News Update :

Politik

Kenyataan

Agama

Dunia

Mahfuz: Negara perlu bebas budaya politik perkauman

August 31, 2010

http://media.themalaysianinsider.com/images/uploads/2010/08/31/mahfuz-merdeka-one-aug31.jpg

Oleh G. Manimaran


Mahfuz yang lahir seminggu sebelum negara merdeka mengakui dapat ‘merasai’ persekitaran perjuangan kemerdekaan ketika masih dalam kandungan ibu. — Gambar oleh Jack Ooi
KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Tujuh hari yang lalu Datuk Mahfuz Omar dikejutkan dengan sambutan ulang tahun hari jadi yang ke-53. Hari ini, beliau berkongsi kegembiraan dan keriangan bersama ribuan rakyat yang seusia dengan negara pada hari ini.

Pada 25 Ogos lalu beliau bertukar-tukar mesej bersama Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan Al-Tantawi menerusi Twitter, lalu mendedahkan yang Mahfuz juga lahir pada tahun negara mencapai kemerdekaan.

Bagi keluarga Mahfuz yang mempunyai lapan adik-beradik kelahiran menggandakan kegembiraan kerana negara menyambut kemerdekaan seminggu kemudian.

Bagaimanapun Mahfuz, yang kelihatan sebagai pemimpin PAS yang moden dengan rambut putih, mengakui bahawa di peringkat awal beliau tidak “kisah” dengan tahun kelahiran.

“Sebenarnya kita jarang menyambut hari kelahiran, tetapi baru-baru ini kawan-kawan kita mengesan hari kelahiran saya menerusi rangkaian Facebook, dan mereka mengadakan jamuan, saya pun bertukar mesej dengan Ustaz Nasrudin... ini kelebihan ICT,” kata Mahfuz ketika berkongsi perjalanan 53 tahunnya, yang seusia dengan dengan perjalanan negara.

Menurut Mahfuz, apa yang penting bagi dirinya ialah mengisi makna kemerdekaan.

Lebih-lebih kata anak kelahiran Kedah ini, ia menjadi penting selaku seorang ahli politik pada masa sekarang.

“Saya dapat merasakan persekitaran perjuangan mendapatkan kemerdekaan ketika masih berada dalam kandungan selama sembilan bulan,” kata Mahfuz secara dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider.

Oleh itu kata Naib Presiden PAS ini, “saya bersyukur lahir pada tahun kemerdekaan.”

“Yang penting ialah mengisi kemerdekaan, ini yang sangat penting berbanding kita lahir pada tahun 1957,” kata pemimpin ini yang melihatknya sebagai satu tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

Bertolak dari keutamaan tanggungjawab itu, jelas beliau, generasi dahulu memperjuangkan kemerdekaan dengan harapan tidak mahu kekayaan dikaut oleh penjajah.

“Mereka halau penjajah demi rakyat negara ini,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini.

“Tetapi pada hari ini ada pihak yang hanya memunggah kekayaan untuk kaum kerabat sendiri, untuk kepentingan kroni mereka,” katanya yang lazim menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri.

Mahfuz di sebalik kad pengenalan menandakan Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Pokok Sena juga seusia dengan perjalanan negara.
“Itu sebab perjuangan kemerdekaan yang sebenarnya... kita perlu mengisi dengan pengertian yang lebih baik,” kata beliau yang pernah mengetuai Dewan Pemuda PAS pusat sebelum dipilih sebagai Naib Presiden tahun lalu.

Ketika ditanya sama ada kelahiran pada tahun merdeka menjadi faktor terlibat dalam politik, Mahfuz berkata, “tidak.”

“Ia bukan satu-satunya faktor... ada banyak sebab, tahun 1957 ini secara kebetulan sahaja” kata beliau.

“Persekitaran yang ada, kesedaran tentang kepincangan yang berlaku, tidak peduli dalam hal-hal yang berkaitan dengan Islam, tidak memperjuangkan dasar perjuangan Islam.

“Itu sebab saya menceburi politik,” kata Mahfuz yang menyertai politik pada 1980-an.

“Saya sentiasa berfikir bagaimana generasi awal berada, menentang penjajah,” katanya.

“Maknanya itu yang signifikan bagi saya,” kata Pengerusi Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) ini yang pernah menganjurkan kembara kemerdekaan peringkat PAS ketika memegang jawatan ketua penerangan PAS.

Program itu diadakan di seluruh negara untuk mengetengahkan nama-nama pejuang kemerdekaan yang tenggelam dan tidak dibawa ke arus perdana.

Kata Mahfuz, selaku pemimpin masyarakat menerusi pembabitan dalam politik beliau mahu memperjuangkan erti kemerdekaan dengan mewujudkan masyarakat yang integriti.

“Negara yang berintegriti, bebas rasuah dan penyelewengan bermula daripada rakyat yang berintegriti,” katanya.

Apakah yang hendak beliau lakukan sebagai seorang warganegara ahli politik, Mahfuz berkata, fikirannya masih dihantui dengan budaya politik perkauman yang cuba dibawa oleh sesetengah pihak khususnya Umno-BN.

“Kerajaan masih lagi membawa, memainkan budaya perkauman.

“Jadi ini yang menjadi tanggungjawab saya untuk melawan, untuk menghakis budaya ini supaya negara aman,” katanya.

“Kita perlu melahirkan masyarakat yang tidak bergantung pada pihak lain, mahukan rakyat yang boleh berdikari, mahu jadikan generasi yang bebas dalam segala bidang, berfikiran terbuka dan bebas,” kata beliau.

UMNO BERPESTA FITNAH DI BULAN BARAKAH

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Cuba bayangkan jika Rasulullah s.a.w ditakdirkan Allah masih hidup di zaman ini. Tidakkah kita fikirkan bahawa Utusan dan Umno mungkin juga akan menemplak tindakan Rasulullah s.a.w yang membenarkan orang-orang Kristian Najran masuk ke masjid dan bersembahyang di Masjid Nabi.

Ahli Parlimen DAP Y.B Teo Nie Ching diserang-serang habis-habisan kerana berkunjung ke Surau Al-Huda Kajang untuk menyampaikan bantuan membaiki pagar surau tersebut. Beliau telah dijemput oleh jawatankuasa surau untuk menyampaikan ucapan ringkas. Insiden itu bagaimanapun dieksploitasi media arus perdana dan Umno dengan mendakwa ia satu kesalahan dan mencemar imej Islam.

Kerana seronok memfitnah di bulan Ramadhan , Umno dan Utusan tidak peduli seerah Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang berjaya menonjolkan ruh tasamuh ( toleransi ) yang amat tinggi apabila berdepan dengan golongan non muslim . Sebagai satu contoh toleransi yang Rasulullah s.a.w tonjolkan adalah sepertimana kisah yang dinyatakan oleh Ibn Ishak di dalam seerah berkenaaan perjumpaan Baginda dengan golongan Kristian Najran.

Ibnu Ishak meriwayatkan golongan Kristian ini telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w di Madinah dan mereka bejumpa Rasulullah s.a.w di Masjid Nabi. Apabila tiba waktu asar golongan Kristian ini bangun ingin menunaikan sembahyang mereka dan ada para sahabat yang cuba menegah mereka. Rasulullah sebaliknya mengatakan “ Da’auhum ! ( biarkan mereka ) .

Rasulullah s.a.w membenarkan golongan Kristian itu bersembahyang mengikut cara mereka di dalam masjid Nabi !! Akhirnya mereka bersembahyang dengan mengadap di sebelah timur ( lihat buku tulisan Yusuf Al-Qardhawi “ Religious Minority from Shariah’s Perspective ). Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Dewan Ulama Pas,Dato Harun Taib iaitu mereka yang arif tentang Islam menyatakan tidak salah orang bukan Islam memasuki masjid.

Jika Rasulullah s.a.w yang digambarkan oleh Al-Quran sebagai qudwatun hasanah ( role model ) membenarkan orang bukan Islam bersembahyang cara mereka di Masjid Nabi siapakah Utusan dan Umno yang ingin melarang Ahli Parlimen DAP dari memasuki surau Al-Huda, Kajang.

Umno dan Utusan mendakwa kononnya pihak Surau Al-Huda membenarkan Nie Ching memberikan tazkirah sedangkan beliau adalah orang bukan Islam dan tidak memakai aurat.

Sebenarnya ini hujah makan tuan. Baiklah katakan , untuk tujuan berhujah, kami terima pendapat Umno bahawa Nie Ching tidak sepatutnya bertazkirah kerana beliau adalah orang bukan Islam dan tidak menutup aurat . Jika itu hujah Umno kita juga berhak bertanya kenapakah semasa Umno menjadi Kerajaan di Selangor dahulu para alim ulama’ seperti Tuan Guru Nik Aziz, Dato’ Dr Harun Din , Almarhum Dato Ishak Bahrum dan beberapa alim ulama' yang lain juga dilarang memberikan tazkirah oleh pemimpin Umno .Bukankah Tuan Guru Nik Aziz, Dato’ Dr Harun Din , Almarhum Dato Ishak Bahrum adalah orang Islam dan bukankah mereka juga menutup aurat !

Umno katakan Nie Ching tidak menutup aurat ketika bertazkirah . Kita ingin bertanya Umno , adakah hukum atau perintah menutup aurat hanya untuk orang Islam atau juga terpakai untuk orang bukan Islam ? Jika menutup aurat hanya wajib untuk orang Islam sahaja kenapakah kita harus mewajibkan ke atas orang bukan Islam dalam perkara yang Allah tidak wajibkan ke atas mereka. Bukankah pendirian kita bahawa orang bukan Islam yang ingin berkunjung ke masjid mestilah berpakaian sopan. Saya tidak nampak Nie Ching berpakaian tidak sopan hanya kerana beliau tidak bertudung.

Jika Umno begitu serius tentang isu menutup aurat mengapakah Umno tidak ambil peduli sebahagian besar isteri pemimpin Umno dan sesetengah pemimpin wanita dan Puteri Umno yang masih tidak menutup aurat !

Apabila Ahli Parlimen Selayang, Y.B William Leong Jee Keen menyampaikan sumbangan kepada wakil Masjid al-Taqwa, Selayang akhbar Mingguan Malaysia menulis dengan tajuk berikut “ Ahli Parlimen Selayang pula “ bertazkirah” Kesucian Masjid terus dinodai” ( Mingguan Malaysia 29/8/2010 m/s 3 ) . Akhbar itu melaporkan pengarah JAIS Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ruang solat utama kerana mereka tergolong dalam berkeadaan hadas besar.

Saya tidak pelik jika JAIS mengambil pendirian begitu kerana bagi saya saki baki pengaruh Umno masih tebal dalam JAIS. Bukankah JAIS di zaman BN dahulu sibuk mengambil tindakan kepada AJK masjid yang dilihat tidak cenderung kepada Kerajaan BN. Saya mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam isu tersebut kerana saya mewakili lebih kurang 7 buah masjid dan surau yang diganggu oleh JAIS !

Untuk Khusrin kita ingin bertanya soalan berikut : Adakah Rasulullah s.a.w tidak tahu orang-orang Kristian Najran berhadas besar semasa Rasulullah s.a.w membenarkan mereka masuk Masjid Nabi dan bersembahyang di Masjid Nabi ?

Apabila Ustaz Zakaria Ahmad mendoakan di dalam khutbah agar Lim Guan Eng diberi hidayah akhbar proksi Umno memfitnah beliau dengan mengatakan doa Ustaz Zakaria berbunyi begini “ Ya Allah , Ya Tuhanku, Kau selamatkanlah pemimpin kami Lim Guan Eng… ( lihat Mingguan Malaysia 22/8/2010 m/s 5 ). Malahan ada disiarkan di dalam TV bagaimana seseorang membuat komen bahawa khutbah tersebut boleh dikatakan tidak sah kerana tidak ada doa kepada Yang Dipertuan Agung ( YDPA ). Wow ! sejak bila doa kepada YDPA menjadi rukun khutbah. Habislah semua khutbah Nabi tidak sah kerana di zaman Nabi YDPA tidak ada !

Mengapakah Umno terus menerus memainkan isu seperti ini ? Jawapannya mudah sekali iaitu amat mudah memainkan emosi rakyat dengan isu-isu sensasi ini. Percayalah Umno akan terus menerus memainkan isu seperti ini kerana bagi Umno undi adalah segala-galanya. Bagi mendapatkan undi matlamat menghalalkan cara. Umno tidak akan peduli sama ada isu yang dimanipulasi itu selaras dengan syara’ atau tidak.

Lihatlah pendirian Umno dalam isu kalimah Allah di dalam akhbar the Herald. Emosi mengatasi ilmu. Lihat pula dalam isu kuil dan memijak kepala lembu . Sekali lagi perasaan mengatasi ilmu pengetahuan. Lihat pula isu orang bukan Islam masuk ke dalam masjid. Umno tidak peduli seerah dan sunnah Rasulullah s.a.w . Lihat pula isu khutbah. Umno seronok memfitnah di dalam bulan yang penuh barakah.

Kerajaan Selangor kesal DPMMS gagal main peranan

SHAH ALAM, 31 Ogos - Kerajaan Negeri Selangor menolak dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor ( DPMMS ) bahawa mereka telah dipinggirkan dalam pembangunan di Negeri Selangor.

