gambar perwakilan seremban bergaduh....jilat wang haram

Umno Seremban gaduh, perwakilan cedera Pak Lah kecewa
KECOH... Sebahagian daripada anggota perwakilan cuba mententeramkan perwakilan yang bertengkar ketika Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Seremban di dewan Kelab Golf Taman Tuanku Ja'afar hari ini. - fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI] SEREMBAN: Mesyuarat peringkat bahagian yang dijadual berakhir hari ini 'tercemar' apabila Persidangan Perwakilan Umno Seremban pagi ini terpaksa ditangguhkan ekoran pergaduhan sehingga menyebabkan dua perwakilan cedera ringan.

REAKSI PRESIDEN

Dalam reaksi segera di Kepala Batas, Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kecewa dengan pergaduhan yang berlaku sambil menyifatkan ia sebagai kejadian yang amat memalukan.

Kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan setiap perwakilan harus mematuhi peraturan dan perjalanan mesyuarat dengan baik, kata beliau.

Tegas beliau, tindakan disiplin boleh diambil terhadap mereka yang terlibat jika didapati bersalah.

Katanya, bukan sahaja politik wang yang boleh dikenakan tindakan disiplin malahan kes yang melibatkan pergaduhan juga boleh diambil tindakan sama.

Sebaik diajukan soalan itu oleh wartawan, beliau terus menghubungi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi telefon bimbit seorang pengawal peribadinya bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian itu.

Perdana Menteri berkata, oleh kerana kejadian itu mengakibatkan kecederaan kepada perwakilan, ia juga merupakan satu perbuatan jenayah dan boleh dikenakan tindakan menurut Kanun Keseksaan.

KETUA Cawangan UMNO Sikamat Datuk Md. Yusop Harmain Shah bersetuju dengan Timbalan Pengerusi Tetap menanguhkan Persidangan tersebut apabila keaadaan tidak dapat dikawal sehingga ada perwakilan bertumbuk, membaling kerusi dan mengeluarkan kata-kata kesat. - foto Utusan oleh ABD. RAZAK AID

Ketua Umno Cawangan Jalan Kuala Pilah, Abd. Halim Lokman pula membuat laporan di Balai Polis Senawang kerana cedera dipukul seorang pengawal keselamatan.

PUNCA KEJADIAN

Mesyuarat yang dimulakan pada pukul 10 pagi tadi menjadi gamat dengan adegan baling kerusi dan tumbukmenumbuk di dalam dewan Kelab Golf Taman Tuanku Ja'afar.

Keadaan menjadi kecoh selepas kira-kira 20 minit mesyuarat dimulakan apabila salah seorang ahli Umno cawangan bahagian itu enggan balik ke tempat duduk walaupun diarahkan oleh Timbalan Pengerusi Tetap bahagian Othman Senara.

Apabila seorang ahli jawatankuasa keselamatan cuba meminta lelaki itu duduk, beberapa orang penyokongnya bangun dan menimbulkan kekecohan yang berlarutan selama hampir setengah jam menyebabkan sebahagian daripada perwakilan yang datang melarikan diri.

Ketua Umno Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail kemudian mengeluarkan usul supaya mesyuarat itu ditangguh dan diserahkan perjalanannya kepada Majlis Tertinggi.

Naib Ketua Umno Bahagian Seremban, Mohd Nor Awang kemudian mengadakan sidang akhbar untuk kumpulan yang menimbulkan kekecohan itu selepas melakukan demontrasi di hadapan dewan dengan membawa sepanduk mengutuk Ishak.

Katanya, kumpulan yang menimbulkan kekecohan itu cuma mahu melahirkan rasa tidak puas hati kerana cawangan-cawangan mereka belum lagi bermesyuarat.

"Ishak dengan sewenang-wenangnya menggunakan kuasa untuk mengadakan mesyuarat bahagian walaupun Majlis Tertinggi mahukan semua mesyuarat cawangan diselesaikan dahulu, baru boleh mesyuarat bahagian dibuat," katanya.

GAMBAR FAIL... Beberapa anggota Unit Tindakan Ringan AntiRusuhan mengawasi mesyuarat Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang di Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang, Rantau Panjang pada 17 Oktober lalu. Ini berikutan terdapat beberapa individu yang bertindak agresif dengan menjerit dan membantah jumlah perwakilan yang didakwa tidak sah ketika mesyuarat itu berlangsung. Suasana tegang itu berlaku apabila Pengerusi Tetap mesyuarat berkenaan, Nordin Ibrahim mengumumkan seramai 461 perwakilan daripada 144 cawangan layak mengundi. - fotoBERNAMA

RAHIM ELAK WARTAWAN

Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Umno Bahagian Seremban yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Rahim Thamby Chik hadir pada mesyuarat itu, tetapi beliau enggan menemui pemberita.

Kelmarin, Mohd. Nor yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada 2 September lepas atas dua tuduhan memberi rasuah kepada perwakilan, telah melakukan demontrasi di hadapan Wisma Umno Negeri Sembilan.

Beliau yang sepatutnya mencabar Ishak gagal bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Seremban selepas Majlis Tertinggi kelmarin membuat pengumuman bahawa beliau tidak layak bertanding jawatan itu kerana masih dalam pertuduhan rasuah.

Ini bukan kali pertama kekecohan disaksikan ketika persidangan perwakilan di peringkat bahagian.

Pada 17 Oktober lalu, Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang kecoh apabila sekumpulan individu bertindak agresif dengan menjerit dan melaungkan rasa tidak puas hati bagi membantah jumlah perwakilan yang didakwa tidak sah.

ULASAN MB

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, insiden pergaduhan pada persidangan perwakilan Umno Bahagian Seremban pagi ini tidak sepatutnya berlaku.

Sambil melahirkan rasa sedih dengan kejadian itu, Mohamad, yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, berkata beliau akan meneliti laporan penuh insiden itu daripada jawatankuasa pemantau.

"Setakat ini, saya sedang menunggu laporan jawatankuasa pemantau," katanya kepada pemberita ketika mengulas kejadian iu.

No comments

Powered by Blogger.