Lenyap mitos PAS untuk kawasan Melayu


eksklusif Ahli-ahli PAS akan lebih bersemangat jika parti itu berjaya membuktikan bahawa ia mampu menang di kawasan-kawasan bermajoriti bukan Melayu, kata seorang ahli parlimen wanita PAS.

"Sekiranya PAS mampu menang di kawasan majoriti bukan Melayu, mitos yang menyatakan PAS hanya layak bertanding di kawasan majoriti Melayu itu lenyap," kata Dr Siti Mariah Mahmud yang pertama kali ke Dewan Rakyat selepas menang besar di Kota Raja.

"Dengan itu semangat ahli kita untuk bekerja lebih meningkat dan menyedarkan (mereka) bahawa itu bukan mustahil.

"Saya percaya bukan Islam boleh memberi undi mereka kepada kita. Kita pun ada track record, bukan kita tak ada track record."

Beliau, yang dilihat seorang pemimpin Muslimat yang progresif dan terbuka, berjaya menewaskan ketua Pemuda MIC SA Vigneswaran dengan majoriti 20,751 undi.

Kawasan parlimen itu mempunyai kompositi kaum bukan Melayu yang agak besar - Melayu (46.8 peratus), Cina (23.5) dan India (26.3) daripada 71,887 pengundi.

Beliau antara tiga daripada lima calon parlimen PAS yang berjaya ke Dewan Rakyat. Dua lagi di Titiwangsa (Wilayah Persekutuan) dan Rantau Panjang (Kelantan).

Bercakap dalam wawancara dengan Malaysiakini hujung minggu lalu, Dr Siti Mariah berkata beliau sentiasa yakin PAS harus mendapat sokongan bukan Melayu untuk membolehkan ia berada dalam arus perdana politik nasional

"Sebenarnya dalam 2004, kali pertama saya bertanding di Kota Raja - masa itu (pengundi) Melayu hanya lebih sedikit 50 peratus. Dan saya tahu (Kota Raja) itu adalah kawasan yang berisiko tinggi.

"Pada ketika itu kita dapat undi hampir 40 peratus. Jadi, oleh kerana melihatkan undi pada 2004 itu, kali ini saya berasakan bahawa kita ada peluang sebab yang 40 peratus itu bukan orang Melayu sahaja yang menyokong kita.

"Jikalau dalam 2004, tanpa isu, tanpa apa-apa (isu besar) mereka boleh memberi undi, dalam tahun 2008, saya rasa saya mempunyai peluang yang lebih baik (pada 2008)," katanya di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.


Berikut sedutan wawancara dengan beliau:

Malaysiakini: Kemenangan besar pembangkang pada pilihan raya kali ini adalah akibat kekuatan pembangkang atau protes terhadap kerajaan?

Dr Siti Mariah: Protes juga satu faktor. Banyak lagi faktor lain. Kekuatan kami, walaupun tidak ketara kepada kebanyakan orang, perkara-perkara misalnya sekarang isu rasuah, perobohan kuil, isu agama dan sebagainya.

Mereka sendiri melihat ke Kelantan. Orang-orang India yang biasa hidup di Kelantan membawa cerita. Mereka amat mengkagumi kehidupan ringkas (menteri besar) Tok Guru Nik Aziz (Nik Mat), bagaimana keprihatinan dia. Dan ini adalah faktor (untuk pengundi) bukan Islam.

Dengan golongan intelektual, kita bercakap tentang hala tuju Malaysia, negara bangsa. Kita bercakap mengenai hak rakyat. Jadi ada perbezaan pada saya, itu tak boleh nak disamaratakan. Kita tengok sasaran khalayak kita. Tetapi kali ini isu cukup (untuk) semua khalayak. Jadi bila kita pergi pada kumpulan (berpenduduk) elit di kawasan Kota Kemuning, ada isu untuk mereka. Yang golongan bawah pun ada. Golongan pertengahan pun ada. Jadi, bila semua isu tu ada.

Sekarang ini PAS semakin banyak menonjolkan calon dan wakil rakyat wanita. Adakah ini juga menunjukkan berlakunya perubahan yang ketara menyebabkan ia jadi semakin liberal dan terbuka?

Sebenarnya kalau kita lihat pilihanraya 2004, kita dah meletakkan sepuluh orang calon (wanita). Kali ini 13 (orang). Kalau dulu kita meletakkan tiga orang di parlimen, kali ini kita meletakkan lima. Memang itulah yang PAS sedang buat.