Hakikatnya DPMMS sendiri telah gagal memainkan peranan selaku pertubuhan perniagaan. Kerajaan Pakatan Rakyat meletakkan ketelusan dan kebertanggungjawaban sebagai asas pentadbiran. Pada masa yang sama, kita sentiasa melibatkan rakyat dari pelbagai peringkat untuk terbabit sama dalam merangka polisi dan dasar kerajaan negeri.

Demikian menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Faekah, sejak mentadbir Selangor, Pakatan Rakyat secara berterusan mengadakan pertemuan dan sesi dialog dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan pandangan sebelum apa-apa dasar atau polisi digubal.

Malah buat julung kalinya sebuah Kerajaan Negeri menganjurkan Sesi Dialog Bajet sebelum pembentangan bajet negeri dilakukan. Sesi dialog ini merupakan salah satu cara bagi mencapai hasrat kerajaan di dalam usaha merakyatkan ekonomi negeri.

Ia sekali gus memberi peluang kepada rakyat Selangor untuk terlibat sama di dalam memberi pandangan bagaimana meningkatkan pendapatan negeri dan mengurus perbelanjaan berhemah.

“Kita juga menganjurkan Dialog Pelan Tiga Tahun Selangor di kesemua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mewujudkan perkhidmatan tempatan yang berkesan dan efisyen.

“Kerajaan Negeri telah menjemput pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan perniagaan untuk memberi pandangan dan cadangan sebagai nilai tambah kepada Bajet 2011 yang akan dibentangkan Oktober ini. DPMMS adalah antara kumpulan perniagaan yang dijemput,” katanya.

Malangnya, menurut Faekah, DPMMS telah menolak jemputan Kerajaan Negeri. DPMMS sesungguhnya berpeluang untuk melontarkan pandangan hatta rungutan namun mereka gagal mengggunakan peluang dan cabaran yang diberikan ini atas alasan yang mereka sahaja mengetahuinya.
Justeru, rungutan DPMMS bahawa Kerajaan Negeri tidak memberi peluang kepada mereka adalah tidak berasas sama sekali. Kita sentiasa membantu semua pihak bagi menjalankan perniagaan atau memperkembangkannya tanpa unsur pilih kasih.

KENYATAAN AKHBAR : SELESAIKAN PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR DI SELANGOR BARU LAKSANAKAN PROJEK LANGAT 2

KENYATAAN AKHBAR

31 OGOS 2010

SELESAIKAN PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR DI SELANGOR BARU LAKSANAKAN PROJEK LANGAT 2

SHAH ALAM, 31 Ogos - Kerajaan Selangor hanya akan meneruskan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) selepas perbincangan penstrukturan semula industri air dengan pemegang konsesi swasta dan agensi persekutuan diselesaikan dengan baik.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri tidak pernah membantah projek Langat 2, tetapi mempertikaikan mengapa Kerajaan Pusat memberi keutamaan terhadap projek tersebut.

“Kita menerima Projek Langat 2, tetapi ia tidak perlu dibuat dengan terburu-buru. Sekarang Kerajaan negeri mahu menyelesaikan isu penstrukturan semula indusri perkhidmatan air di Selangor.

“Kita menegaskan sekali lagi bahawa perlu memberi keutamaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air berbanding projek Langat 2,” katanya.

Menteri Besar mengulas laporan akhbar yang memetik Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim telah memberi persetujuannya pada mesyuarat Majlis Sumber Air Negara ke-5 di Putrajaya, semalam.

Menteri Besar hairan bagaimana Muhyiddin mengulas bahawa Selangor telah memberikan izin untuk projek rawatan air Langat 2 dan menggesa agar Timbalan Perdana Menteri menahan dirinya daripada membuat andaian pada masa depan.

“Kita akan meneruskan rundingan untuk menyelesaikan isu penstrukturan semula industri perkhidmatan air yang buntu sejak tahun lalu. Kita mahukan perjanjian lebih baik, perkhidmatan lebih baik dan harga lebih baik untuk rakyat – itulah matlamat kami,” kata Tan Sri Abdul Khalid.

SEKRETARIAT AKHBAR

PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Khalid Gesa Rakyat Julang Maruah Negara

SHAH ALAM 31 Ogos — Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata rakyat perlu sedar dan memahami erti kemerdekaan berteraskan prinsip kebebasan dan keadilan.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-53, beliau menyeru rakyat berikrar untuk memperbaiki diri demi menjulang maruah negara.

“Sejarah sudah cukup membentangkan banyak pengalaman tentang jatuh bangun peradaban dan ketamadunan untuk kita jadikan teladan bersama.

“Ia tidak ada pada semangat yang membabi buta, tetapi ada pada keinginan kuat manusia untuk menegakkan kemulian insan melalui jaminan kebebasan dan daya untuk mencapai keadilan.

“Inilah sebuah negara dan masyarakat madani yang harus kita laksanakan," kata beliau dalam mesej Hari Merdeka.

Abdul Khalid berkata rakyat juga perlu mengakui wujud pelbagai bentuk usaha dalam mencapai kemerdekaan negara.

“Sama ada kita bersetuju atau tidak, kita perlu menerima cita-cita dan kaedah perjuangan yang di bawa.

“Kemerdekaan adalah cita-cita besar rakyat pada zaman itu. Terlepas apa juga perbezaan dalam realiti jamak sosio-masyarakat kita, Merdeka adalah lambang sebuah keberanian kita untuk mengambil tanggungjawab terhadap negara sendiri,” ujar Khalid lagi.

Lagi laporan polis terhadap Namewee

KUANTAN, 31 Ogos — Permuafakan NGO Melayu Pahang Bersatu (Muafakat) hari ini membuat laporan polis terhadap pemuda dari Muar Johor, Wee Meng Cheng atau lebih dikenali “Namewee” ekoran perbuatannya menghasilkan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman.

Laporan itu dibuat oleh Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong yang mewakili 15 NGO terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini.

Wee sebelum ini pernah mencetuskan kemarahan rakyat dengan klip videonya berjudul Negarakuku.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Wan Emril berkata apa yang dilakukan Wee merupakan satu bentuk provokasi yang disengajakan selain jelas menunjukkan pemuda itu tidak insaf meskipun pernah memohon maaf atas kesalahannya mengubah lirik lagu Negaraku kepada Negarakuku suatu ketika dahulu.

“Jangan bagi muka kepada individu seperti ini kerana tindakannya itu jelas menimbulkan kemarahan serta keresahan di kalangan rakyat,” tegasnya.

Antara 15 NGO terbabit ialah GPMS Pahang; Wira Perkasa Pahang; Alumni Graduan Muda Pahang; Majlis Belia Daerah; Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris); Majlis Guru Pahang dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pula berkata, Wee perlu diheret ke mahkamah secepat mungkin kerana tindakannya menerbitkan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, tindakan pemuda itu yang berasal dari Muar menunjukkan beliau buta sejarah negara ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis Ceria Bubur Lambuk 1 Malaysia di Kulaijaya, Ahmad berkata, tindakan terhadap Namewee perlu disegerakan sebagaimana tindakan pantas kerajaan mengheret mereka yang bertanggungjawab di dalam beberapa isu perkauman baru-baru ini.

Ditanya mengenai cadangan sesetengah pihak supaya kerakyatan Namewee itu dilucutkan, Ahmad berkata, soal hukuman terserah kepada mahkamah. — Bernama

Malaysia Malap Di Bawah Umno-BN Setelah 53 Tahun Merdeka

SHAH ALAM 31 Ogos - Umno-Barisan Nasional menyebabkan Malaysia ketinggalan jauh kebelakang dari segi pencapaian ekonomi berbanding negara jiran di rantau ini setelah 53 tahun merdeka.

Ketua WAnita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata Malaysia sebelum ini menjadi penonton kepada kebangkitan rakyat di negara jiran yang bangun menentang kebobrokan pemerintahan seperti di Filipina, Indonesia dan Thai.

Dari segi ekonomi pula katanya, negara sedang menyaksikan kebangkitan Vietnam dan Laos daripada status negara yang punah akibat perang menjadi negara yang rancak kadar pertumbuhannya di rantau ini.

Sementara Brunei pula sedang giat memacu pertumbuhan sambil beransur-ansur meninggalkan imej hebatnya suatu masa dulu sebagai antara negara pengeluar minyak utama di dunia.

Justeru, beliau menggesa perubahan harus dilakukan jika Malaysia mahu diselamatkan.

"Pencapaian kita tidak cemerlang bagi sebuah negara yang telah sekian lama merdeka dan dianugerahkan hasil bumi yang begitu banyak.

"Kita juga mendapati dalam keadaan ekonomi yang mencabar di seluruh dunia, Malaysia masih kekal untuk sekian kalinya dengan belanjawan defisit. Walaupun kurang pendapatan hasil minyak, Malaysia lembap untuk menukar corak perbelanjaannya agar berhemah dan kurang usaha memerangi ketirisan. Cabaran ini ditambah lagi dengan merosotnya keyakinan pelabur asing terhadap negara kita," kata beliau.

Zuraida mahu rakyat Malaysia melihat ke belakang dan merenung kembali kesilapan dan berani untuk melakukan tranformasi negara jika ingin kekal sebagai sebuah negara demokrasi yang berdaulat.

Katanya, tahun ini sempena kemerdekaan ke-53, Malaysia sudah merdeka lebih daripada dua generasi dan pemimpin yang dipilih sendiri oleh rakyatnya telah sekian lamanya mencorakkan pentadbiran negaranya sendiri untuk kepentingan rakyat.

"Setelah dua generasi berlalu amat wajar untuk mengimbas semula apa yang telah kita capai," katanya dalam perutusan kemerdekaan hari ini.

Zuraida berkata, tsunami politik daripada Pilihan Raya Umum ke-12 telah menjadikan lima buah negeri diperintah oleh dua kerajaan yang berbeza, diperingkat negeri oleh Pakatan Rakyat manakala Barisan Nasional memerintah di kerajaan Pusat.

"Ini merupakan satu era baru di mana rakyat bulat memilih untuk memberi kepercayaan mentadbir negeri mereka kepada gabungan pemerintah selain daripada BN.

"Rentetan itu, kita telah digegarkan oleh satu episod rampasan kuasa oleh BN terhadap pentadbiran kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat. Rakyat negeri Perak khususnya dan Malaysia amnya masih terpingga-pingga bagaimana episod yang memalukan ini boleh berlaku.

"Sebagaimana tsunami PRU 12, peristiwa ini kekal sebagai sebahagian daripada ungkapan sejarah negara kita," kata Zuraida lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, Malaysia yang berbilang kaum dan agama telah hidup harmoni bersama sejak puluhan tahun selepas merdeka.

Namun katanya, kebelakangan ini kedengaran suara sumbang yang mengugat toleransi agama di negara ini.

"Negara yang matang demokrasi sepatutnya menambah mutu - lebih harmonis dan toleran.Bagaimana perkara ini boleh berubah, adakah nilai budi kita semakin terhakis?

"Kita mendengar suara anak kelahiran negara kita mendesak agar peluang samarata diberikan kepada semua rakyat dan semua negeri sambil tidak menafikan tumpuan khas kepada golongan terpinggir dan masih memerlukan.

"Kita juga masih terkejut dengan penghijrahan sejuta warganegara Malaysia keluar meningggalkan negara kita dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini! Apakah yang telah berlaku, adakah kedua-dua isu ini berkaitan?

Mangsa kedua letupan bom buatan sendiri meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Mangsa kedua yang melecur dalam kejadian letupan bom buatan sendiri di tingkat bawah Apartmen Desa Tun Razak, Cheras di sini meninggal dunia pagi tadi.

Goh Weng Sing, 38, pekerja restoran, meninggal dunia kira-kira 5.45 pagi.

Dua hari lalu, Wong Siew Song, 51, meninggal dunia kira-kira 5.10 petang ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia — lebih sembilan jam selepas kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi kelmarin, kedua-dua mangsa telah diminta majikan mereka untuk mengangkat sebuah kotak misteri di depan rumahnya sebelum ia meletup dan terkena kedua-dua mangsa.

Goh dan Wong, seorang pekerja kafe siber, cedera parah sebelum meninggal dunia kemudian.

Akibat letupan kuat itu, cermin tingkap di lima rumah dalam deretan bangunan yang sama turut pecah.

Menurut laporan Bernama, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah Othman berkata Goh meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dipindahkan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai Goh berkata Weng Sing adalah anak ketiga daripada empat beradik dan sudah berkahwin.

“Saya tidak tahu pekerjaan anak saya selama ini, tetapi saya percaya anak saya telah dianiaya.

“Saya minta polis siasat perkara ini memandangkan suspek telah diketahui,” katanya kepada pemberita di luar bilik mayat HKL di sini hari ini.

Sementara itu, isteri mangsa yang bekerja di Singapura, yang turut berada di luar bilik mayat HKL itu, enggan ditemuramah.

Difahamkan polis telah pun mengambil keterangan daripada isteri suspek yang menghantar bom buatan sendiri itu, dan usaha menjejakinya sedang giat dijalankan, termasuk mengawasi rumah suspek.

Polis kini giat memburu suspek, dipercayai seorang kontraktor berumur 45 tahun, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kawasan perumahan itu.

Setahun Berlalu, Adik Beng Hock Harap Keadilan Dapat Ditegakkan Sempena Hari Merdeka

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Teo Lee Lan, adik kepada bekas pembantu politik, Teo Beng Hock yang mati semasa dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setahun lalu berharap keadilan kepada mendiang abangnya dapat ditegakkan.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-53 Lee Lan menyampaikan harapan beliau dan keluarga dalam mesej melalui rakaman video.

