TV3 tarik diri anjur Jom Heboh
IPOH: Stesen televisyen swasta TV3 menyatakan hasratnya untuk menarik diri daripada menganjurkan program bergerak Karnival Jom Heboh di Perak pada tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, di sini, Ahad.
Beliau berkata hasrat menarik diri tersebut dinyatakan oleh pihak pengurusan tertinggi TV3 sendiri dalam satu pertemuan dengannya pada Rabu lepas.
Bagaimanapun Mohammad Nizar menegaskan kerajaan negeri Perak tidak pernah mengeluarkan arahan supaya TV3 bertindak demikian.
"Kita tidak ada beri arahan pun, dia (TV3) sendiri yang hendak tarik diri. Mereka menghormati prinsipprinsip kita," katanya ketika berucap pada perasmian Mesyuarat Agung tahunan ke14 Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM).
Karnival Sure Heboh TV3 yang berkonsepkan ekspo dan hiburan mula dilancarkan pada Julai 2003 sebelum diubah namanya kepada Jom Heboh pada 2006.
Ia merupakan program bergerak yang diadakan setiap bulan secara bergilir-gilir di negeri-negeri di Malaysia.
Majlis Mufti-mufti Malaysia, melalui Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria pada 30 Julai 2004 telah mengeluarkan kenyataan bahawa konsert Sure Heboh TV3 adalah haram kerana ia melalaikan dan menggalakkan maksiat di kalangan anak-anak muda.
Karnival tersebut membuat penampilan buat julung kalinya di Perak pada 5 dan 6 Mei 2007, berlangsung di Stadium Indera Mulia.
Beberapa hari sebelum Karnival Jom Heboh 2007 itu berlangsung Harussani menegaskan bahawa program konsert 'Sure Heboh' itu tetap haram walaupun selepas ia ditukar nama menjadi 'Jom Heboh'.
Sementara itu, Mohammad Nizar berkata gelaran Datuk Seri yang diterimanya bukanlah untuk dirinya tetapi adalah untuk kesemua 2.3 juta rakyat Perak yang telah berani membuat perubahan pada pilihan raya umum lepas dan meraikan perubahan tersebut.
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang itu telah dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena hari keputeraan Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang ke-80 pada 19 April lepas. BERNAMA
No comments
Post a Comment