Bayang-bayang Tun Mahathir akan mengekori Najib -malaysiakini



Adakah ia satu kebetulan? Inilah persoalan yang bermain dalam minda saya apabila mendapati bahawa nama mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkait rapat dengan pemindahan kuasa dan kepimpinan pentadbiran negara antara dua orang Perdana Menteri dan timbalan masing-masing.


Ia bukan satu kebetulan tetapi satu kenyataan. Apa yang dapat saya katakan ialah ia memperlihatkan kehebatan dan kepintaran berpolitik oleh Tun Dr Mahathir. Kehebatan beliau pernah diakui oleh mantan PM Singapura, Lee Kuan Yew yang pada satu ketika menyifatkan kehandalan Tun Mahathir sebagai seorang "Silat Master" atau Adi Guru Silat (saya tidak setuju dengan perkataan Maha Guru kerana ia seolah-olah menyamatarafkan dengan Yang Maha Berkuasa).


Saya masih ingat kata-kata Kuan Yew, yang ketika itu Perdana Menteri Singapura, pada satu majlis di Universiti Nasional Singapura. Kuan Yew mengeluarkan kata-kata itu apabila memperkatakan tentang beberapa orang pemimpin Malaysia dan Indonesia yang dikenalinya seperti Tunku Abdul Rahman, Sukarno, Suharto, Tun Razak dan Dr Mahathir.


Katanya, sebagai seorang "Silat Master", amat sukar bagi orang lain untuk membaca langkah (Tun Mahathir) seterusnya (it is difficult for one to read his next move). Begitulah hebatnya Tun Mahathir berasaskan pandangan dan pengalaman Kuan Yew, juga seorang pemimpin yang tidak kurang hebatnya.


Berbalik kepada pemindahan kuasa daripada Almarhum Tunku kepada Almarhum Tun Razak, ia ada kaitan dengan Peristiwa 13 Mei dan penentangan terhadap kepimpinan Tunku selepas itu.
Antara orang yang paling kuat menentang kepimpinan Tunku adalah Tun Mahathir.


Saya ingin mengutip kata-kata Tunku semasa Persidangan Perhimpunan Agung UMNO ke-22 pada 23 dan 24 Januari, 1971 di Hotel Merlin, Kuala Lumpur. Persidangan itu adalah satu sejarah kerana telah menempa perubahan pucuk pimpinan UMNO daripada Tunku kepada Tun Razak.


"Saya sangat dukacita mendengar dalam masa yang akhir-akhir ini kata-kata dan cakapan-cakapan yang mengatakan dalam UMNO sekarang ini ada order baharu dan ada pula order lama yang tidak boleh dipakai. Kata-kata yang seumpama ini tidak sesuai dengan dasar perjuangan kita. Apakah salah silapnya pada yang lama dan apakah kekurangan pada yang dahulu itu? Kerana kita telah menjadikan Malaya yang terjajah kepada Malaya yang Merdeka? Dari Malaya sebuah koloni dibebaskan menjadi sebuah negeri Merdeka. Malaya yang kecil itu dijadikan dia Malaysia? Itukah salahnya?"


( Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra mewarisi kepimpinan UMNO setelah Almarhum Dato Onn Jaafar letak jawatan dan keluar parti berikutan cadangannya untuk membuka pintu UMNO kepada bukan Melayu tidak mendapat sokongan. Foto ini merakamkan Dato Onn menyampaikan ucapan perpisahan yang turut diamati oleh Tunku).



Tunku seterusnya berkata sekiranya mereka yang menentang kepimpinannya itu bermaksud hendak memberi nafas dan semangat baru dalam parti, beliau amat bersetuju kerana itu menjadi dasar perjuangan UMNO iaitu berubah mengikut peredaran zaman. Tetapi, tambah Tunku, jika sekiranya tujuan mereka hendak menyingkir orang-orang lama dan asal yang telah berkhidmat dengan cemerlang kepada parti dan negara supaya diubah perjuangan UMNO sama sekali, maka beliau tidak bersetuju.


Tunku berkata sekiranya kewujudan order baharu dan order lama itu semata-mata kerana disebabkan adanya beliau, maka perkara itu tidak seharusnya berbangkit kerana beliau tidak lagi Yang Di Pertua UMNO. Jawatan itu dipikul oleh Tun Razak.
Sebelum itu, iaitu pada 22 September, 1970 Tunku telah meletak jawatan Perdana Menteri dan menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada Tun Razak.

