Bagaimana kemelut Negara Islam PAS-DAP dapat dirungkai
Sekali lagi DAP menyuarakan desakan terbuka agar PAS menggugurkan agendanya untuk menubuhkan negara Islam. Seperti yang saya nyatakan dalam posting yang lalu, bahawa selagi kemelut ini tidak diselesaikan segera, ia akan menjadi api dalam sekam. Isu ini perlu dirungkai elok, bukan sahaja untuk kebaikan politik Pakatan Rakyat, bahkan juga untuk masa depan Islam.
PAS perlu tunjukkan kepada dunia bahawa Islam adalah relevan dengan realiti dunia. Bahkan pendokong Islam mampu duduk bersama-sama dengan orang lain untuk membawa dunia ke arah kebaikan. Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum tentunya menjadi tapak yang cukup cantik untuk menunjukkan betapa pendokong Islam mampu membawa perubahan ke arah keadilan, kemakmuran, kebaikan dan keamanan dunia dengan cara yang aman dan bijaksana.
Saya melihat bahawa beberapa punca utama yang menyebabkan konflik ini terus berpanjangan:
a. Keengganan kedua-dua pihak untuk mengadakan dialog secara telus dan menyeluruh dalam menyelesaikan kemelut ini.
b. Propaganda yang hodoh tentang Islam, undang-undang Islam, dan pendokong Islam, termasuk label pengganas, fanatik, radikal dan militan ke atas pencinta Islam menyebabkan negara Islam sebagai suatu yang ditakuti.
c. Kejayaan sistem demokrasi sebagai sistem politik paling stabil dan adil, di abad 20 dan di abad 21 ini menjadikan struktur bernegara yang dilihat berbeza dari demokrasi sebagai tidak realistik, zalim dan tidak adil kerana tidak demokratik.
d. Sistem bernegara secara Islam yang belum mampu menunjukkan model semasa yang dapat menggambarkan keadilan, kemakmuran, dan pembangunan yang hebat berasaskan Islam pada abad ini- bagi mengatasi kekaguman kepada sistem demokrasi.
e. Kegagalan untuk meyakinkan keindahan sistem Islam, termasuk dalam konteks bernegara kepada masyarakat bukan Islam, bahkan juga kepada umat Islam.
f. Kelemahan untuk melakukan ijtihad dalam aspek fiqh tajdid atau fiqh taghyir (Fiqh Perubahan)- contohnya bagi menjawab persoalan: 'Adakah boleh menggugurkan slogan 'negara Islam' tanpa menggugurkan hasrat Islam sebenar?', 'Adakah boleh mensyaratkan penubuhan 'negara Islam' dengan sokongan rakyat melalui pilihanraya?
e. Kelemahan dalam melakukan ijtihad dalam aspek fiqh dawlah contohnya bagi menjawab persoalan: 'Adakan mewujudkan Majlis Syura Ulama itu satu kemestian dalam sebuah negara Islam?', 'Adakah 'negara Islam' semestinya ber'syahadah'? dan seumpamanya.
f. Kelemahan dalam ijtihad dalam merangka 'tahaluf siyasi' yang baru bagi menggantikan konsep tahaluf siyasi yang lepas yang menghadkan kerjasama sebagai 'pembangkang', bukan kerjasama berkerajaan (kecuali jika Islam debagai ad-deen). Hurainnya telah saya sentuh dalam posting yang lepas. Bahkan dengan pengetahuan yang terhad ini, saya cuba untuk meberikan justifikasi kepada kerjasama PAS dalam kerajaan yang tidak menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan.
Konflik yang berlaku ini sebenarnya bukan satu bala yang menyebabkan pendokong Islam menjadi menggelabah. Bahkan ia adalah satu cabaran yang insyaallah akan mematangkan pendokong Islam bagi merangka gagasan perjuangan bernegara secara Islam, bukan sahaja untuk negara sekecil Malaysia, bahkan untuk struktur dunia sepenuhnya.
Di sini, para pimpinan Islam perlu mengambil tindakan agresif untuk merangka fiqh siyasah baru yang semasa bagi menghadapi cabaran dunia yang besar nanti. Merangka ijtihad ini memerlukan penglibatan ulama, pengamal politik, pakar perundangan, pakar sains politik, bahkan juga pakar ekonomi, dan aktivis masyarakat. Ulama dari luar negara juga wajar dijemput bagi membuka ruang pengalaman para penyelidik.
Di samping itu usaha merancakkan dakwah, penerangan dan dialog secara berterusan perlu dilakukan bagi membaiki keadaan sekarang.
Insyaallah dengan dialog yang serius seiring dengan tajdid dalam fiqh siyasi, serta proses penerangan tentang keindahan Islam secara agresif, insyaallah konflik isu Negara Islam ini dapat dirungkaikan dengan baik.
1 comment
Ass. Mu'alaikum Wr Wb
Salam kenal. Saya dari Indonesia. Saya suka studi policy analysis dan usul-fiqih. Mungkin, kita bisa bertukar idea tentang teori fiqih siyasah.
Salam ukhuwah
Post a Comment