"Keadilan begitu sukar (diperolehi). Dalam tempoh satu tahun yang lalu keluarga kami menunggu, tetapi masih tidak ada jawapan tentang kematian Beng Hock. Kami tertanya-tanya, adakah akan ada jawapan?

"Hari kemerdekaan sudah hampir, tetapi kalau jawapan ini masih belum diperolehi, bagaimanakah kami boleh menyambut hari kemerdekaan ke-53?" soal Lee Lan dalam ucapan Hari Merdeka selama hampir dua minit yang dimuatnaik di laman web youtube.

Pada 16 Julai 2009, Beng Hock yang bertugas sebagai setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, terbunuh selepas dipercayai jatuh dari bangunan pejabat SPRM Selangor di sini.

Sehari sebelumnya, beliau dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salahguna wang peruntukan Dewan Undangan Negeri yang membabitkan beberapa ADUN Pakatan Rakyat di Selangor.

Berikutan itu, satu inkues ditubuhkan bagi menjalankan siasatan bagi menentukan punca kematiannya di Mahkamah Shah Alam, di ketuai koroner, Azmil Muntapha Abas.

Semenjak inkues bermula pada 29 Julai 2009, belum ada keputusan muktamad berhubung punca kematian Beng Hock walaupun pakar forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand tidak menolak kemungkinan 80 peratus mangsa dibunuh.

Lee Lan berharap tidak akan ada lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa akibat kezaliman pihak yang tidak bertanggunggjawab dalam tindakan dan prosedur mereka ketika menjalankan tugas.

"Saya berharap, seluruh rakyat Malaysia ketika menyambut Hari Kemerdekaan, akan memperingati Beng Hock dan juga semua rakyat yang terkorban akibat seksaan (seperti ini). Biarlah Beng Hock menjadi orang yang terakhir.

"Ketidakadilan yang dialami oleh beliau, akan membawa perubahan yang nyata, maka hak asasi saudara mara anda akan terjamin. Saya berharap, anda tidak akan mengalami kesengsaraan kehilangan ahli keluarga yang tersayang," kata Lee Lan mengakhiri ucapannya.

Khairy Silap Tackle Isu .

1. Hari ini Khairy selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menempelak PAS dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz kononnya terhegeh - hegeh menjaga hati DAP dalam isu non muslim memasuki masjid baru - baru ini , merujuk kepada MP Serdang.

2. Suka saya nasihatkan saudara Khairy Jamaludin agar merujuk terlebih dahulu isu ini kepada orang yang mendalami urusan agama agar tidak terserlah kejahilan kita tentang agama sewaktu mengeluarkan kenyataan .

3. Apabila agama membenarkan atau mengharuskannya , maka kita kena kata harus . Demikian sebaliknya jika agama kata haram maka kita kena kata haram . Tidak kira UMNO atau DAP . Sebagai contoh Fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan telah menyatakan harus hukumnya non muslim memasuki ruang solat di masjid atau surau [ dengan syarat menjaga adab dan tidak menceroboh masjid atau surau tersebut.] maka kita akur dan mengatakan hukumnya harus , maka perkara ini tidak sepatutnya menjadi isu .

4. Sepatutnya yang menjadi isu dan Khairy sayugianya kena tackle isu itu ialah isu pemimpin wanita yang beragama Islam tidak menutup aurat malah berucap pula dalam surau tanpa menutup aurat sedang menutup aurat itu wajib ke atas mereka . Justeru ia luar biasa . Biasanya seorang muslimah menutup aurat kerana ia suruhan agama , tetapi luar biasanya wanita - wanita ini memasuki surau tanpa menutup aurat . Perkara luar biasa inilah sepatutnya menjadi isu [ Rujuk gambar di atas ] dan isu inilah Khairy kena tackle .

5. Contoh : Seekor anjing menggigit seorang budak , itu adalah perkara biasa dan tidak menjadi isu . Tetapi seorang budak menggigit seekor anjing sehingga anjing itu cedera parah , maka itu luar biasa dan itulah isu yang Khairy kena tackle .

6. Isu non muslim datang ke masjid dan surau adalah suatu yang tidak bertentangan dengan agama dan sepatutnya ia tidaklah menjadi isu . Sewajarnya menjadi isu ialah ummat Islam yang enggan ke masjid dan ia bertentangan dengan ajaran agama justeru masjid dibina untuk ummat Islam. Malangnya Khairy tidak tackle isu ini .

7. Selayak Khairy selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pula ahli parlimen , menganjurkan kempen dikalangan anak - anak muda seperti kempen Jom solat , Jom ke masjid dan lain - lain sebagaimana yang dilakukan oleh pemuda pemuda PAS . Kempen jauhi maksiat dan zina juga wajar dianjurkan dan dijadikan isu saat masyarakat berdepan dengan bencana sosial yang dahsyat mutaakhir ini .

8. Sama dengan kes doa seorang khatib yang mendoakan agar Allah memberi hidayah kepada seorang Ketua Menteri yang non muslim dengan harapan ia menerima Islam . Perkara ini tidak bertentangan dengan agama kerana nabi saw pernah mendoakan Umar al Khattab supaya menerima Islam dan akhirnya Umar benar - benar menerima Islam . Tetapi malang tidak pula Khairy jadikannya isu apabila pihak kerajaan [ masa tu UMNO dan BN memerintah di Penang ] mengambil tindakan pecat ke atas seorang imam di Penang .

9. Kita bukan tunduk dan akur atau terhegeh - hegeh menjaga hati DAP sebagaimana yang didakwa oleh Khairy sebaliknya kita menjaga hukum agama . Yang benar tetap benar . Sebab itu saya sendiri tegas memperjuangan syariat Islam dan hasrat melaksanakannya walau ditentang oleh sebahagian pemimpin DAP. Kerana isunya bukan nak jaga hati sesiapa tetapi jaga Islam dan syariatnya .

10. Karnial Juara Rakyat di anjurkan dalam surau al Falah Kuala Langat pada 9 mei 2010 yang lalu , siap dengan pertandingan fesyen rambut dan sebahagian besar mendedahkan aurat dan berpakaian seksi dalam program di surau itu tidak pula Khairy jadikan sebagai isu . Sebagai seorang muslim saya lihat sdr Khairy silap tackle isu .

[Sumber]

Nurul Izzah Terbit Utusan Rakyat 16 September Depan

PUTRAJAYA 31 Ogos - Utusan Rakyat, akhbar yang diterbitkan untuk memenuhi keperluan maklumat khusus bagi penduduk kawasan parlimen Lembah Pantai dijangka keluar di pasaran pada 16 September depan sempena sambutan Hari Malaysia ke-47.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata beliau telah menghantar permohonan permit bagi akhbar baru itu pagi semalam ke Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-QUran, Kementerian Dalam Negeri.

Utusan Rakyat diterbitkan dengan tujuan menjadikannya sebagai satu media bebas agar rakyat dapat menilai dan membuat pertimbangan sendiri tanpa pengaruh mana-mana parti politik.

"Tujuan utama akhbar ini adalah agar satu wadah dapat diwujudkan untuk penglibatan konstruktif semua pihak dan merupakan satu usaha utama meyakinkan rakyat dan masyarakat luar terutamanya pelabur asing terhadap Malaysia yang benar-benar bebas dan merdeka," kata Nurul Izzah.

Kata beliau, permohonan bagi akhbar itu dibuat sebagai menyahut galakan supaya beliau bukan hanya menyuarakan pendapat di luar negara tetapi juga di dalam negara.

Ini berikutan temuramah beliaun yang disiarkan oleh majalah politik, Tempo di Indonesia yang telah dipolitikkan oleh pemimpin Umno-Barisan Nasional berhubung isu kapal selam Scorpene.

Jelas Nurul Izzah, ahkbar ini akan membuktikan kebebasan hak bersuara rakyat benar wujud setelah 53 tahun merdeka daripada penjajah.

Beliau juga berkata pemberian permit akhbar ini akan menunjukkan amalan demokrasi sememangnya dipraktikkan di Malaysia dan rakyat diutamakan, justeru menambahkan keyakinan rakyat terhadap KDN.

"Utusan Rakyat merupakan satu inisiatif saya sendiri dalam mewujudkan platform untuk penulis dan wartawan bebas berekspresi melalui penulisan tak berpartisan.

"Seperti selalunya, Pakatan Rakyat amat menyokong tindakan saya memandangkan akhbar ini tidak bercanggah dengan perjuangan dan intipati parti dan saya mendapati adanya keperluan satu media baru yang dapat mencapai rakyat di seluruh negara," jelas beliau.

Katanya, Utusan Rakyat akan memaparkan berita nasional daripada pihak Pakatan Rakyat dan juga Umno-BN serta pihak lain yang mahu memaparkan berita tidak berpartisan.

Akhbar ini juga boleh menyalurkan maklumat kepada rakyat mengenai pelan serta program untuk rakyat samada oleh Pakatan Rakyat atau parti pemerintah.

Rafizi Umum Pencalonan Ketua AMK Esok

SHAH ALAM 31 Ogos - Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Mohd Rafizi Ramli akan mengumumkan pencalonan beliau bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia esok.

Beliau menjadi calon pertama yang mengisytiharkan hasrat secara rasmi untuk menentang Ketua AMK, Shamsul Islandar Mohd Akin.

Didamping itu Mohd Rafizi juga dijangka mengumumkan barisan 'Kabinet Bayangan' beliau yang akan bersama-sama bertanding sebagai satu pasukan.

Satu sidang media akan diadakan disebuah restoran bersebelahan ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Tropicana, Petaling Jaya pada pukul 11.00 esok

Mohd Rafizi, 33, yang merupakan bekas pegawai kanan di Petronas Carigali Sdn Bhd dan Pharmaniaga Berhad di lantik ke jawatan sekarang pada Disember 2009.

Beliau dilahirkan pada 14 September 1977 di Besut, Terengganu dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Ismail, Kemaman (1984 – 1989) serta Kolej Melayu Kuala Kangsar (1990 –1994).

Mohd Rafizi berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik dari Universiti Leeds serta lulus sebagai akauntan bertauliah dari Jeffreys Henry Chartered Accountants, London.
Setiausaha AMK, Zulfikar Ali Ariffin ketika dihubungi berkata beliau mengalukan-alu anggota
AMK untuk bertanding mana-mana jawatan dalam sayap itu.

"Inilah budaya demokrasi yang kita mahu suburkan di dalam AMK dan juga KEADILAN. Setiap ahli
berhak memilih dan dipilih.

"Hanya saya ingin berkongsi pendapat ahli peringkat akar umbi biarlah pertandingan untuk apa sahaja jawatan bebas daripada budaya 'wahyu' kerana ini akan menjadi penghalang kepada usaha memantapkan KEADILAN sebagai sebuah parti masa depan," kata Zulfikar.

Merdeka 53: Membudayakan Demokrasi

SHAH ALAM 31 Ogos - Sambutan menyambut kemerdekaan negara ke-53 tahun ini telah dicemari serta dinodai tindakan Umno-Barisan Nasional yang memainkan sentimen perkauman saban hari melalui media di bawah kawalannya sehingga menyebabkan keadaan gelisah dengan tujuan membangkitkan kemarahan rakyat.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata justeru itu tema perayaan menyambut kemerdekaan pada 2010 seharusnya dimaknakan dengan pembudayaan demokrasi dan pembebasan diri daripada sebarang polemik perkauman dan agama yang mengkal.

"Tetapi ini tidak berlaku di bawah Umno-BN, memperlihatkan bagaimana media saban hari memuatkan perihal isu-isu sempit yang nyata mengelirukan rakyat.

"Sistem politik negara yang menjadi akar kepada pembangunan negara terus dilacur dengan sentimen agama dan perkauman yang busuk lagi membusukkan, dengan mengapi-apikan sentimen di kalangan rakyat pelbagai kaum tanpa memikirkan impak kepada masa depan negara," kata Shamsul dalam mesej beliau sempena Hari Kemerdekaan ke-53 hari ini.

Tegas Shamsul setelah melangkah ke usia 53 tahun sewajarnya Malaysia telah digarap menjadi sebuah negara yang merdeka sebenar-benar merdeka daripada sebarang kepompong politik usang dan rakus.

Daam konteks ini beliau mengingatkan kembali peranan penting golongan muda untuk membawa perubahan kritikal kepada kerangka politik negara yang kini didominasi oleh kebobrokan sistem pentadbiran Umno-BN yang pincang dan menyeleweng.

"Tidak ada maknanya merdeka jika generasi muda masih dipasung mindanya, tanpa pendedahan kepada muafakat dan musyawarah dalam kepelbagaian. Dan semoga tahun 2010 ini memberi makna baru kemerdekaan negara, sebagaimana yang dilaung oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman lewat Pemasyhuran Kemerdekaan 53 tahun yang lampau.

"Dewasa ini kita dipertontonkan dengan pudar dan lunturnya semangat kemerdekaan dan pemahaman makna merdeka di kalangan generasi pasca merdeka. Maka yang terus dipersalahkan ialah generasi muda, tanpa sesekali kalangan penguasa melihat betapa lompongnya sistem politik, ekonomi dan sosial yang tidak jauh bezanya daripada zaman kolonial dahulu," ujar beliau.

