ermmm.....takda mood la


KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) setia kepada parti dan tiada bukti mereka akan menyertai parti pembangkang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah, yang juga Pengerusi BN, berkata jaminan mengenai wakil rakyat BN, baik Anggota Parlimen mahupun Anggota Dewan Undangan Negeri, disuarakan semua ketua parti komponen yang menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikannya Selasa malam.

"Semua taat setia kepada BN dan tiada bukti (mereka akan) lompat (menyertai) parti pembangkang," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dua jam itu di Menara Dato' Onn di sini.

Abdullah berkata BN, bagaimanapun, akan terus memantau perkembangan semua wakil rakyat BN bagi memastikan mereka tidak melompat ke parti lain.

Ditanya mengenai kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bahawa pihaknya telah berunding dengan beberapa wakil rakyat BN supaya mereka menyertai Pakatan Rakyat, Abdullah berkata perkara itu tidak benar.

"Itu dakwaan dia. Dia nak dakwa apa, dia dakwalah," kata Perdana Menteri.

Abdullah berkata semua pemimpin parti komponen juga sepakat bahawa wakil rakyat BN yang dipilih perlu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan lebih besar daripada rakyat berbanding sokongan yang diterima pada pilihan raya umum lepas.

Beliau berkata Dewan Tertinggi BN juga memutuskan supaya wakil rakyat BN, terutama di negeri-negeri yang dikuasai parti bukan BN, mewakili kepentingan semua kaum.

"Kepentingan parti bukan hanya khas untuk parti, tetapi kepentingan parti dalam ertikata perjuangan untuk rakyat," katanya sambil memberi contoh wakil rakyat Umno yang mewakili BN di Pulau Pinang yang kini dikuasai Pakatan Rakyat.

Abdullah berkata dalam konteks itu mesyuarat parti komponen BN akan dipertingkatkan bagi memudahkan BN mengenalpasti dan mengambil tindakan segera terhadap masalah-masalah berbangkit.

"Mesyuarat hari ini juga memberi keputusan supaya kerajaan memberikan perhatian kepada usaha melaksanakan segala janji-janji yang terkandung dalam manifesto BN dalam pilihan raya umum lepas," katanya.

Abdullah berkata beliau telah memaklumkan kepada pemimpin parti komponen bahawa perkara itu telah diberi perhatian dalam jawatankuasa yang membuat kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Perdana Menteri berkata antara perkara yang diberi perhatian ialah kemajuan kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak serta kemajuan penduduk di ladang.

Beliau berkata masih ada kawasan di pedalaman Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai prasarana mencukupi seperti bekalan air, elektrik dan sekolah, di mana kemudahan itu perlu diadakan dengan secepat mungkin.

"Ini adalah penting supaya rakyat menikmati kemudahan itu. Janganlah kemudahan itu hanya di kawasan bandar dan kawasan luar bandar yang jauh tidak mendapat kemudahan itu," katanya.

Abdullah berkata beliau memberi jaminan bahawa perkara itu diberi perhatian dalam jawatankuasa itu.

Perdana Menteri berkata BN juga akan mengadakan seminar untuk mengatur langkah-langkah BN di masa hadapan yang akan mengambilkira perubahan yang berlaku pada masa kini termasuk memahami aspirasi generasi muda yang mahukan perubahan.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.