Nik Aziz ketuai pertemuan antara Menteri Besar dan Ketua Menteri Pembangkang


KOTA BHARU 25 April — Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mengetuai pertemuan dengan semua menteri besar dan ketua menteri di negeri-negeri yang diperintah pembangkang bagi mendapatkan pandangan dan nasihat Mursyidul Am PAS itu mengenai langkah untuk memantapkan pentadbiran lima negeri terbabit.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebagai pemimpin yang lebih berpengalaman, Nik Aziz telah diminta untuk menganjurkan pertemuan itu.

"Sebagai orang yang lebih senior, Menteri Besar Kelantan akan diminta untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan cara dan kaedah pentadbiran oleh pembangkang ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz di JKR 10 di sini, hari ini.

Anwar berkata Nik Aziz pada dasarnya telah memberikan persetujuan dan pertemuan itu akan diadakan secepat mungkin.

Katanya antara yang akan diperbincangkan adalah isu mengenai pelaburan, pembangunan dan yang lebih penting hubungan dua hala antara negeri-negeri tersebut dengan kerajaan Pusat.

Lima negeri yang diperintah pembangkang selepas pilihan raya umum 8 Mac, selain Kelantan, adalah Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Kelantan bagaimanapun telah ditadbir oleh PAS sejak 1990 lagi.

Sementara itu, Anwar meminta semua menteri besar dan ketua menteri itu membantu kerajaan Pusat untuk menangani pelbagai masalah berkaitan rakyat termasuk isu bekalan beras ketika ini.

"Apa sahaja yang berkaitan rakyat, kami di pihak pembangkang bersedia membantu apa yang perlu dan kerjasama antara kami dengan Pusat akan terjalin dengan lebih baik,” katanya.

— BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.