Shamsul juga menyeru menjadikan sambutan Hari Kemerdekaan yang disambut dalam bulan Ramadhan Al Mubarak dijadikan sebagai penguat semangat dan iltizam untuk terus berjuang menegakkan prinsip keadilan, ketelusan dan keharmonian kaum .

"2010 menyaksikan ulangtahun kemerdekaan Malaysia disambut di dalam barakah Ramadhan al-Mubarak, bulan di mana umat Islam melalui proses penyucian diri dengan berjuang melawan hawa nafsu daripada membungkam diri dan jiwa. Perkaitan signifikan Ramadhan al-mubarak dan kemerdekaan ini harus digabung-jalin, bagaimana roh kemerdekaan itu harus dikecap dengan menghindarkan negara dan rakyat daripada sebarang bentuk penindasan luar dan dalam.

"Salam kemerdekaan daripada seluruh kepimpinan dan keluarga besar Angkatan Muda KEADILAN Malaysia buat seluruh rakyat dan generasi muda Malaysia. Ayuh kita singkap makna merdeka, kita pupuk jiwa merdeka, yang sebenar-benarnya merdeka!" kata Shamsul lagi.

Mahasiswa sokong tuntutan royalti Kelantan

Mahasiswa
PENDAHULUAN

Pada 1975, satu perjanjian telah ditandatangani oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkaitan pemberian royalti kepada negeri Kelantan. Menurut terma perjanjian itu, Kelantan diberikan royalti sebanyak 5 peratus setahun dibayar secara tunai dua kali setahun untuk hasil minyak yang ditemui di kawasan pantai dan pesisirnya.

Royalti minyak Kelantan ditimbulkan oleh kerajaan negeri Kelantan pada Julai 2009. Exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa menganggar royalti minyak Kelantan melebihi daripada RM1 bilion. Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia terbaru menunjukkan Kelantan mula mengeluarkan minyak sejak 2004 dan berikutan itu kerajaan negeri mengutus surat rasmi menuntut sebanyak RM1 bilion. Laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan dalam satu tahun adalah RM2.5 bilion. Kerajaan negeri Kelantan telah menuntut antara RM850 juta dan RM1 bilion daripada kerajaan pusat mengikut Akta Petroleum 1974, yang membolehkan negeri Kelantan menerima royalti minyak sebanyak 5 % daripada hasil perolehan petroleum.

Pada 8 Julai 2009,Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan untuk lebih kredibiliti dengan kabinet membuat keputusan biarlah Petronas menjelaskan kedudukan sebenar dari sudut perlembagaan dan perundangan. Royalti telah dimanipulasikan dengan pemberian wang ehsan sejumlah RM20 juta yang sehingga kini tidak diketahui kemana perginya wang tersebut. Namun rakyat Kelantan tidak boleh menerima suatu permainan politik yang jelas membodohkan orang Kelantan.

Mahasiswa berasa bertanggungjawab untuk membawa isu royalti rakyat Kelantan ini sebagai agenda yang perlu kami bawa dan perjuangkan bersama rakyat Kelantan. Rakyat Kelantan tidak boleh dipermainkan sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu. Isu royalti ini melampaui sempadan politik kepartian dan bangsa, maka amat perlu untuk mahasiswa berpatisipasi untuk turut menyatakan pandangan dan tuntutan bagi isu ini.

Berlandaskan prinsip Islam dan civil society, melalui pembacaan dan penelitian fakta, maka kami terpanggil untuk menyuarakan pandang bersama-sama rakyat Kelantan.

Kenyataan Mahasiswa:

PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA

Isu tuntutan royalti menjadi agenda besar seluruh rakyat Kelantan yang inginkan hak mereka untuk mendapatkan wang tersebut. Perjuangan menuntut royalti bukannya bersifat desakan, tetapi ianya bersifat tuntutan hak yang telah dirampas oleh pihak tertentu.

Berdasarkan pada Bancian Tahun 2000, Kelantan mempunyai seramai 1,313,014 orang penduduk. Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar dengan 95%, diikuti dengan kaum Cina 3.8%, kaum India 0.3% dan lain-lain kaum 0.9%. Berdasarkan bancian tersebut, 95% beragama Islam, diikuti Buddha 4.4%, Kristian 0.2%, Hindu 0.2% dan lain-lain agama sebanyak 0.2%.

Melihat kepada angka dan statistik tersebut, jumlah penduduk majoriti Kelantan adalah kalangan orang Melayu.

Mahasiswa juga melahirkan rasa hairan kenapa kerajaan sekarang yang dikemudi oleh sebuah parti melayu tidak memandang betapa perlunya untuk diberikan royalti kepada rakyat Kelantan yang sememangnya berada dalam ekonomi yang kurang baik.

Jumlah isi rumah miskin tegar di Kelantan ialah 10.6 peratus atau seramai 3,550 orang. Statistik 2008, jumlah penduduk Kelantan adalah 1,453 000. Dengan jmlah 1 billion yang dituntut, maka rakyat Kelantan mendapat manfaat berjumlah RM600 bagi setiap penduduk secara nisbahnya.

Dengan pemberian royalti juga, jumlah kemiskinan tegar sudah pasti dapat dikurangkan. Mahasiswa memandang berat sosio ekonomi rakyat yang sepatutnya sudah tidak timbul masalah kemiskinan tegar dikala negara sudah hampir munuju negara membangun sepenuhnya menerusi wawasan 2020.

Dengan tema rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, pihak kerajaan pusat patut mempertimbangkan hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan “wang mereka” demi kegunaan sara hidup seharian. Kita juga menuntut agar suatu audit yang lengkap tehadap penyaluran royalti sekiranya diberikan kepada kerajaan negeri. Jika kerajaan negeri gagal menyampaikan royalti tersebut kepada rakyat Kelantan, maka mahasiswa dan rakyat boleh memberikan hukuman yang setimpal pada pilihanraya yang akan datang. Sebaliknya jika kerajaan pusat berdegil dengan pendirian tersebut, maka amat wajar rakyat untuk mahasiswa dan rakyat Kelantan memberikan pengajaran kepada sepatutnya pada pilihanraya akan datang.

MAARUF CLUB UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA

Berpaksikan kepada sebuah negara yang menjadikan teras demokrasi sebagai tunjang kesepakatan bersama, maka adalah wajar untuk Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri memainkan peranan masing-masing berteraskan kepada semangat Perlembagaan. Pembahagian kuasa ini yang telah sekian lama diadaptasi di dalam sistem demokrasi berparlimen ini mestilah dipatuhi supaya wujud kesepakatan dan toleransi di dalam mengatur urus pentadbiran sesebuah negeri dan negara. Apa yang jelas, semua negeri termasuk Kelantan bertaraf sama di sisi Akta Kemajuan Petroleum 1974. Perjanjian dengan Petronas pada tahun 1975/76 memperuntukkan bahawa negeri-negeri akan mendapat bayaran tunai sebanyak 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai di dalam mana-mana negeri berkenaan. Oleh itu, mahasiswa berpendirian tegas bahawa perjanjian yang telah dimeterai antara Petronas dan Kerajaan Kelantan ini mestilah diakui kandungannya dan tidak dicabuli tanpa sebarang justifikasi yang absah lantaran wujud apa yang dilihat sebagai berkepentingan politik.

Mahasiswa menilai bahawa isu royalti Kelantan sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah tanpa perlu melibatkan rujukan kepada proses undang-undang kerana kandungannya amat jelas dan mudah difahami, sebagaimana diperjelas oleh Tengku Razaleigh Hamzah, penggubal Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan individu yang bertanggungjawab memperbadankan Petronas. Apa yang cukup dikesalkan, ada pula pihak luar yang terlebih sudu daripada kuah kerana memandai-mandai mentafsir peruntukan perjanjian tersebut seolah-olah penggubal draf tersebut salah dalam memahami kandungan yang ditandatangani.

Di bawah Akta Pembangunan Petroleum, 1974 (PDA), setiap daripada 13 Negeri di Malaysia telah menandatangani Perjanjian yang sama dan Geran Penyerah Hakkan pada tarikh yang berbeza dalam tahun 1975/1976 dengan Petronas bagi menyerah hak pemilikan masing-masing terhadap petroleum kepada Petronas dengan pertimbangan Petronas membayar kepada setiap Negeri di mana petroleum dihasilkan samada di daratan dan lautan dengan bayaran tunai dalam bentuk jumlah tahunan setara dengan 5% daripada nilai petroleum yang dihasilkan di mana-mana negeri yang berkenaan.

Kerumitan ini tidak wujud sewaktu Pertonas ditubuhkan pada 1974 dan hanya berbangkit selepas 1999. Contohnya, selama 22 tahun berturut-turut, iaitu dari tahun 1978 hingga Mac 2000, Petronas membuat bayaran tunai kepada Terengganu dua kali setahun di bawah PDA, Perjanjian dan Geran Penyerah Hak, meskipun minyak dihasilkan ratusan batu di luar pantai Terengganu.

Hanya ketika pembangkang membentuk Kerajaan Negeri Terengganu selepas Pilihan Raya Umum pada November 1999, Petronas berhenti membuat bayaran tunai kepada Terengganu, walaupun dalam masa yang sama Petronas masih lagi mengeluarkan minyak di luar pantai Terengganu tanpa membayar bayaran seperti sepatutnya dan diamalkan sebelumnya.

Amat menyesali hakikat ini, mahasiswa menggesa pihak Kerajaan mematuhi perjanjian asal yang telah dimeterai secara persetujuan bersama ini kerana permainan tarik tali sebegini pada akhirnya hanya akan merugikan rakyat terbanyak yang bakal mendapat faedah secara langsung. Mahasiswa juga berpendirian bahawa pemberian wang ihsan kepada agen Kerajaan Pusat untuk disalurkan kepada Negeri Kelantan adalah ralat dan menyalahi semangat demokrasi kerana rakyat Kelantan telah membuat pillihan Kerajaan secara sah melalui sistem demokrasi untuk mengurus atur dan mengawal selia segala perkara berkaitan kepentingan mereka. Oleh itu, jika Kerajaan masih berdegil untuk mematuhi perjanjian ini, mahasiswa tidak akan teragak-agak untuk mengajak dan memobilisasi seluruh anak muda bagi menolak corak pentadbiran sebegini yang jelas tidak bersifat mesra demokrasi dan menyalahi peruntukan perundangan.

PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

Mahasiswa Universiti Putra Malaysia khususnya PMIUPM juga turut menyokong dasar dan hak-hak tuntutun negeri Kelantan bagi isu royalti minyak ini. Kami memandang serius hal ini dari aspek keadilan kepada rakyat dan juga integriti sebuah kerajaan sebagai “Federal Government” yang bertanggung jawab terhadap negeri-negeri di bawah naungannya.

Konsep keadilan dan ketelusan pemerintahan sebuah kerajaan menjadi dasar utama memastikan nasib rakyat terbela dan juga menjamin masa depan negara yang maju. Inilah asas perjuangan mahasiswa yang mana menjadi semak dan imbang kepada pemerintah negara.

Dalam isu tuntutan royalti,mahasiswa memandang bahawa kerajaan sepatutnya menolak ketepi agenda politik parti dan memfokuskan pada isu kebajikan rakyat terlebih dahulu.Jika tidak,amanah sebagai pemerintah negara sudah semestinya diabaikan kerajaan pusat.

Timbul juga beberapa keraguan pada kami yang mana jika benar apa yang dikatakan oleh kerajaan pusat iaitu royalti bukan milik kerajaan negeri Kelantan, tentunya tidak ada kenyataan dari Ku Li iaitu MT UMNO sendiri yang juga orang penting dalam menggubal dasar Petronas dahulu dan juga Tuan Haji Hassan Ahmad, bekas bendahari Petronas yang terang-terang menyokong tuntutan royalti untuk kerajaan Kelantan.

Selain itu, jika kerajaan pusat juga benar ikhlas untuk membantu rakyat Kelantan dan juga kerajaan negeri,kenapa duit yang dikatakan sebagai ‘wang ehsan’ itu tidak terus diberikan kepada kerajaan negeri tetapi ianya hanya disalurkan kepada JPP(Jabatan Pembangunan Persekutuan).Sudah tentu kerajaan negeri tidak dapat menggunakan dana ini untuk tujuan pembangunan yang dirancang diperingkat negeri.

Oleh itu,sekali lagi kami selaku mahasiswa menegaskan kepada kerajaan, samada pusat atau negeri, bahawa keadilan dalam pemerintahan perlu menjadi satu amanah yang besar dan dijaga dengan betul.Sebagai pemimpin negara,perlu menunjukkan contoh integriti yang tinggi dan baik kepada semua lapisan masyarakat samada pekerja sektor awam dan swasta,mahasiswa sebagai pelapis pimpinan negara serta masyarakat am khususnya.Inilah menjadi kayu ukur sejauh mana mampunya kerajaan pemerintah sekarang mampu mentadbir negara dengan baik.

TUNTUTAN BERSAMA

1. Berikan hak royalti yang sepatutnya kepada rakyat Kelantan tanpa ada sebarang diskriminasi

2. Jangan tipu rakyat yang sudah maklum tentang fakta dan isu royalti yang berlaku

3. Besikap adil kepada rakyat Kelantan tanpa mengira batasan politik kerana kita rumpun 1Malaysia

4. Mahasiswa akan membawa isu ini ke kampus sekiranya ia tidak diselesaikan secara berhemat

Justeru kami mewakili mahasiswa dan juga rakyat Kelantan menyatakan secara tegas pendirian kami bahawa isu royalti bukanlah agenda politik kepartian, kerana ia adalah hak yang perlu dituntut. Turut sama dinyatakan dalam sidang media ini beberapa tuntutan penting dari pihak kami agar diberi perhatian sewajarnya.

