Memorandum Bantahan Filem-Filem Tempatan Yang Menghina Islam Dan Filem-Filem ‘Tempatan

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) membantah sekeras-kerasnya kebenaran dan kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri melalui agensi di bawah kementerian iaitu Lembaga Penapis Filem berkaitan filem-filem tempatan yang menghina Islam dan filem-filem ‘telenovela’ latin yang berunsur lucah.

DPP Pusat melihat filem-filem tersebut adalah sebagai bahan yang akan merosakkan minda rakyat dan juga menghancurkan budaya tempatan. DPP Pusat juga melihat bahawa filem-filem yang berbentuk tahyul, keterlaluan ini semakin berluasa dan ianya salah di sesi agama serta bukannya daripada budaya kita.

Filem-filem tempatan yang menghina Islam

Pada bulan Mac 2008 baru-baru ini telah di tayangkan sebuah filem yang bertajuk ‘Akhirat’ yang begitu jelas menghina Islam dan filem-filem yang seumpama dengannya yang semakin banyak yang telah dihasilkan oleh penerbit tempatan.

Sepertimana filem ‘Akhirat’ tersebut jelas menjadikan adegan zina, minum arak dan berhibur secara keterlaluan itu sebagai sesuatu yang biasa dalam masyarakat kita. Konsep penggantungan sepenuhnya kepada Tuhan tidak dicerminkan di dalam filem ini malah dialog bebal juga menyalahkan Tuhan amat keterlaluan. Ada juga adegan cium leher, peluk, belai membelai, gesel menggesel tidak dapat mencerminkan tajuk ‘Akhirat’ itu sendiri.

Filem-filem ‘Telenovela’ Latin yang berunsur lucah

Dalam rancangan di televisyen setiap hari pula akan ada filem-filem ’Telenovela’ yang akan ditayangkan. Filem-filem tersebut jelas merosakkan budaya tempatan dan masyarakat seluruhnya.

Jika filem-filem ini terlalu banyak ditayangkan akan berlaku perubahan di dalam masyarakat secara negatif seperti pergaulan, pakaian, sosial dan yang lagi parah adalah beragama.

Tapisan dan kawalan filem

DPP Pusat berharap supaya semua pihak yang terbabit dapat membuat perubah drastik supaya perkara-perkara negatif dalam masyarakat dapat dibendung lebih awal. Oleh yang demikian; DPP Pusat mendesak supaya kementerian dapat menapis dan mengawal semua filem-filem yang hendak ditayangkan. DPP Pusat juga meminta supaya kerajaan di bawah agensi-agensi yang terbabit agar bertindak segera seperti berikut;

1. Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) nasihatkan agar filem-filem yang akan dikeluarkan tidak menghina Islam. FINAS yang ditugaskan untuk memartabatkan Warisan Budaya Bangsa melalui filem harus peka perkara tersebut. FINAS juga harus memberi khidmat nasihat kepada pengamal perfileman dalam usaha meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran serta tindakan memantau dan menyelaras aktiviti perfileman ke arah membangunkan industri berlandaskan fakta mesti diperketatkan.

2. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Perdana Menteri (JAKIM) melalui Majlis Muzakarah Ulamak harus memberikan garis panduan yang jelas supaya merangka dasar bagi pembangunan Hal Ehwal Islam di negara ini dan menjaga kesucian akidah dan ajaran Islam dapat dipertahankan melalui elemen filem yang bakal ditayangkan.

DPP Pusat juga berharap tugas penting Lembaga Penapis Filem sebelum setiap filem itu ditayangkan harus bertanggungjawab untuk memastikan perkara-perkara negatif tersebut tidak ditayangkan. DPP Pusat berharap rancangan-rancangan filem ini akan membina masyarakat Malaysia bukannya mengenengahkan budaya barat yang kotor serta dapat mengelakkan gejala sosial yang terbentuk di dalam industri filem yang ditayangkan di pawagam dan di televisyen kita.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan amanah;

HJ. NASRUDIN BIN HASSAN
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

No comments

Powered by Blogger.