DBKL sedia kaji kadar letak kereta


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan berbincang dengan pengusaha tempat kereta swasta jika bayaran yang dikenakan membebankan orang ramai, kata datuk bandar, Datuk Abdul Hakim Borhan.

"Jika pengguna kereta mengadu caj bayaran yang dikenakan tidak munasabah dan membebankan, kita akan berbincang dengan mereka.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya hari ini. Abdul Hakim berkata, ada sesetengah tempat, caj bayaran yang dikenakan adalah terlampau mahal.

Sebagai contoh, katanya, ada pengusaha yang mengenakan caj RM5 untuk sekali masuk dan ini merugikan bagi mereka yang hanya masuk untuk 20 minit sahaja.

"Mungkin kita boleh berbincang dengan pengusaha terbabit tetapi kita tengok juga masalah permintaan terhadap tempat letak kereta.

"Walaupun mahal tetapi orang ramai tetap membayarnya, sebagaimana di kawasan Masjid India," katanya lagi.

Operasi haram

Abdul Hakim berkata, terdapat kira-kira 13,000 lot letak kereta yang bermeter dibandaraya Kuala Lumpur serta 9,000 yang bayar di kaunter.

Katanya, ada tujuh pengusaha yang mengutip wang menggunakan mesin dan 15 lagi yang mengutip wang di tepi-tepi jalan.

"DBKL mengambil tindakan ke atas pengusaha tempat letak kereta yang beroperasi secara haram," katanya tetapi beliau tidak memberikan angka pengusaha tempat letak kereta haram di Kuala Lumpur.

Ketika ditanya mengenai masalah tempat letak kenderaan di ibu negara, Abdul Hakim berkata, pemaju projek pembinaan yang baru telah diarah supaya membina tempat letak kenderaan yang mencukupi.

Katanya, pemilik tanah yang tidak memajukan tanah mereka boleh menggunakannya sebagai tempat letak kenderaan.

Ditanya mengenai peningkatan operasi DBKL ke atas kereta yang diletakkan di tepi jalan selepas pilihanraya umum lalu, Abdul Hakim berkata, ia tidak ada kaitan.

"Kita buat penguatkuasaan kerana ini kerja kita. Kalau tidak, orang pun marah juga," katanya lagi.


untuk keselesaan rakyat....banyak yang patut DBKL pertimbangkan balik

No comments

Powered by Blogger.