apabila keris hisham dah tumpul......


Walaupun tindakan memohon maaf kepada rakyat Malaysia berhubung isu menghunus dan mencium keris Panca Warisan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan memberi kesan pada golongan tertentu tetapi sekurang-kurangnya perkara itu tidak lagi merunsingkan mana-mana pihak.

Ianya juga dianggap satu tindakan berani Hishammuddin dalam usahanya memperbetulkan apa yang kurang betul dan memperbaiki salam faham dalam konteks untuk menghilangkan salah faham.

Demikian ulas Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menjawab soalan Agendadaily berhubung permohonan maaf Hishammuddin kepada rakyat Malaysia berhubung isu hunus dan cium keris Panca Warisan semasa Perhimpunan Agong Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia beberapa tahun lalu.

Abdullah berkata demikian semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Putra, petang Isnin.

Hishammuddin membuat kenyataan mohon maaf itu setelah Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerajaan di lima buah negeri kerana dikaitkan dengan isu hunus dan cium keris Panca Warisan.

Beliau membuat kenyataan mohon maaf itu semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemuda Barisan Nasional (BN) Pusat di bangunan UMNO itu minggu lepas.

Abdullah yang mengulas panjang isu tersebut berkata,"saya memahami mengapa beliau bertindak begitu dan ianya adalah tindakan berani kerana ianya mempunyai kesan-kesan terhadap golongan tertentu.Sekurang-kurangnya perkara ini tidak akan menjadi perkara yang
merunsingkan mana-mana pihak lagi."

Presiden UMNO itu menganggap Hishammuddin telah membuat pendirian yang ikhlas dan menyatakan kesedarannya mengapa mengambil pendirian itu dan apa erti keris dalam kehidupan dan budaya orang Melayu.

"Apa yang dilakukan itu telah dijadikan salah pandangan, orang marah pada kita semua, beliau sendiri yang minta maaf kalau pun politiknya terkorban. Itulah yang sebaik-baiknya yang beliau lakukan supaya ianya tidak menjadi isu lagi," kata beliau.

Perdana Menteri juga menyifatkan langkah dan tindakan yang diambil itu memberi satu fahaman kepada bukan Melayu terutama fungsi dan kedudukan keris itu dalam masyarakat Melayu yang tidak dapat dipisahkan.

"Inilah yang perlu difahami, saya juga tidak mahu ada pihak yang menganggap ada hasrat yang tersembunyi, ada identiti atau ada agenda tertentu kerana ianya tidak mempunyai apa-apa yang hendak disembunyikan," tekan Abdullah.

Beliau berharap tidak akan ada pandangan serong terhadap keris kerana ianya telah wujud sejak dulu lagi.

Katanya, "saya tidak suka perkara ini digembar-gemburkan, jangan pulak ianya dijadikan isu politik, ini semua tidak kena mengena."

Abdullah juga berkata, beliau dan Najib (Datuk Seri) tidak pernah menasihatkan Hishammuddin berbuat demikian dan ianya adalah inisiatif Hishammuddin sendiri.

Sementara itu dalam soal Ketuanan Melayu, Abdullah menjelaskan bahawa ianya tidak bermaksud memaksa kuasa orang Melayu terhadap kaum lain tetapi di Malaysia ini orang Melayu merupakan penduduk asli yang perlu memperkasakan dirinya supaya dapat maju dan berjaya.

"Kalau tidak maju dan berjaya, bukanlah 'tuan', itulah sebabnya jadi kulilah…takkan kita nak hidup jadi kuli dan tidak berperanan langsung seperti tiada pembangunan kerana lemah dan kurang upaya, orang Melayu perlu maju dan berjaya dalam pelbagai bidang". ujarnya.-

No comments

Powered by Blogger.