Sekian, terima kasih.

Ahmad Syazwan bin Muhammad Hasan

Presiden

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)

Pasir Puteh Kelantan

Muhammad Zaki Bin Sukery

Presiden

Maaruf Club Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ( UIAM )

Kota Bharu Kelantan

Abdul Razak bin Omar

Presiden

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia ( PMIUPM )

Kota Bharu Kelantan

Mohd Khairul bin Abdullah Halim

Presiden

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia ( PMIUTM )

Kota Bharu Kelantan

Wan Baihaqi bin Wan Abd Rahman

Presiden

Persatuan Pelajar Islam Universiti Tenaga Nasianal ( PPI UNITEN )

Tumpat Kelantan

Sokongan bersama:

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)

Ikatan Study Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISI UKM)

Persatuan Mahasiswa Kelantan Darul Naim Universiti Kebangsaan Malaysia (PERDANA)

Persatuan Anak-anak Kelantan Darul Naim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PERDANA)

Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya (PMKUM)

Makluman media:

1. Kami akan serahkan memorandum kepada Y.A.B Dato’ Menteri Besar Kelantan pada majlis hari raya mahasiswa bersama MB pada hari raya ke-4 nanti.
2. Gerakan diperingkat anak muda akan dimulakan. Isu ini adalah maslah rakyat, mahasiswa akan bersama-sama rakyat memperjuangkan isu ini.
3. Penerangan dan penjelasan isu royalti akan diadakan diperingkat kampus dari masa ke semasa.
4. Pergerakan kami bukan hanya didokong oleh persatuan anak Kelantan, tetapi kebetulan 5 orang presiden persatuan mahasiswa islam di 5 buat universiti utama adalah ANAK JATI KELANTAN. Ahli dalam semua persatuan kami boleh mencecah 5 ribu orang yang mendaftar. Sekiranya kerajaan pusat tidak mengambil serius isu ini, kesannya lebih parah pada pilihanraya yang akan datang.
5. Perjuangan kami adalah untuk rakyat, dan ini adalah perjuangan patriotik untuk mengambil balik hak rakyat kelantan yang telah dirampas oleh pihak yang tidak bertanggung jawab.

Kalah Berhujah Umno-BN Guna Senjata Sentimen Perkauman, Agama

SHAH ALAM 31 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan pimpinan Umno yang tanpa segan silu menuding jari kepada orang lain sebagai pengkhianat dan pembelot demi kepentingan politik.

Sebaliknya, menurut kata Anwar Umno-BNlah sebenarnya pihak yang memperalat sentimen perkauman sempit dan agama.

Tambahnya, walaupun Umno sudah kehilangan senjata untuk berhujah, mereka sanggup memperalat sentimen perkauman sempit dan agama demi laba politik semata-mata.

"Mutakhir ini sering pula ada golongan yang seperti hilang sudah karamah diri, tanpa segan silu menuding mereka yang lain sebagai pengkhianat dan pembelot.

"Makanya siapa di antara kita yang mahu menafikan perbuatan golongan tadi itulah yang sebenarnya mengkhianati makna Kemerdekaan," kata beliau dalam perutusan Hari Merdeka ke-53 hari ini.

Anwar berkata, Kemerdekaan pastinya mempunyai makna teristimewa dan penting buat seluruh rakyat Malaysia.

Kata beliau, ia menyedarkan rakyat akan kewujudan sebuah negara yang menjadi tempat berteduh dan berlindung.

"Jarang sekali Kemerdekaan dicapai tanpa sebuah perjuangan, walau wadah perjuangan itu tidak semestinya menumpahkan darah. Perjuangan hatta dengan tinta sekalipun tetap sebuah perjuangan.

"Apa yang lebih penting adalah niat dan makna yang mendasari perjuangan tersebut. Kekalutan yang ditimbulkan golongan pelampau serta tidak bertanggungjawab di negara ini menuntut kita untuk kembali menyelami makna sebuah Kemerdekaan dan erti sebuah perjuangan," tegas Anwar.

Justeru, sempena Kemerdekaan negara, Anwar menyeru semua rakyat bersama-sama beriltizam untuk:

- Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.

- Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.

- Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

- Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa dibicara. Serentak dengan itu mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan Darurat yang masih berkuatkuasa.

- Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi.

- Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.

Untuk itu, Anwar berharap usaha semua pihak untuk memaknai erti sebuah Kemerdekaan diredhai dan diberkati.

Sambutan Merdeka Dicemari Tindakan Fitnah Umno-BN Apikan Sentimen Perkauman

SHAH ALAM 31 Ogos - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 hari ini seolah-olah tidak mempunyai jiwa kerana masih ada pihak yang meniupkan api perkauman yang dikhuatir boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum.

“Tidak ada gunanya jika kita melaungkan Merdeka tetapi hakikatnya ia kosong tanpa amalan.

“Tidak ada guna bercakap soal perpaduan kaum jika masih ada anasir-anasir yang meniupkan api perkauman.

“Malah tidak ada gunanya mengaku antiperkauman jika membiarkan musuh-musuh perpaduan menggalakkan sikap membenci antara kaum dan agama,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Merdeka bermaksud bebas daripada segala penindasan dan pengekangan hak hak termasuk undang-undang zalim.

“Erti Merdeka amat penting kepada kita semua kerana ia mencerminkan kematangan rakyat Malaysia dalam mengharungi cabaran khususnya dalam usaha kita untuk memupuk perpaduan kaum.

“Merdeka juga bererti kita bebas daripada undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan banyak lagi undang-undang yang bersifat antirakyat dan antikebebasan.

“Malah, Merdeka juga sepatutnya bererti Malaysia bebas daripada rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, diskriminasi dan perkauman. Merdeka bermaksud rakyat hidup aman damai tanpa rasa takut,” katanya.

Tambah beliau, parti DAP sentiasa berjuang dalam usaha mewujudkan masyarakat pelbagai kaum dengan menawarkan peluang dan keadilan untuk rakyat.

“DAP tetap menjunjung Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menjamin hak-hak setiap rakyat di negara ini.

“Tetapi malangnya usaha dan semangat yang kita lakukan ini cuba dipatahkan oleh pihak yang tidak mahu melihat masyarakat hidup dalam suasana harmoni dan kasih sayang,” kata beliau.

Beliau juga kesal dengan tindakan akhbar Utusan Malaysia dan beberapa pemimpin Barisan Nasional menabur fitnah terhadap wakil rakyat Pakatan Rakyat.

“Saya sendiri pernah menjadi mangsa fitnah dan pembohongan Utusan Malaysia dan pemimpin BN.

“Selain itu, kawan-kawan saya dalam DAP termasuk Tony Pua, Teo Nie Ching, Teresa Kok dan beberapa pemimpin Pakatan lain turut menjadi mangsa,” katanya.

Guan Eng juga berkata, DAP akan tetap meneruskan agenda untuk mengeratkan hubungan antara pelbagai kaum di negara ini walaupun ditentang kerajaan BN.

Keindahan Islam: Masjid untuk semua

Wan Nik Wan Yussof

Pendekatan bertugas Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda di Kajang, 22 Ogos lalu semata-mata untuk memenuhi permohonan bantuan surau dan menyerahkan kepada pihak terbabit serta menyampai ucapan berhubung program pendidikan Kerajaan Negeri Selangor dilihat sudah dipromosi secara salah oleh pihak tertentu. Menyebabkan terbongkar satu lagi kejahilan amalan beragama sesetengah orang Melayu yang beragama Islam secara “keturunan.”

Rasa sedikit pilu atas keserlahan kejahilan beragama itu turut dirasai oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz, isu bukan Islam memasuki masjid bukan satu kesalahan dalam Islam kerana pendekatan itu merupakan antara kaedah yang diguna Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan mesej dakwah. Namun, menurut Tuan Guru ia menjadi bising kerana sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni. Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah.

Menurut Tuan Guru lagi sepertimana dipetik Rizal (Harakahdaily 28 Ogos 2010), “kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid. Menjauhkan orang bukan Islam dengan masjid adalah budaya kita sahaja, bukan ajaran nabi.”

Benarkah mereka ini jahil?

Kejahilan amalan beragama sesetengah orang Melayu yang beragama Islam secara “keturunan” dapat dibaca secara terbuka, terang dan nyata. Antaranya dalam Utusan Online (27 Ogos 2010) menyiarkan kenyataan jahil tuke, seorang pejuang Melayu (bukan pejuang agama) merangkap Yang Dipertua kepada sebuah pertubuhan (peringkat Negeri Selangor) yang ada kaitan dengan pejuang Melayu Pasir Mas ada berkata, pihaknya memandang serius tindakan Nie Ching kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan titah Sultan Selangor berhubung larangan menggunakan masjid dan surau untuk tujuan politik sebelum ini. Lalu menganggap tindakan ahli parlimen itu bertentangan dan menyalahi hukum kerana orang bukan Islam tidak boleh memasuki ruang solat masjid atau surau apatah lagi untuk menyampaikan ceramah kepada umat Islam. Lantas menyifatkan ia betul-betul satu penghinaan yang amat besar kepada umat Islam apabila ada seorang bukan Islam yang keadaannya tidak 'bersih' memasuki ruang solat utama surau berkenaan untuk mengadakan majlis dan membuat ucapan di situ. Malah turut mempersoalkan pula tindakan Teo Nie Ching itu, apakah kerana politik, maka hukum dan larangan orang bukan Islam masuk ke dalam ruang solat masjid dan surau boleh dihalalkan. Semua kenyataan itu disiarkan secara terang (bercetak) oleh akhbar Utusan Malaysia (28 Ogos).

Turut disiarkan oleh akhbar yang sama ialah selaran oleh individu yang mengaku sebagai pengerusi kepada majlis gabungan pertubuhan tertentu (juga peringkat Negeri Selangor) dan sasarannya ialah menyelar tindakan pihak jawatankuasa surau Al-Huda ekroan berita membiarkan orang kafir (mungkin dimaksudkan kepada ahli parlimen Serdang) yang memasuki ruang solat dan memberikan ucapan dalam rumah ibadat itu. Selarannya itu turut dipetik sebagai berkata, sebagai pihak yang bertanggungjawab menjaga dan menguruskan aktiviti surau terbabit, barisan jawatankuasa surau itu seharusnya bersikap lebih peka dan sensitif dalam hal melibatkan persoalan agama. Lalu mengaitkan peristiwa (dimaksudkan kepada orang kafir masuk surau) itu dengan persoalan, adakah ideologi politik yang menjadi kepercayaan ahli-ahli PAS yang dikatakan berada dalam surau berkenaan melebihi daripada hukum dan larangan yang ditetapkan oleh ajaran Islam. Kemudian menyindir tindakan ahli politik (ahli parlimen wanita yang dimaksudkan itu mungkin Teo Nie Ching) dengan penegasan, “jika mahu memberikan bantuan atau mengadakan ucapan, kenapa tidak pilih saja tempat lain, kenapa perlu diadakan di dalam ruang solat surau berkenaan."

Kenyataan mengejutkan

Sesuatu yang mengejutkan ialah kenyataan salah seorang pihak berkuasa mengurus agama di Negeri Selangor (bukan Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali) yang telah membuat siasatan ke atas kes ahli parlimen wanita bukan Islam memasuki surau al-Huda sebagai benar berlaku (Utusan Malaysia 28 Ogos), lalu pihaknya membuat keputusan untuk mengambil alih Surau al-Huda dan mengurus pentadbrian surau itu serta merta.

Jika kenyataan itu diamati, maka orang awam akan memahaminya sebagai suatu kesalahan besar bagi mana-mana pihak yang mentadbir masjid atau surau menerima kehadiran orang politik (bukan Islam) menyampaikan sumbangan dan berucap dengan menyentuh program Kerajaan Negeri Selangor. Maka layak dipersoalkan, apakah hukum (fatwa) menerima sumbangan dan ucapan dari orang politik di atas masjid? Atau apakah hukumnya orang bukan Islam hadir ke dalam masjid untuk menyampai sumbangan dan berucap? Implikasinya, jika hukum (fatwa) yang dipakai bagi kedua-dua keadaan itu adalah hukumnya haram, nyatalah ajaran Islam yang dianuti itu bukan menggambarkan keterbukaan Islam dan hakikat Islam itu bukan indah dan bukan untuk semua kaum. Natijahnya pendirian hukum itu boleh disifatkan batil.

Tidak mengejutkan

Di sebalik ada tindak balas sepertimana di atas, ada pula tindakan pemimpin cabang pemuda Umno Selangor (Bernama 28 Ogos) yang menganggap pendekatan ahli parlimen Serdang itu sebagai “mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.” Kenyataan itu tidaklah mengejutkan kita kerana memang Umno berkarat memperjuangkan sentimen kaum Melayu.
Kenyataan hampir sama dengan ulasan ketua cabang wanitanya (Utusan Malaysia 28 Ogos) yang menganggap pendekatan ahli parlimen wanita (katanya dari DAP) itu adalah “menifestasi kebiadapan” pemimpin pembangkang kepada umat Islam. Persoalannya, adakah memberi sumbangan dan menceritakan program Kerajaan Negeri Selangor sebagai suatu kebiadapan? Mungkin bagi mereka (dua pemimpin Umno itu) rumah Allah (masjid, surau dan madrasah) hanya layak dimasuki orang Melayu sahaja. Lalu mata dacingnya begitu sensitif seakan-akan ahli parlimen (seorang dari kaum Cina) sudah menghunus senjata kepada pemimpin 1Malaysia. Jika demikian benarnya apa yang dipetik oleh Bernama (29 Ogos) itu, maka memang parah pemikiran 1Malaysia pemimpin generasi baru Umno, sampai gopoh begitu sekali!