(Almarhum Tun Abdul Razak adalah contoh seorang timbalan yang taat dan setia kepada ketua. Kesabaran dan pengorbanan Tun Razak amat dihargai oleh Tunku hingga sanggup menyerah jawatan Perdana Menteri dan kemudian YDP UMNO kepada timbalannya itu).



Pada satu majlis perjumpaan pemimpin-pemimpin UMNO peringkat bahagian di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 22 September 1970, Tun Razak berkata bahawa UMNO dukacita kerana Tunku memilih untuk bersara dari jawatan Perdana Menteri setelah memimpin selama 19 tahun. Tun Razak merakamkan perasaan terharu dan amat bangga kerana Tunku menamakannya sebagai pengganti.

"Saya telah berdamping rapat dengan Tunku di dalam UMNO dan juga di dalam Kerajaan. Tunku ialah seorang kerabat karib saya dan perhubungan kami berdua adalah sebagai "bapa dan anak", saling hormat-menghormati dan kasih mesra yang tidak boleh dipisahkan oleh sesiapa pun dan oleh mana-mana pihak selagi ada hayat kami. Walaupun ada krisis atau perselisihan faham di dalam parti dan kerajaan tetapi perhubungan kami adalah sentiasa rapat dan kekal".

Kesetiaan Tun Razak terhadap Tunku adalah sesuatu yang benar-benar jujur dan ikhlas, ia bukan satu sandiwara atau lakonan politik yang mengikut rentak dan irama semasa seperti yang pernah dan sedang berlaku dalam UMNO sekarang.



Tidak dapat dinafikan bahawa bayang-bayang Tun Mahathir begitu jelas dalam episod perletakan jawatan Tunku dan pengunduran atau peralihan kuasa yang bakal dilaksanakan oleh PM Abdullah Ahmad kepada Datuk Seri Najib. Ia bukan satu kebetulan tetapi satu kenyataan di mana nama Adi Guru Tun Mahathir terpahat dalam tinta sejarah kerjaya politik Tun Razak dan anaknya, Najib.


Pak Lah bukan sahaja menghampa dan mengecewakan Tun Mahathir, orang yang memilihnya sebagai pengganti, tetapi turut mengecewakan sebilangan besar ahli UMNO dan rakyat dengan corak kepimpinannya.


Dalam episod Tunku-Tun Razak, keadaan dan suasana amat berbeza berbanding dengan episod Pak Lah-Najib. Peristiwa 13 Mei dan kekalahan teruk Perikatan pada pilihan raya umum mengakibatkan kebangkitan apa yang disebut sebagai order baru dan order lama dalam UMNO. Dalam episod sekarang, kekalahan Barisan Nasional di lima buah negeri dan kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat turut menjadi punca penentangan terhadap kepimpinan Pak Lah.


Tun Razak telah mewarisi kepimpinan UMNO dan kerajaan dengan kejayaan yang besar terutama dalam sudut pembangunan negara dan perpaduan rakyat berbilang bangsa dan agama.


Mampukah Najib mengulangi kejayaan bapanya itu? Ianya bukan mustahil tetapi agak sukar memandangkan Najib akan mewarisi ekonomi yang tidak menentu dan berkemungkinan besar kemelesetan yang agak serius. Masalah kaum juga menghantui masa depan negara dan memerlukan penanganan yang bijak, adil dan saksama.


Rakyat Amerika Syarikat mencatat sejarah yang mungkin tidak termimpi oleh satu generasi terdahulu, iaitu memilih seorang yang bukan berkulit putih sebagai bakal presiden. Di Malaysia, perlantikan seorang pegawai bukan Bumiputera selaku pemangku pengurus besar sebuah perbadanan peringkat negeri dibantah dan dijadikan satu isu serius. Inilah antara perkara yang akan diwarisi oleh Najib selain beberapa isu perkauman dan keagamaan.


Bayang-bayang Tun Mahathir akan mengekori Najib. Terpulanglah kepada kebijaksanaan Najib sama ada ingin dirinya terus dibayangi atau menjadikan bayang-bayang itu satu bayang-bayang pada kelir wayang kulit dengan Najib sendiri sebagai Tok Dalangnya.

http://kudaranggi.blogspot.com/2008/11/bayang-bayang-tun-mahathir-akan.html

No comments

Powered by Blogger.