antara hubungan manusia sesama manusia dan ALLAH~malaysiakini
sumber: murai.com.my
“Awak rasa Norman bersalah atau Memey? Atau Abby yang tak pandai jaga suami?”, sembang seorang ‘peminat’.
“Hmm, salah Norman, si Memey tu atau salah Abby, apa kena mengenanya dengan awak?”, balas kawannya. Rimas.
“Hai, saya ni peminat setia mereka. Apa yang berlaku kepada mereka, penting untuk saya?”, tegas si peminat itu.
“Kalau betul awak peminat mereka dan sayang dengan mereka berdua, pergi ambil air sembahyang, solat dan doakan kesejahteraan mereka dunia dan Akhirat! Nak baca Yasin 40 kali pun pergilah”, ujar teman tadi.
“Ahh, malaslah. Pandai-pandailah mereka selesaikan masalah rumahtangga mereka sendiri!”, ujar peminat setia itu tadi.
“Haa, tahu pun! Pandai-pandailah mereka selesaikan masalah rumahtangga mereka sendiri. Awak tak ada kena mengena apa-apa pun”, simpul teman tersebut.
MENGHIDUNG!
Menghidung, menghidu dan mengambil tahu hal ehwal rumahtangga orang lain memang menyeronokkan. Tambahan pula, jika rumahtangga itu milik artis popular. Jika semasa artis itu bujang atau anak dara, yang dibelek adalah serba serbi dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, maka selepas berkahwin, rumahtangganya pula jadi mangsa.
Hal ini sudah terlalu biasa, malah sudah jadi industri.
Berapa banyak majalah dan halaman web yang dikhususkan untuk gosip dan cerita artis seperti ini? Cukup banyak, berlambak-lambak.
Apakah ini cara kita PEDULI?
ISLAM AGAMA PEDULI
Memang Islam agama peduli. Agama ambil tahu.
Allah SWT tidak jadikan manusia ini berdiri tunggal tidak berhajat kepada manusia lain. Lahirnya, tali pusat dipotong orang. Matinya pun, dikafan dan dihantar ke kubur oleh orang lain. Jangan sombong menyebut “kubur masing-masing”. Nanti diherdik orang suruh ke kubur sendiri dan kambus sendiri selepas mati!
Oleh kerana kita punya banyak hajat pada bantuan dan hasil kerja orang lain, maka Allah pikulkan tanggungjawab untuk membalasnya. Ada give and take.
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat serta memberi zakat, juga taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana [al-Taubah 9: 71]
Orang yang beriman, lelaki dan perempuan, bersifat dengan karakter tolong menolong, mengambil berat di antara satu sama lain, menjadi syiar ukhuwwah sesama mereka seperti yang diperincikan Allah SWT di dalam surah al-Hashr.
Kita harus peduli, baik dalam soal menegakkan hak Allah Subhanahu wa Taala, mahu pun pada menunaikan tuntutan hablun min al-naas. Apabila soal mengambil berat di antara satu sama lain itu merosot dalam amalan bermasyarakat, maka ia adalah petanda merosotnya ukhuwwah. Kemunduran ukhuwwah adalah tanda jelas pada merosotnya iman dalam kehidupan.
Kepedulian berkadar terus dengan Ukhuwwah. Ukhuwwah pula berkadar terus dengan Iman. Masyarakat yang tidak peduli dan tidak bantu membantu dalam kehidupan mereka, adalah masyarakat yang membelakangkan iman.saiful islam
No comments
Post a Comment