Pilihanraya 2004 hingga 2008 kita telah menerima (realiti) yang kita akan meletakkan calon wanita. Untuk mengatakan PAS bertambah liberal, (tanggapan) itu tidak (benar). Tidaklah kita melanggar mana-mana pegangan kita yang lepas. Cuma mungkin pendekatan kita lebih mesra kali ini dan dilihat lebih terbuka.

Bagaimana Dr Siti Mariah melihat proses daripada awal sehingga terjadinya perkembangan hari ini apabila wakil rakyat wanita ditonjolkan oleh PAS?

Mula-mula saya hendak tegaskan bahawa tidak ada larangan mutlak untuk wanita bertanding dalam PAS. Kita tahu dulu Khatijah Sidek pernah bertanding (pada 1959) - beliau pernah jadi pesuruhjaya di Terengganu. Kemudian ada satu masa yang wanita tidak diletakkan atas alasan pada ketika itu keadaan politik yang bergelora dan kurang selamat.

Faktor keselamatan?

Faktor keselamatan sebab memang kalau di dalam PAS hanya orang PAS faham bagaimana waktu berkempen, (mereka) diasak, dikacau, macam-macam. Ibu saya dulu juga seorang aktivis. Pernah diikut, diekori dan sebagainya.

Tetapi sekarang orang kata jenayah makin banyak. Bagaimana?

Ya, jenayah makin banyak. Kita masih risau. Namun sekarang lebih ramai wanita tampil ke hadapan, sekarang kita ada peranan dan kita turut aktif. Muslimat lebih mandiri sekarang dan menggerakkan jentera dengan kuasa Muslimat sendiri, tidak lagi bawah naungan ahli lelaki. Jadi, kami berdikari sekarang.

Sekarang ketua pembangkang juga seorang wanita (Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan kalau kalau pembangkang dapat menarik sejumlah (lebih 30) ahli parlimen BN, kita mungkin menyaksikan perdana menteri pertama wanita.

Saya mengalu-alukan. Saya sebenarnya gembira kalau Datin Seri Dr Azizah nanti menjadi perdana menteri. Saya sendiri tidak ada bias sebab bagi saya menjadi perdana menteri ini adalah atas sifat meritokrasi dan sokongan. Dan sistem politik kita begitu. Kalau sekarang dalam PAS sendiri, kriteria-kriteria untuk dijadikan pemimpin itu agak ketat - harus ada ilmu yang tinggi dan sebagainya.

Tetapi dalam politik sebenar, ia bergantung kepada sesiapa yang disokong. Bagi saya tidak timbul masalah wanita atau lelaki (sebagai ketua), yang penting pemimpin boleh buat kerja dan mendapat sokongan, (pemimpin) yang mempunyai keterbukaan dan berpengetahuan.

Sebab perdana menteri tidak semestinya tahu semua. Perdana menteri sekarang pun (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) bukan tahu semua. Tidak ada orang yang menguasai semua ilmu dan mengetahui segala-galanya.

Kalau melalui PAS, pemimpin wanita boleh sampai ke tahap seperti itu (presiden parti seperti Dr Wan Azizah)? Ada kemungkinan itu boleh berlaku?

Di segi hukum, ada sesetengah pendapat berkata muslimat tidak boleh menjadi ketua umum - hal ini khilaf (berbeza pendapat). Apabila Tok Guru Nik Aziz sendiri membenarkan Muslimat bertanding sampai ke tahap naib presiden, maka dua peringkat lagi (timbalan dan presiden) sudah tidak menjadi masalah.

Cuma pada saat dan ketika ini kami tidak suka membincangkannya kerana hanya akan menjadi isu politik. Apabila ada orang yang layak, kita akan bercakap tentang itu. Masanya belum sampai.

Sekarang, mungkin dalam kalangan Muslimat belum lagi nampak ada seseorang yang boleh (memimpin) - tahap keilmuannya, tahap sokongan kepadanya, kerana dia bukan saja mesti disokong oleh wanita, dia juga mesti disokong oleh keseluruhan ahli PAS itu sendiri.

Belum ada lagi seorang pimpinan wanita (PAS) yang sampai di tahap itu. Bagaimana kita mahu bincang, ia belum sampai?

No comments

Powered by Blogger.