Kelantan gubal Dasar Keluarga Negeri


'Nikah tunai' satu istilah yang jarang kita dengar, namun setiap mereka yang melalui alam rumah tangga pasti mendengar orang menyebut perkataan itu.

Isu 'nikah tunai' sebenarnya akan dibincang pada forum khas mengenai alam rumah tangga yang akan diadakan di Balai Islam, malam ini.

Program tersebut dianjur Urusetia Pembangunan Wanita akan mengetengahkan ahli panel iaitu Ustaz Hasrizal Abdul Jamil seorang bloger dan Senator Mumtaz Md Nawi.

Bagaimanapun hari ini berlangsung seminar Rumahtangga Berkat di tempat yang sama.

Seminar itu menyaksikan pembentangan kertas kerja oleh peguam syarie Rosmah Mohd Zain, Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Ustaz Mohd Azhar Abdullah dan Kadi Kota Bharu, Ustaz Suratemi Mat Yusoff.

Seramai 400 peserta yang terdiri daripada bakal pengantin, ibu bapa, pegawai kerajaan, kakitangan Yayasan Islam Kelantan, dan persekutuan mengikuti seminar seumpama itu yang julung kali diadakan. �

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, konsep sebenar rumah tangga yang berkat bermula daripada memilih jodoh sehingga berlangsung perkahwinan.Image

"Kita juga ingin menyedarkan masyarakat berkenaan kadar mas kahwin�juga boleh membawa kepada keberkatan serta melahirkan masyarakat yang faham amalan perkahwinan yang selari dengan tuntutan Islam.

"Kerajaan amat sedar tentang kadar perceraian di negeri ini agak tinggi. Dan program seumpama itu bertujuan menyedarkan mereka bagi mencegah daripada berlakunya perceraian," katanya pada perasmian penutup program tersebut, hari ini.

Perasmiannya disempurnakan anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah.

Hadir sama wakil-wakil rakyat, isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, isteri Timbalan Menteri Besar, Datin Zubaidah Abdul Hamid serta Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim.

Kertas kerja yang dibentang merangkumi isu mas kahwin dan implikasi dalam perkahwinan, ciri-ciri rumahtangga barakah dan amalan-amalan perkahwinan menurut Islam.

Mohd Amar berkata, seminar tersebut diadakan tepat pada masanya memandangkan pelbagai masalah keluarga yang melanda masyarakat sekarang.�

Menurutnya setiap ibu bapa pada zaman lampau yang ingin memilih menantu mengambil kira pendidikan agama bagi mendapat keberkatan.

Image"Begitu juga apabila mengadakan majlis perkahwinan, mereka akan mengadakan majlis berkhatam al-Quran bagi menggambarkan pasangan pengantin menamatkan pengajian al Quran.

"Namun pada masa ini ramai yang berkahwin terutamanya golongan remaja meletakkan asas pendidikan agama di tempat terakhir sehingga banyak menimbulkan masalah rumahtangga," katanya.

Sementara itu, Wan Ubaidah ketika ditemui media berkata, sehingga sekarang terdapat 70,000 armalah yang terdiri daripada mereka yang diceraikan dan kematian suami.

Menurutnya juga pada tahun 2006 jumlah perkahwinan yang didaftarkan di negeri ini seramai 14,000 pasangan, manakala 2,000 pasangan pula bercerai dalam tempoh yang sama.

Katanya, kerajaan amat sedar perkara itu terutamanya melibatkan golongan remaja berkahwin atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan seperti ditangkap khalwat.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri sedang merangka bagi mengubal Dasar Keluarga Negeri Kelantan bagi menjaga golongan teraniayai.

Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana terdapat kakitangan kerajaan yang sudah ditetapkan mahkamah supaya membayar nafkah melalui potongan gaji kepada bekas isterinya masih enggan berbuat demikian.

"Saya pun tidak faham macam mana perkara ini boleh berlaku sedangkan mahkamah sudah memerintah agar nafkah dibayar kepada bekas isteri dan anak-anak kakitangan terbabit," ujarnya. -

No comments

Powered by Blogger.