Ayat Seribu Dinar (ath-Thalaq, 65: 2-3) Sebagai Penangkal???
Ayat Seribu Dinar (ath-Thalaq, 65: 2-3) Sebagai Penangkal???
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا
وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (ath-Thalaq, 65: 2-3)
Beberapa hari yang lalu saya ada menulis sebuah artikel yang agak panjang, bertajuk: “Meraih Keberkatan Dari Iman & Taqwa” dan di dalamnya saya ada ulas berkenaan ayat al-Qur’an yang digunakan sebagai pelaris atau penangkal yang mana saya sebutkan di dalam artikel tersebut sebagai kerap di-amalkan oleh pemilik restoran dan gerai-gerai makan tertentu.
Ada yang bertanya, “ayat apa yang dimaksudkan?” Emm, harapnya tidaklah bertanya kerana hendak mengamalkannya pula ye...
Kepada yang bertanya, ayat tersebut adalah sebagaimana di atas bermula dari penghujung ayat kedua dan sehingga habis ayat ketiga surah ath-Thalaq. Sebenarnya tidak juga terhad kepada ayat itu yang saya maksudkan, kerana ada juga dari kalangan mereka yang menggunakan ayat al-Kursi untuk digantung bagi mencapai maksud mereka. Namun, hanya saja ayat dari surah ath-Thalaq ini yang mana mereka gelarkan sebagai "Ayat Seribu Dinar" cukup mendapat tempat bagi tujuan dan maksud mereka.
Ayat ini sering disalah guna oleh pelbagai pihak dengan tujuan semoga perniagaan dan jualan yang mereka jalankan sentiasa beroleh keuntungan dan jauh dari kerugian. Kaedah yang mereka gunakan adalah dengan menggantungkannya di sebahagian tempat-tempat tertentu dari bahagian kedai atau restoran-restoran mereka. Malah ada sebahagiannya yang sanggup berhabis ratusan ringgit bagi mendapatkan struktur ayat yang lengkap dengan frame dan seni tulisan tertentu.
Walhal, apa yang sebenarnya mereka lakukan itu adalah suatu perbuatan yang menyalahi sama sekali tujuan penurunan al-Qur’an kepada kita. Dalam banyak tempat, Allah menyatakan bahawa al-Qur’an itu adalah sebagai huda (petunjuk), al-Furqon (pemberi peringatan), penjelas (mubin), busyro (berita gembira) dan juga rahmat? (Rujuk: Pengantar Studi Ilmu al-Qur’an, m/s. 19-23) Bukannya sebagai penangkal dan pelaris. Jika benar perbuatan itu adalah suatu yang haqq, maka bawakan contohnya (bukti/penjelasan) dari Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat beliau yang memperlakukan hal seperti itu.
Tidakkah mereka memahami maksud ayat yang mereka ambil tersebut? Ia tidak lain adalah ditujukan kepada orang yang bertaqwa atau yang hendak bertaqwa. Bukan mereka yang cuba berlaku syirik dengan percaya kepada karut-marut dan tangkal-tangkalan. Manakala penisbahan kalimat “Ayat Seribu Dinar” ke atas ayat tersebut itu sendiri, entah dari mana datangnya. Kalau ada rujukan hadisnya, nak tahu juga saya.
Berikut saya utarakan beberapa hadis yang melarang keras mereka yang cuba bermain dengan tangkal dan azimat. Tidak kira sama ada tangkal itu dijadikan daripada al-Qur’an atau pun bukan al-Qur’an ianya tetap bernama tangkal dan tetap haram dan syirik menurut maksudnya.
"Sesungguhnya jampi mentera (tamaim), tangkal dan guna-guna itu perbuatan yang syirik". (H/R Ibn Majah (3521) at-Tibb. Ahmad (3433) Musnad. Abu Daud (3385) at-Tibb)
"Sesiapa yang memakai (mengantung) tangkal, maka ia telah melakukan kesyirikan". (H/R Turmizi (1998) at-Tibb. Nasaii (4011) Tahrimul ad-Dam)
"Sesiapa yang memakai (bergantung kepada) sesuatu (tangkal, azimat pendinding) maka dia telah bertawakkal dengannya. Allah akan menyerahkan urusannya kepada sesuatu itu". (H/R Turmizi dan al-Hakim)
"Barangsiapa yang memakai sesuatu (tangkal, azimat atau pendinding) maka ia telah mewalikan atau bertawakal kepadanya". (H/R Ahmad (18035) Musnad al-Kufiyyin)
"Dari Isa bin Abdulrahman berkata: Kami melawat Abdullah bin 'Ukaim dan dia sedang sakit maka dikatakan kepadanya: (Ada baiknya) jika engkau memakai sesuatu (tangkal). Maka beliau berkata: Apakah aku akan memakai sesuatu (tangkal) sedangkan Rasulullah saw telah bersabda : Sesiapa yang telah memakai sesuatu (dari jenis tangkal) maka dia telah bertawakkal kepadanya". (H/R Ahmad (18030) Musnad. Turmizi (1998) at-Tibb)
"Sesiapa yang menggantung (memakai) tangkal maka ia telah melakukan kesyirikan." (H/R Ahmad (16781) Musnad)
Islam telah mengharamkan setiap mukmin menyeru selain Allah untuk meminta pertolongan yang melibatkan perkara-perkara yang ghaib. Begitu juga Islam mengharamkan para mukmin dari menggunakan tangkal, azimat, pendinding atau yang seumpamanya kerana benda-benda tersebut tidak akan memberi faedah atau sebarang kesan kepada penggunanya sebagaimana penjelasan Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui firman-Nya:
"Katakanlah! Serulah mereka yang kamu anggap (sebagai pelindung) selain Allah mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarrah di langit dan di bumi dan mereka tidak memiliki suatu saham pun dalam (urusan) langit dan bumi dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagi-Nya". (Saba', 34: 22)
Sekiranya Allah Subhanahu wa Ta'ala menurunkan bahaya, kemudaratan dan bala ke atas mereka yang memakai tangkal, azimat atau pendinding, mereka tidak akan dapat menjadikan benda-benda tersebut sebagai pelindung sebagaimana yang mereka sangkakan.
Firman Allah:
"Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepada kamu, maka tiada yang berkuasa menghilangkannya melainkan Allah dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepada kamu, maka Dia Maha Kuasa di atas sesuatu". (al-An’am, 6: 17)
Kesimpulan:
1 – Beramal-lah dengan ayat-ayat al-Qur’an dengan cara yang betul, dengan ilmu, membaca, dan berusaha memahami serta mempelajarinya.
2 – Apa yang disarankan melalui ayat surah ath-Thalaq, 65: 2-3 itu sendiri meminta kita untuk bertaqwa dan Allah akan memberi ganjaran rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka serta akan membantu mereka yang bertaqwa dengan mencukupkan keperluannya.
3 – Ayat al-Qur’an bukan bahan untuk dijadikan sebagai tangkal dan alat pelaris. Malah perbuatan mempercayai tangkal itu sendiri termasuk ke dalam hal yang syirik dan berdosa besar.
4 – Langkah terbaik untuk meminta pertolongan adalah dengan cara berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, dan Maha Pemberi Rezeki. (Rujuk al-A’raaf: 180, az-Dzariyat: 58, dan al-Baqarah: 186) Di samping sentiasa berusaha menggandakan usaha dan mempelbagaikan strategi pemasaran/perniagaan yang betul.
Wallahu a’lam...
No comments
Post a Comment