Penjelasan tuan terbabit

Sehubungan dengan beberapa ulasan dan kenyataan yang mensasarkan kepada ahli parlimen Serdang itu, maka tuan punya diri (Teo Nie Ching) telah menjawabnya seperti dilapor menerusi blognya (http://www.wretch.cc/blog/teonieching/21522314). Antaranya beliau mengeaskan kunjungannya ke Surau Al-Huda, Kajang bertujuan menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan untuk memperbaiki pagar surau, dan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.

“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.

“Saya menyesal bahawa perkara ini telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara kita dan isu ini telah diperhangatkan oleh pihak-pihak tertentu atas sebab-sebab politik.
“Saya ingin menegaskan secara ikhlas dan murni bahawa lawatan saya ke Surau Al-Huda tidak berniat politik, dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan.”

Berdasarkan pengakuan di atas, apakah pengadilan yang harus diberikan kepada ahli parlimen Serdang itu? Ataukah kita menerima apa yang dilaporkan media dan menganggap segala kecaman serta amaran daripada pelbagai pihak itu sesuatu yang benar dan adil? Hanya kerasionalan mampu menterjemahkan sesuatu yang benar dan adil.

Kes sama dihadapi Jayakumar

Pengarang Utusan Malaysia sebelum ini (5 November 2009) turut melaporkan cerita yang sama melibatkan sebuah masjid di Taman Sri Andalas, Klang yang membenarkan Ahli Undangan Negeri (Adun) Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar berucap di dalam masjid. Lalu dikatakan seorang ketua bagi pihak berkuasa agama menegaskan, “orang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid kerana mereka dikategorikan sama seperti wanita didatangi haid.” Kenyataan itu berbau hukum (fatwa) sahih kerana membuat analogi yang tepat, iaitu Islam melarang wanita berhaid masuk dalam masjid.
"Orang bukan Islam dibenarkan datang dan melawat masjid tetapi tidak boleh masuk dewan utama solat, lebih-lebih lagi berucap di tempat kita bersolat.”

Realitinya, Jayakumar hanya hadir berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan dibuat di dalam masjid (pada 31 Ogos 2009). Peristiwa itu seakan sama dengan apa yang dihadapi Teo Nie Ching. Apapun, tindakan pihak berkuasa agama itu adalah seakan menyokong memorandum Pemuda UMNO ketika itu yang dikatakan melihat tindakan Jayakumar itu hanya boleh berucap di pekarangan masjid tanpa perlu menggunakan dalam masjid.

Fatwa bukan Islam boleh masuk masjid

Apa yang difahami daripada beberapa kenyataan pemimpin Umno, pihak berkuasa agama mahupun beberapa penulisan yang termuat dalam Utusan Malaysia (akhbar Penyebar Fikiran Rakyat) pada 30 Ogos 2010 dilihat menyerang Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah bercanggah dengan fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Malah kesan daripada kenyataan dan penulisan itu secara terang telah memberi imej buruk kepada ajaran Islam itu sendiri. Justeru Islam sudah tiada keindahan lagi dalam konteks hubungan antara kaum dan agama di negara ini.

Hayatilah kenyataan fatwa yang dibaca seperti berikut: “Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid.

“Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.
“Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.”

Landasan mengukuhkan fatwa

Sehubungan dengan fatwa tersebut, kita umat Islam seharusnya berfikiran rasional berasaskan beberapa landasan hukum harus atau haram orang bukan Islam memasuki masjid. Berpandukan beberapa sumber, tulisan ini memaparkan beberapa pandangan ulama’ mengenai hukum harus dan haram bagi orang bukan Islam memasuki masjid. Antaranya pandangan ulama-ulama mazhab Hanafi yang menyatakan harus termasuklah Masjidil Haram dengan berhujah bahawa Rasulullah SAW pernah menerima tetamu dari Thaqif, yang masih belum Islam pada masa itu di masjidnya dan tinggal di situ sebelum mereka memeluk Islam. Dalam hal ini, Imam Ahmad Hanbal menyatakan bukan Islam hanya dibenarkan untuk memasuki Masjidil Haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan yang munasabah.
Rasulullah juga diriwayatkan menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah ketika itu mereka juga diizinkan oleh Nabi SAW untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid, Nabi menyebut kepada sahabat, “biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka).”

Selain itu, Imam Bukhari menerusi sebuah hadis menyebutkan bagaimana seorang bukan Islam bernama Thumamah ibn Athal diikat oleh Rasulullah di dalam masjid (ditangkap atas kesalahan tertentu): “Rasulullah SAW menghantar seorang berkuda ke arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah (sedang mengintip) bernama Thumamah ibn Athal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Selepas tiga hari, yakni setelah Thumamah melihat bagaimana umat Islam beribadah dan keramahan umat Islam kepadanya, akhirnya dia memeluk Islam kerana tertawan dengan keindahan kehidupan dan ibadah umat Islam.

Meskipun firman Allah SWT (al-Taubah ayat 28) bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini.” Namun, ayat ini menegah orang-orang bukan Islam memasuki Masjidil Haram dalam keadaan telanjang sebagaimana adat mereka ketika jahiliyyah adalah menghina Masjidil Haram. Ini kerana apa yang menjadi najis bukan tubuh badan mereka tetapi iktikad mereka. Imam Abu Hanifah menyatakan orang bukan Islam dibenarkan memasuki Masjidil Haram sekadar lalu, tidak dibenarkan duduk dan menetap (sebagaimana sebahagian umat Islam) dan ‘kotor' sebagaimana difahami adalah kekotoran syirik yang melibatkan hati bukan kekotoran fizikal.

Begitu pula ada pandangan ulama-ulama mazhab Syafie membolehkan bukan Islam memasuki masjid dengan izin kaum Muslimin kecuali Masjidil Haram (rujuk Raudhah Tolibin, Jil.1. Hlm. 296). Pandangan yang sama dengan Imam Ahmad dan sebahagian ulama Mazhab Hambali. Ia berlandaskan kata-kata Said bin Musayyib: “Sesungguhnya Abu Sufyan masuk ke Masjid Madinah ketika dia belum Islam, namun itu tidak diizinkan untuk Masjidil Haram (Rujuk Tafsir Ibnu Abi Hatim mengenai ayat 28, surah al-Taubah).

Apapun, pandangan Imam Ahmad bin Hanbal adalah haram orang bukan Islam memasuki masjid. Ia disokong majoriti fuqaha mazhab Hambali. Asasnya berpandukan hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Umar bin Al-Khattab pernah menyuruh seseorang memasuki masjid tetapi dihalang oleh Abu Musa kerana orang itu seorang Nasrani. Saidina Umar tidak membantah halangan Abu Musa. Pandangan ini diperkuatkan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya mengenai ayat 28 surah al-Taubah.

Namun, pandangan mazhab Malik (rujuk Hasyiah al-Showi dan Hasyiah al-Dusuki) orang bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke masjid sekalipun diizinkan oleh orang-orang Islam melainkan dalam keadaan darurat (tertentu). Asasnya kerana dibimbangi akan berlaku perkara-perkara yang menghina kesucian masjid. Keadaan darurat itu dirujuk kepada perbezaan jenis orang bukan Islam itu sama ada harbi, zimmi atau ’ahdi. Maka yang bertaraf zimmi adalah mereka yang sedia mesra dengan Islam tidak mungkin menghina kesucian masjid.

Kunci fatwa

Apapun perbahasan harus atau haram orang bukan Islam memasuki masjid tetap berteraskan kepada firman Allah SWT (al-Taubah ayat 28) bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini.” Justeru itu, ada pandangan yang melihatnya paling kurang terdapat tiga isu yang diperbincangkan oleh ulama Islam: pertama, orang bukan Islam memasuki Masjidil Haram, kedua mengapa orang bukan Islam dilarang memasuki Masjidil Haram, dan ketiga orang bukan Islam memasuki masjid selain Masjidil Haram. Sehubungan itu perlu juga dirujuk kepada maksud firman Allah (an-Nisa’ ayat 43), “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengerjakan sembahyang, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekadar berlalu saja.”

Majoriti ulama melarang bukan Islam memasuki Masjidil Haram atas larangan yang terdapat di dalam ayat ini. Namun Imam Abu Hanifah dan Ahmad menghalusi dalam hal tersebut. Sementara di sisi mazhab Maliki dan Syafie pula melarang memasuki Masjidil Haram, namun demikian bagi ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) dibolehkan untuk memasukinya dengan syarat-syarat tertentu.

Masjid selain Masjidil Haram

Imam Ibn Hajar Al-‘Asqolani ketika menghuraikan isu ini mengatakan mazhab Maliki tetap melarang orang bukan Islam memasuki masjid. Manakala Mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi membenarkan memasuki masjid-masjid selain Masjidil Haram dengan syarat-syarat tertentu. Ibn Hajar juga menegaskan kebenaran ini cukup kuat dari dalil tawanan perang bernama Thumamah (merujuk hadis mengenai Thumamah ibn Athal) tersebut.

Imam Nawawi yang merujuk hadis ini berkata harus mengikat tawanan dan menahannya serta harus bagi seorang yang bukan Islam memasuki masjid. Bagi Mazhab Syafie keharusannya dengan syarat mendapat keizinan dari umat Islam sama ada orang bukan Islam itu dari kalangan ahli Kitab atau selainnya. Namun Khalifah Umar bin Abd Aziz, Qatadah dan Imam Malik tidak mengharuskannya (rujuk Syarah Sohih Muslim 12/87).

Selain yang di atas, al-Muzani merupakan murid Imam Syafie juga berbeza ijtihad dengan gurunya. Bagi al-Muzani menyatakan tidak harus orang bukan Islam memasuki masjid, apatah lagi menetap di dalamnya, kerana jika mereka dibenarkan, sudah tentu orang yang berjunub juga akan dibenarkan. Sedangkan ayat (an-Nisa’:43) di atas menyebut larangan bagi mereka yang berjunub memasuki masjid kecuali lalu sahaja.

Bagi al-Mawardi pula, apa dimaksud al-Muzani, iaitu sekiranya harus (bagi bukan Islam masuk masjid), sudah tentu muslim yang berjunub lebih utama untuk dibenarkan disebabkan kehormatannya dan kemuliaannya, maka di ketika tidak harus bagi seorang Muslim menetap di dalamnya, maka tentulah orang bukan Islam lebih-lebih lagi dilarang––kerana mereka dikira sentiasa berjunub. Malah kata-kata Imam Syafie dalam hal ini, iaitu “tiada masalah untuk seorang bukan Islam menetap di setiap masjid kecuali masjidil Haram (rujuk al-Hawi al-Kabir 2/268).

Rumusan hukum

Majoriti ulama bersepakat orang bukan Islam tidak boleh memasuki Masjidil Haram. Sementara agak jelas terdapat ijtihad yang berbeza di dalam menentukan hukum bagi masjid-masjid selain Masjidil Haram. Namun didapati majoriti ulama silam dan masa kini dilihat mengharuskan orang bukan Islam memasuki masjid-masjid biasa, tetapi dengan syarat-syarat tertentu. Antara syaratnya mestilah dengan izin umat Islam atau badan berkuasa Islam bagi masjid berkenaan, mestilah mempunyai sebab yang munasabah untuk memasukinya, dan orang bukan Islam mestilah menghormati seluruh keadaan dan alatan masjid, tidak membuat kebisingan dan memakai pakaian yang sesuai seperti menutup aurat bagi wanitanya.

Sesungguhnya Islam menggalakkan toleransi dan keharmonian hidup antara Islam dan orang bukan Islam. Jika masuknya orang bukan Islam itu untuk menyampaikan ucapan yang boleh membawa kepada persefahaman lebih baik, maka ia amat digalakkan. Selari dengan hakikat Islam ialah agama yang mengamalkan dialog yang bermanfaat dalam maksud dengan semua kaum dan agama. Selari dengan panegasan Sheikh `Atiyyah Saqr, bekas ketua Jawatankuasa Fatwa Al-Azhar bahawa mengikut fuqaha’ mengenai maksud firman Allah SWT (merujuk kepada at-Taubah: 28 dan an-Nisaa’: 43) majoriti fuqaha’ termasuk kalangan Mazhab Maliki, Shafie dan yang lainnya hanya musyrikin atau penyembah berhala tidak dibenarkan memasuki Masjidil Haram di Mekah. Bermakna tidak salah kalau orang Kristian (Nasrani) dan Yahudi memasukinya.

Berdasarkan kepada pandangan dinyatakan, umumnya orang bukan Islam dibenarkan untuk memasuk masjid dengan berpandukan keadaan, iaitu tidak harus memasuki Masjidil Haram kecuali dengan kebenaran pihak berkuasanya, ada alasan kukuh atas sifat memberi kebaikan di sisi Islam, menghormati kemuliaan masjid sebagai tempat suci untuk beribadah dan menjaga tingkahlaku termasuk berpakaian sopan menurut Islam. Apapun pandangan ulama’ membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid adalah bersandarkan sirah di zaman Nabi yang menghukum Thumamah ibn Athal diikat di tiang Masjid Nabawi dan orang Nasrani Najran dibenarkan masuk ke Masjid Nabawi.

