SISWA YAKIN PAK LAH JADI KETUA PEMBANGKANG AKHIRNYA


Oleh Setiausaha Agong,Gabungan Mahasiswa UKM

Pada 1 April yang lalu,para pimpinan tertinggi parti-parti PKR,DAP dan PAS telah mengumumkan hasrat untuk membentuk Pakatan Rakyat yang terdiri daripada tiga parti tersebut. Antara kenyataan rasmi yang ditandatangani oleh empat pemimpin utama tiga parti tersebut ialah "Pakatan Rakyat juga berikrar akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara".

Dan minggu lepas, kenyataan Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa Pakatan Rakyat akan mendiami Putrajaya sedikit masa lagi dan berlaku undi tidak percaya belandaskan Perlembagaan Persekutuan terhadap Pak Lah, kembali menghangatkan suasana kampus di Malaysia dan luar negara.

Bagi mahasiswa, kami amat yakin bahawa Pakatan Rakyat akan menjadi kerajaan dan Pak Lah akan menjadi ketua pembangkang.

Keyakinan bukan berlandaskan emosi semata-mata,tetapi merupakan pengamatan dan juga kenyataan para pemimpin negara yang jelas menggambarkan berlakunya peristiwa ‘rahmat’ ini.

Penguasaan Pakatan Rakyat ke atas Malaysia amat dinanti-nantikan oleh semua gerakan mahasiswa. Walaupun mahasiswa bersifat neutral dan idealis, iaitu tidak terkongkong oleh mana-mana pihak, tetapi kami amat menantikan sebuah kerajaan yang mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi tulen dan keadilan asasi (natural justice) di Malaysia yang seterunya melimpah masuk ke dalam Kampus.

Sepanjang 50 tahun dibawah penguasaan Barisan Nasional, terdapat banyak kezaliman dan penindasan kepada mahasiswa. Antara kebejatan dan pencabulan demokrasi ke atas mahasiswa oleh pihak pentadbiran Universiti, dari kerani hinggalah Naib Canselor, ialah penafian hak asasi mahasiswa itu sendiri.

Pihak Universiti lebih suka bermain wayang dan memihak kepada anak emasnya,Aspirasi yang sememangnya jelmaan UMNO di kampus.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia sendiri, berlakunya pilih kasih dalam penempatan kolej, isu mahasiswa ditangkap dan dipukul, penganjuran program disekat tanpa alasan kukuh, pihak Aspirasi dibenarkan melanggari peraturan Universiti seperti pemasangan kain rentang yang tidak bercop dan penubuhan Kelab Aspirasi di Kolej Kediaman dan banyak lagi peristiwa menunjukkan sifat ultra vires pentadbir Universiti.

Diharap penguasaan Pakatan Rakyat ke atas Persekutuan akan menghapuskan pencabulan hak ini dan seterusnya membuka gelanggang sama rata kepada mahasiswa dalam Pilihanraya Kampus akan datang. Ianya seiring dengan manifesto Pakatan Rakyat yang ingin menubuhkan Suruhanjaya Universiti yang akan menyelia pengurusan semua universiti yang dapat menjamin otonomi universiti dan institusi pengajian tinggi serta mutunya.

Isu Akta Kolej Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan 1976) akan secara automatiknya terbatal dan tidak berperlembagaan. Jelas bahawa peruntukkan Seksyen 15 (d) AUKU 1971 itu sendiri mennyeksakan mahasiswa dan membisukan mahasiswa. Kami amat irihati apabila baru-baru ini melihat mahasiswa di Korea Selatan bebas menyuarakan pandangan berkaitan isu Tibet dan dapat mengacau kelancaran larian obor Olimpik China di sana . Inilah yang hak yang kami mahukan dan hak ini hanya dikongkong oleh sentimen hasutan dan fitnah sahaja manakala kebebasan bersuara akan diberikan lesen oleh Pakatan Rakyat apabila menguasai kerajaan nanti.

Selanjutnya, isu Perbadanan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang meledak baru-baru ini, perlukan penyelesaian mutlak. Pindaan terhadap Akta Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997 perlu dilaksanakan.

Mahasiswa melihat isu caj perkhidmatan seringkali dimainkan, tetapi tenggelam apabila tiba menteri baru mendiami kerusi empuk Kementrian Pengajian Tinggi. Oleh itu, janji manifesto Pakatan Rakyat untuk menghapuskan caj perkhidmatan 3% dan memperluaskan skim biasiswa dan pinjaman, terutamanya untuk pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana adalah amat ditunggu-tunggu oleh mahasiswa.

Selain itu, isu kenaikan yuran yang akan menimpa mahasiswa nanti pasti terhapus seandainya janji Pakatan Rakyat untuk menghentikan segala usaha ke arah penswastaan institusi pengajian tinggi awam dan mengkaji semula pelaksanaan dasar pengkorporatan supaya memastikan ia berpegang kepada prinsip pendidikan dan bukan keuntungan kewangan itu akan dilaksanakan oleh kerajaan 'baru' nanti.

Sekiranya hal ini tidak direalisasikan semasa Pakatan Rakyat menjadi kerajaan nanti, para mahasiswa tidak teragak-agak untuk mendesak dan turun di jalan raya, menuntut kembali hak mereka yang dinafikan kerajaan Barisan Nasional selama ini.

Akhirnya, penantian Pakatan Rakyat berubah kedudukan sebagai kerajaan Persekutuan amatlah dinanti-nantikan oleh para mahasiswa.Kedudukan ranking Universiti yang jatuh dalam Times Higher Education Supplement (THES) 2008 pasti dipulihkan apabila IPT bebas daripada unsur politik murahan.

Usaha memperkukuhkan kedudukan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang sedia ada dan meningkatkan prestasi mereka pasti akan membuahkan hasil sekiranya amalan ketidakamanahan akademik tidak berlaku.

Secara hujahnya, penguasaan Pakatan Rakyat ke atas Kementrian Pengajian Tinggi dan Kerajaan Malaysia nanti, ibarat seperti 'Cahaya di hujung lorong yang gelap' dan mengeluarkan benih harapan baru terhadap mahasiswa.

No comments

Powered by Blogger.