riba banyak lagi.
No comments
Post a Comment