Rumusannya, jalur mazhab Hanafi membenarkan orang bukan Islam memasuki semua masjid, Syafie pula membolehkan bagi semua masjid melainkan Masjidil Haram dan sekitar tanah haram Mekah, dan mazhab Maliki pula tidak harus melainkan kerana darurat ada kerja yang kepakaran berada pada orang bukan Islam.

Khas untuk hari Merdeka

Li Fook Gao

MINDA NAIB PRESIDEN PAS – 31 OGOS 2010, Edisi Merdeka dan Hari Lahir Tuan Ibrahim

Jika saudara mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanya kepada ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila hantarkan soalan saudara ke sembangnaibpresidenPAS@gmail.com. Pemilihan soalan pembaca adalah bergantung keistimewaan soalan dan juga budi bicara pengelola kolum ini.

MARI KITA SEMBANG BERSAMA…

Datuk Tuan Ibrahim (TITM), YB Salahuddin Ayub (SA) dan Datuk Mahfuz Omar (MO)

Selamat membaca!

Soalan 1:

Pada pendapat Naib Presiden sekalian, apakah sambutan Merdeka bersama PAS dan keluarga yang paling dikenangi sehingga kini?

TITM: Maaflah, saya memang tiada banyak peristiwa kenangan menyambut Merdeka dengan keluarga, kerana apabila cuti ada saja program untuk saya.

Namun begitu, saya masih teringat satu malam Merdeka tahun 1986 saya bersama panel forum mengadakan forum merdeka di Bayan Baru Pulau Pinang. Saya masih ingat sambutannya agak baik, selepas forum, AJK ajak makan nasi kandar - tengah nak sampai kedai nasi kandar, ratusan motor belia, beliawanis keluar dengan bunyi yang sangat bingit, mereka bertempik, bersorak gembira…. beberapa minit kamudian mereka hilang...

Saya bertanyakan kawan-kawan ke mana mereka menghilang.... mungkin ke pantai, begitulah Merdeka... mereka bebas nak buat apa yang mereka inginkan... terasa jauhnya erti perjuangan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang yang lalu dengan erti kemerdekaan-kebebasan yang dilakukan oleh remaja masa kini.

Saya berharap suasana zaman jahiliyah itu akan bertambah baik dengan pelbagai program pembinaan akhlak untuk remaja kini.

SA: Ucapan Merdeka saya kepada rakyat Malaysia: Kita mesti menjadikan kemerdekaan ini sebagai suatu turning point (titik perubahan) untuk kita menjadi rakyat yang betul-betul Merdeka dari segi minda, pemikiran, sikap dan tanggungjawab kita kepada negara ini.

Saya mengimpikan satu keadaan kepada rakyat di mana mereka dapat menggunakan kebebasan mereka untuk berfikir, bertindak untuk memilih yang terbaik khususnya dalam kita mendepani urus tadbir dalam negara kita.

Marilah kita memilih yang terbaik untuk negara kita ini dan kita menggunakan seluruh kekuatan dan kebijaksaan kita untuk menolak sebarang bentuk penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin dalam negara kita.

Kenangan manis saya ialah semasa saya berada di sekolah rendah dulu, di mana saya diberi peluang untuk menyertai satu syarahan mengenai bagaimana menghayati kemerdekaan negara. Saya tidak boleh tidur selama satu minggu kerana memikirkan bagaimana untuk menghadapi syarahan itu. Selepas saya dapat memberikan syarahan tersebut, saya berasa cukup gembira dan saya turut mendapat pujian daripada guru-guru saya ketika itu.



MO: Merdeka yang paling dikenangi khususnya semasa saya bersama keluarga, bukan dengan isteri anak-anak, tapi dengan mak dan ayah saya… pada waktu itu, trend sambutan merdeka lebih bersifat temasya dan bukan pengisian, jadi pada waktu itu, kita tidak tahu apa itu pengisian erti kemerdekaan yang ada… yang ada hanyalah tembakan bunga api pada malam kemerdekaan itu…

Pada jam 12.01, semua akan berhimpun di bandar-bandar besar, antaranya Bandar Alor Setar… ayah saya akan bawa saya dan adik-beradik untuk tengok bunga api… maknanya itu hanya satu temasya, satu kemeriahan, keseronokan, kegembiraan dalam menikmati kecantikan bunga api… keesokan harinya kita pergi ke stadium pula tengok persembahan perarakan di jalan raya… dan saya sebagai murid sekolah akan kibarkan bendera dan berbaris di jalan raya… Itulah antara kenangan saya walaupun pada masa itu saya tak banyak tahu tentang apa itu erti kemerdekaan. Oleh kerana ia merupakan satu sambutan yang bersifat temasya, malah sampai sekarang sambutan kemerdekaan ini tidak dalam bentuk pengisian erti kemerdekaan kepada anak bangsa tapi lebih kepada hiburan untuk orang berseronok, dan lepas itu habis begitu sahaja. Kemudian kita marah orang tak pasang bendera di kereta dan sebagainya…

Mesej saya kepada rakyat Malaysia bahawa di waktu kita menyambut kemerdekaan yang ke 53, iaitu seumur saya ini sebagai anak Merdeka, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia ini untuk memahat satu keazaman bagi mencetuskan satu kemerdekaan baru kepada negara kita ini iaitu satu pembaharuan kepada masa depan negara dari semua sudut termasuklah politik, ekonomi dan sebagainya.

Ini kerana kemerdekaan pertama yang kita lalui itu, pengisiannya telah dicemari oleh pelbagai bentuk yang merosakkan nama baik Merdeka… kita sudah terlibat dengan rasuah, kita telah terlibat dengan salahguna kuasa, penyelewengan urus tadbir negara kita ini dan ini cukup memalukan.

Jadi kita perlu bahawa satu kemerdekaan yang baru untuk memastikan slogan Merdeka itu membawa erti kepada sanubari rakyat Malaysia. Maknanya kita mesti bebas, bukan sahaja daripada orang putih, tetapi kita juga harus bebas daripada penjajahan bangsa kita sendiri yang bertujuan untuk mengaut kekayaan untuk diri mereka… terutamanya UMNO.

Soalan 2:

PAS dilihat berhadapan cabaran pertembungan approach dalam pendekatannya antara dakwah dan siasah. Dakwah lebih bersifat mengajak, sedangkan pendekatan politik lebih bersifat menyerang. Bagaimana Naib Presiden sekalian menyesuaikan dua situasi yang bertentangan ini?

SA: Sering kali saya percaya tentang satu yang pernah diperkatakan oleh Pak Nasir, seorang ulamak yang amat terkenal di Nusantara ini. Beliau sering kali mengingatkan gerakan Islam untuk berhadapan dengan dua situasi – iaitu kita akan berdepan dengan dunia politik dan dunia dakwah dan cabarannya.

Oleh itu, gerakan Islam ini bijak untuk memposisikan diri mereka iaitu saya teringat ungkapan Pak Nasir yang berbunyi, “Kita mesti berpolitik di jalur dakwah, dan berdakwah di jalur politik.”

Kedua-kedua pendekatan ini akan memberikan satu keberuntungan dan keberhasilan besar kepada gerakan Islam sekiranya kita bijak untuk menggunakan pendekatan ini. Kita mesti bijak meletakkan diri kita sebagai seorang pemimpin yang boleh menguasai kedua-dua cabaran ini di hadapan kita.

MO: Saya tidak melihat ada penentangan di antara dakwah dan siasah. Kedua-dua dakwah dan siasah ini mempunyai pendekatan approach yang sama. Dakwah juga ada sifat menyerang, kita tidak boleh menafikan kerana Rasullulah s.a.w sendiri dalam misi dakwahnya, baginda berdepan dengan suasana peperangan.

Kalau kita nak katakan, serangan hanya dalam bentuk ucapan dan percakapan tapi Rasullulah berhadapan dengan peperangan… dan begitu juga dalam al-Quran itu sendiri, kalau kita melihat bahawa Quran itu sendiri telah memberikan satu gambaran bahawa dalam dakwah ini ada yang bersifat mengajak dan ada yang bersifat menyerang, begitu juga dalam siasah – siasah tidak boleh menyerang sahaja tanpa mengajak, macam mana orang nak sokong kita?

Kita mesti mengajak dan menyerang untuk orang menyokong kita – menyerang perbuatan, kita bukan menyerang orang, tapi kita menyerang perlakuan yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam itu sendiri. Jadi saya tidak melihat ada pertembungan dan pertentangan approach, tapi sebaliknya dakwah dan siasah itu saling memerlukan. Dalam dakwah mesti ada siasah, kalau tiada maknanya kita akan gagal.

Saya melihat siasah itu ialah kebijaksanaan, kelicikan dan kepandaian – kalau kita tiada kebijaksanaan, kelicikan, kepandaian dan siasah dalam melaksanakan dakwah kita, kita akan gagal dalam dakwah kita. Begitu juga jika dalam siasah tiada unsur dakwah, iaitu unsur nak memberi penerangan dan pemujukan dan sebagainya, kita juga akan gagal dalam siasah kita kerana kita gagal menyampaikan satu mesej yang terang kepada masyarakat.

Jadi, dakwah dan siasah saling bertemu antara satu sama lain.

TITM: Saya melihat ianya tidak bertentangan kerana dakwah bukan bermakna mengajak dengan lemah lembut sahaja… sebaliknya dakwah dilakukan dengan tiga cara yang dinyatakan oleh Allah, iaitu hikmah, contoh tauladan yang baik serta berdebat dengan cara yg berakhlak.

Hikmah bukan lemah lembut, hikmah ialah melakukan dakwah sesuai dengan keadaan, ada masanya kita perlu menyerang, herdik, gertak dan serangan secara hujjah, itu adalah medan dakwah, dan itulah juga uslub politik PAS.

Kita menggunakan pentas ceramah bagi menyedarkan rakyat terhadap penyelewengan kerajaan UMNO-BN. Kita membongkar penyelewengan mereka, kita mendedahkan salahguna kuasa mereka.

Kita sebut nama bukan untuk membongkar peribadi, tetapi atas sifat dia sebagai pemimpin yang rakyat perlu tahu. Kita perlu mendedahkan semua yang terlibat kerana rakyat mempunyai kepentingan untuk mengetahuinya.

Saya masih ingat, bilamana Imam Malik mengajar bab perawi hadis, beliau menyebut Si Fulan - Si Fulan adalah adil, terima hadis riwayatnya, tapi Sifulan bin Si Fulan adalah fasik, jangan terima hadisnya.... lalu bangun seorang muridnya menegur beliau dengan berkata, "Apakah kamu nak mengajar atau nak mengumpat?"… lalu dijawab oleh imam Malik, “Ini bab saya menasihati kamu tentang dirinya (perawi), bukan dalam bab mengumpat kepadanya.”

Demikian uslub dakwah dan siasah Islam tentulah sama, dan tidak ,menimbulkan pertembungan seandainya kita memahaminya.

Istimewa buat peminat kolum Minda Naib Presiden sempena Hari Jadi Datuk Tuan Ibrahim. Selamat Hari Jadi Datuk!

Kenangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sempena hari lahirnya 27 Ogos

27hb Ogos baru berlalu, tarikh keramat yang mengimbau bagaimana kini usiaku semakin lanjut. 50 tahun lalu aku dilahirkan oleh ibu, Nik Hasanah binti Nik Mat, adik kepada Nik Aziz Nik Mat.

Ibu pernah menceritakan pengalaman bagaimana sewaktu mengandungkanku lebih kurang 3 bulan. Dia mengidam nak makan ubi kayu bakar, terasa sedap jugak. Ibu menceritakan bagaimana dia pada suatu petang hari berjalan ke rumah jiran yang kebetulan ada menanam ubi kayu yang agak luas. Untuk membeli beberapa puluh sen, rasanya tiada masalah sangat. Biasalah orang mengidam tak makan banyak, beliau terus ke rumah jiran tersebut. Bilamana sampai di hadapan rumah jiran ibu memberi salam, dan menjelaskan hajat untuk membeli ubi kayu (dalam 20 sen) sambil menceritakan rasa mengidam nak makan ubi kayu bakar. Masa itu 20 sen dah kira dapatlah seguni ubi kayu.

Tapi sayang tuan rumah menjawab: “Ubi kayu tidak dijual 20-30 sen, jual banyak sekali gus, sikit-sikit tak jual, maaf je lah ye….” Ibu sangat terasa hati dengan jawapan tersebut. Ingatkan dapat percuma, biasalah orang kampung kalau mengidam punya pasal, kita bagi sahaja. Tapi ibu merayu agar dia juallah sedikit, namun jawapannya tetap sama. Ibu terus pulang dalam keadaan sangat kecil hati dan rasa tersinggung dengan tindakan jiran itu.

Sambil balik ibu menceritakan ia mengadu dalam hati alangkah baiknya kalau Allah mengajar agar manusia insaf. Manusia boleh memiliki tanah, tapi yang mengeluarkan isi (hasil) adalah Allah. Kalaulah hujan turun, agaknya baru dia insaf… Bukanlah berdoa, tetapi hanya kerana rasa terkilan. Selepas solat Maghrib, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya sehingga Subuh.

Keesokan hari bilamana hujan berhenti hampir 8.00 pagi, ibu membuka tingkap rumah. Didapati seluruh kawasan tanaman ubi ditenggelami air. Ubi kayu memang pantang tenggelam air, akan rosaklah ia.. Apabila ibu membuka pintu rumah, didapati ada beberapa ketul ubi kayu diletakkan di atas pelantar rumah. Maka dapatlah ibu makan ubi bakar, kuranglah rasa mengidamnya.

Itulah sedikit kisah waktu ku dalam kandungan. Masa tu manalah kita tahu. Kisah ini ibu ceritakan kepadaku bilamana beliau mengingatkanku jangan sombong dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Nasihat itu masih tergiang-ngiang di telinga. Mengenang hari lahir ini teringat bagaimana seorang ibu menahan penderitaan di saat melahirkan kita. Semoga Allah sentiasa memelihara ibu, ayah dan semua sahabat seperjuangan.

[Sumber]

Anwar Ke Sarawak Untuk Lawatan Kerja Hari Ini Dan Esok

Oleh Sidiqin Omar

SHAH ALAM 31 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan siri jelajah Sarawak dalam lawatan kerjanya bermula hari ini.

Penyelaras politiknya, Abd Rahman Yusof berkata, program lawatan Anwar akan bermula di Limbang dan Lawas dengan perjumpaan bersama masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri N68, Bukit Kota di Pekan Limbang pada pukul 11.30 pagi.

"Kemudian Datuk Seri Anwar akan ke kawasan Dewan Undangan Negeri N70 Bakelalan, di Lun Bawang untuk bertemu orang ramai pada jam 2.00 petang," kata Abd Rahman yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman.

Ketua Umum KEADILAN mempunyai jadual lawatan kerja yang ketat selepas perjumpaan di Bakelalan yang disusuli majlis bertemu rakyat pada pukul 3.00 petang di Lawas, sekaligus merasmikan Pejabat Khidmat P222 Lawas, di kawasan N71 Bukit Sari.

"Ketua Umum akan turut menghadiri majlis berbuka puasa di Restoran Musbee bersama Jawatankuasa Pakatan Rakyat Limbang/Lawas. Beliau kemudiannya akan menunaikan solat Isyak dan solat Tarawikh di Masjid Bahagian Limbang," kata Abd Rahman dalam kenyataannya.

Pada keesokan hari Anwar akan berkunjung ke bandaraya Kuching dengan mengadakan pertemuan bersama pimpinan KEADILAN Sarawak di Hotel Grand Continental pada pukul 2.00 petang.

"Beliau akan turut merasmikan mesyuarat Biro Politik Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sarawak, dan satu sidang media akan diadakan pada jam 4.30 petang di tempat yang sama.

"Selepas itu, Datuk Seri Anwar akan berbuka puasa di Rumah Datuk Hajah Hafsah Harun, di N6 Tupong. Beliau kemudiannya akan Masjid Kampung Pinang Jawa, Kuching untuk menunaikan solat Isyak dan solat Tarawikh," jelasnya.

Lawatan kerja Ketua Pembangkang dilihat sebagai mengeratkan lagi kerjasam antara pimpinan KEADILAN Pusat dengan pimpinan parti peringkat negeri terutamanya menjelang pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka tidak lama lagi.

Ibrahim Ali dan Khairy sepakat.

Semakin hampir pilihanraya umum semakin banyak isu yang dihebohkan dan kebanyakkan isu itu pada pandangan saya merupakan isu yang membazir masa dan waktu untuk dilayani. Orang ramai sudah lali dengan isu yang sengaja digemparkan oleh setengah pihak dengan tuduh menuduh diantara satu pihak dengan pihak yang lain.

Sekarang kita berdepan dengan isu lembik, iaitu isu Ahli Palimen berbangsa Cina masuk kesebuah surau diSerdang untuk menyampaikan bantuan dan bercakap perkara ‘non-political’ dalam perjumpaan itu. Banyak pihak dan individu yang sentiasa mencari isu, tangkas membuat kenyataan khbar dan mejerit-jerit mengatakan yang YB Teo tidak sepatutnya berucap didalam surau itu kerana kononnya merosakkan kesucian Agama kita serta menyentuh sensitivity masyarakat Islam dan Melayu kita.

Ketua Pemuda UMNO dan Ibrahim Ali kali ini sepakat untuk menyanyikan ‘chorus’ yang ‘harmonic’ dalam isu YB Teo ini. Kedua-duanya begitu selari dan saya yakin isu ini diadakan bukan kerana nak jaga kesucian Agama tetapi kerana hendak menarik perhatian ramai sahaja.

Seorang wakil rakyat boleh memberikan bantuan dimana beliau suka dan dalam kes ini beliau dijemput untuk memberikan bantuan disurau tersebut dan bagi saya itu bukan masalah besar. Rasanya saya pun seorang Islam juga dan saya tidak nampak ianya menghina Islam malah saya begitu suka mendengar Ahli Parlimen itu mengakui yang ramai pengundinya beragama Islam.

Kalau kerana tidak memakai tudung kepala kenapa isu ini hendak diperbesarkan tanpa had. Biarlah Majlis Agama Islam mengambil ‘initiative’ untuk membetulkan keadaan, bukannya orang politik.

Saya juga tidak nampak Teo sengaja hendak melukakan sesiapa apa lagi untuk menyentuh ‘sensivity’ orang Melayu. Beliau hanya melaksanakan tugas beliau sebagai seorang wakil rayat bagi kawasan Parlimen tersebut. Apa yang perlu diberitahu kepadanya ialah tata cara dan adab bila memasukki rumah ibadat orang Islam. Saya rasa tentu beliau dapat menerimanya. ‘She will be more than happy to accept it’.

Yang disebut ramai dan diisukan rakyat sekarang ialah sikap UMNO sendiri yang tidak menjaga ‘sensivity’ orang Melayu yang dipimpinnya. Pemimpin UMNO lebih sayangkan bangsa lain dengan berkompromi dalam banyak hal tentang masa depan dan nasib Melayu akan datang.

Ramai orang termasuk diri saya faham UMNO sedang tercari-cari kelemahan parti lain kerana PRU 13 mungkin tiba tidak berapa lama lagi. Oleh kerana tidak dapat menunjukkan perkara yang baik maka jalan yang lazim digunakan ialah dengan mencari isu demi isu untuk mendapat perhatian ramai; untung-untung orang Melayu akan kembali menyokong mereka.

Ramai yang mentertawakan mereka yang menjadikan ini sebagai isu. Yang ‘sensitive’ ialah pemimpin UMNO yang mengelabah tak keruan termasuklah Pemudanya sendiri. Nak tunjukkan sesuatu hasil kerja mereka tidak ada, maka gunakanlah isu ini untuk menunjukkan yang mereka masih ada dan belum mati lagi.

Kalau hendakkan orang Melayu mengikut kita, Pemuda UMNO mesti perjuangkan isu-isu yang mana pemimpin-pemimpin kita telah menyelewengkan wang ringgit dan menyalah gunakan harta benda rakyat.

Pemuda mesti bertanya secara ‘detail’ kemana perginya 67 peratus dari 4.08 billion ringgit wang Felda dibelanjakan hingga kantung Felda merosot dengan teruk sekali. Tanya Felda kenapa Felda membeli hasil peneroka dengan harga yang terlalu rendah dari harga pasaran diluar sana.

Ingatkan PM itu bahawa Felda ditubuhkan untuk menjadikan orang Melayu yang tidak bertanah dulu untuk memilikki harta, bukannya untuk Felda dan pegawainya yang kaya raya. Kita selalu nampak kurap orang, tetapi kita tahu dibalek pakaian kita yang cantik-cantik itu, dikulit kita penuh dengan kurap-kurap yang tak kunjung kering.

Khairy patut pergi berjumpa Mirzan Mahathir untuk memulangkan wang PETRONAS yang berbillion yang digunakannya untuk ‘bail out’ sebuah syarikat perkapalannya belasan tahun dahulu. Khairy mesti beritahu Mirzan, di Amerika Syarikat semua syarikat yang di’bail out’ oleh kerajaan, sekarang sedang dalam proses memulangkan kembali wang rakyat yang mereka gunakan untuk menyelamatkan konglemerate mereka semasa kejatuhan ekonomi tidak berapa lama dahulu.

Beritahu Mirzan wang yang berbillion itu dipindahkan kepada MARA; boleh hantar puluhan ribu anak-anak kita keAustralia, New Zealand atau keEngland untuk belajar. Bila balik nanti mereka boleh berkhimat kepada negara kita.

Kalau Khairy berani berbuat demikian barulahlah dia dianggap anak jantan dan Ketua Pemuda yang tulin dan tidak ada tolok bandingnya. Kita tidak payah berucap menjerit-jerit untuk berjuang. Pemimpin yang menjerit dan beretorik dengan nada suara tinggi itu selalunya orang yang banyak kelemahan sendiri yang hendak ditutpinya. Setakat mempamerkan ‘silat pulut’ sahaja Pemuda tidak akan berjaya menarik perhatian orang ramai.

Kalau tidak ada isu ini mungkin orang akan bertanya; mana Pemuda, mana Khairy? Kita tidak boleh berbuat apa-apa kepada Pergerakkan Pemuda sekarang ini, kerana mereka sudah hilang hidayah politik.

Nak dirotan, dia sudah besar walaupun masih keanak-anakkan. Jadi kita sabar sahaja melihat telatah dan langkah anak-anak muda ini. Orang tua-tua dulu selalu berkata, ‘anak muda yang julung berkeris, batang pisang pun dia sanggah’.

Kita sabar sahajalah. Mari kita tunggu sehingga Khairy menjadi dewasa. Insyaallah dia akan menjadi dewasa walaupun agak lambat sedikit. Itu fenomena biasa, setengah kanak-kanak cepat dewasanya, hanya Khairy ini agak lambat sedikit. Lambat laun dia akan jadi dewasa. Kita boleh sayanginya. Tak mengapa.

Oghang-oghang lamo ado bokato, ‘yang tuo kito hormati, yang mudo kito sayangi’. Ingat Khairy, kami bukannyo mombonci anda. Abang kau ni nak togo sikit-sikit. Kalau boto jalan eh, jadi taklah ghosak pojuangan kau. Itu pun kok ado pojuangan sobagai mano yang dikato.

[Sumber]

Ada Blogger UMNO Kata Namewee Sudah Ditahan?

Police nafi tahan Namewee

Oleh G Manimaran dan Adib Zalkapli

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Polis hari ini menafikan pihaknya bercadang untuk menahan penulis lagu Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee ekoran laporan berhubung klip video terbaru didakwa berbaur perkauman.

Ketua Jabatan Jenayah Polis Johor Datuk Amer Awal berkata, pihaknya masih menyiasat kes membabitkan Wee dan belum ada rancangan untuk menahan pemuda itu.

“Tidak benar, tidak benar. Kami masih menyiasat,” kata Amer kepada The Malaysian Insider.

“Tidak ada,” kata beliau ketika ditanya sama ada polis mencarinya semalam.

Menjelang tengah malam tadi, Wee memuatkan mesej laman Facebook bahawa kereta peronda datang ke rumahnya di Muar untuk menahannya.

Mesejnya berbunyi: “3 POLICE CARS FINALLY CAME TO MY MUAR HOME TO ARREST ME***** this happened 15 minutes before our 53rd National Day Celebration, YES, I’m still here but for how long more, I don’t know ... my beloved MALAYSIA, where is our justice system?! (THIS IS NOT A JOKE).”

Rakannya ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata memang Wee ada memuatkan mesej itu selepas mengesyaki polis mahu menahannya.

“Tetapi dia tidak ditahan,” katanya.

“Dia sedang mendapatkan nasihat peguamnya, kita tunggu perkembangan,” kata rakannya itu ketika dihubungi pagi.

Mesej itu menarik lebih 3,000 komen.

Klip video terbaru itu dipercayai bertujuan mengutuk seorang pengetua sekolah menengah di Kulaijaya yang dilaporkan mengeluarkan perkataan berbaur perkauman semasa perhimpunan sekolahnya pada 12 Ogos lalu.

Wee dalam klip video itu antara lain mencerca guru berkenaan serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar.

Selain itu Wee dalam klip video di laman web Youtube, berulang kali menunjuk isyarat lucah serta baris perkataan tidak senonoh.

Semalam, Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengesahkan sudah menerima empat laporan berhubung klip video berbaur perkauman Wee.

Laporan pertama dibuat kelmarin di IPD Kulaijaya dan tiga lagi laporan dibuat semalam di Johor Jaya, Pasir Gudang dan Masai.

“Kita akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam entri bertarikh 28 Ogos pada blog itu, Wee antaranya menyebut video klip tersebut dibuat bagi mempertahankan perlembagaan sebenar dan mengutuk sesiapa yang tidak menghormati usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam membina negara 1 Malaysia.

Kenyataannya dalam laman blog itu juga menyebut klip video berkenaan sudah ditarik balik kerana dia telah pun mencapai matlamat menyampaikan rasa antiperkauman.

kahkahkahkahkahkah...blogger lebih hebat dari polis?

Semasa

Hiburan

Sukan

 

© Copyright Kerabu Bersuara 2007 -2013 | Design by Kerabu Bersuara | Published by Kerabu Bersuara Group | Powered by Blogger.com.