mula kerja dari sekarang
PETALING JAYA: Ketika empat juta rakyat negara ini masih belum mendaftar sebagai pemilih, kira-kira dua juta orang - golongan muda bawah 21 tahun, berpotensi tersenarai dalam daftar pemilih menjelang pilihan raya ke-13.
Sambil melihat kumpulan baru ini sebagai aset sokongan dalam menentukan kemenangan masa depan parti-parti politik juga sudah mula menggerakkan usaha menawan mereka sebagai pengundi.
SPR JANGKA 2 JUTA
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menjangkakan akan ada lebih ramai pemilih baru muda yang berpotensi menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Seharusnya... memang dijangka kira-kira dua juta orang generasi baru layak untuk mendaftar sebagai pemilih baru dan menjadi pengundi," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi semalam.
Kata beliau, rekod kelahiran menunjukkan antara 450,000 hingga 500,000 orang lahir setiap tahun.
Oleh itu, kata beliau, secara purata dua juta sepatutnya layak untuk mendaftar sebagai pemilih menjelang pilihan raya umum ke-13.
"Melihat kepada perkembangan-perkembangan sejak kebelakangan, sudah wujud kesedaran di kalangan golongan muda untuk mengambil bahagian dalam proses memilih kerajaan.
"Banyak pihak menyedari perkara ini dan ia telah membuka mata banyak pihak untuk menarik golongan ini untuk mendafar sebagai pemilih," katanya.
Tambah Wan Ahmad, "kita berharap dengan kesedaran itu dan ekoran daripada apa yang berlaku sejak pilihan raya umum lalu dan keputusan pilihan raya umum, jadi mereka yang duduk atas pagar akan bertindak untuk mendaftar sebagai pemilih."
Seramai 10.9 juta orang layak untuk mengundi dalam pilihan raya umum lalu berbanding 9.7 juta pada 2004.
Bagaimanapun Wan Ahmad mengakui peratusan rakyat yang layak mengundi mendaftar sebagai pemilih sejak awal tahun ini masih "dingin".
Antara Januari dan Jun lalu hanya kira-kira 100,000 pemilih baru mendaftar diri sebagai pemilih.
Pun begitu beliau masih yakin bahawa jumlah tersebut akan meningkat mulai tahun depan menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Pada tahun 2009 dan 2010, saya rasa kadar pendaftaran pemilih baru akan meningkat," katanya.
SPR pernah menerima permohonan pendaftaran pemilih baru hampir sejuta orang, sekali gus pada saat-saat akhir menjelang pilihan raya umum 1999.
Ketika itu pendaftaran pemilih diadakan setahun sekali. Kini proses pendaftaran diadakan sepanjang tahun dan daftar pemilih dikemas kini setiap suku tahun.
Mengambil kira pilihan raya umum ke-12 diadakan Mac depan, pilihan raya akan datang kemungkinan berlangsung pada 2012 atau 2013.
Pelbagai pihak yang dihubungi, pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik juga sudah menyedari kewujudan pemilih berpotensi ini.
MAFREL JUGA LIHAT TREND
Badan pemantau pilihan raya bebas dan adil, Mafrel juga menjangkakan akan ada peningkatan dalam peratusan pemilihan baru.
Pemangku Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, walaupun peningkatan pendaftaran pemilih baru satu fenomena biasa, tetapi mengambil kira perkembangan politik sejak kebelakangan ini akan ada lebih ramai yang mendaftar sebagai pemilih baru.
"Saya setuju kerana ada kesedaran politik, maka peningkatan adalah lebih besar berbanding masa lalu, peratusan pemilih baru akan lebih meningkat," katanya.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, momentum berterusan perkembangan politik akan menentukan kadar peningkatan secara berterusan di kalangan generasi baru.
Peningkatan pemilih baru juga disumbangkan oleh pendedahan generasi muda kepada media baru seperti blog dan portal berita sebagai sumber maklumat bagi mereka, kata beliau.
BACAAN MERDEKA CENTER
Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian juga meramalkan peningkatan besar di kalangan generasi muda sebagai pemilih baru pada masa-masa akan datang.
"Saya rasa akan ada (peningkatan) kerana sejak 8 Mac lalu politik negara semakin rancak dan persaingan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat akan berterusan.
"Malah, sokongan dan perspesi generasi muda terhadap Pakatan Rakyat masih kuat walaupun parasnya adalah 50:50 peratus," kata beliau sambil menambah, kemungkinan ia akan menarik lebih ramai untuk keluar mengundi kelak.
Sambil merujuk kepada penguasaan kerusi dan kerajaan negeri sejak pilihan raya umum ke-12, Ibrahim berkata, parti-parti politik akan menyusun strategi untuk menarik lebih ramai pengundi, khususnya golongan muda yang menjadi perhatian ramai.
BN MULA BERTINDAK
Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong yang baru dipilih bulan lalu memberitahu bahawa parti itu telah meminta biro ICT untuk mendampingi golongan muda menerusi media baru termasuk internet.
"Kita perlu menunjukkan mereka apa yang telah kita lakukan dan seharusnya berupaya untuk menarik mereka," kata Timbalan Menteri Pelajaran.
Exco Pemuda Umno dan Ketua Pemuda Umno Johor, Razali Ibrahim juga sudah menyedari kewujudan dua juta bakal pemilih baru itu.
Kata beliau, mereka akan menjadi aset penting kepada negara jika berupaya menjadikan kumpulan tersebut sebagai pemilih.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Muar itu mengakui bahawa perlu ada perubahan paradigma untuk menarik mereka.
"Umno (sebagai parti dominan BN) perlu membuat pengubahsuaian untuk mendampingi mereka tanpa kompromi objektif parti," tambah beliau.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), Datuk K. Devamany juga mengakui kewujudan kumpulan baru dua juta ini sambil menekankan tentang keperluan membuat pengubahsuaian menarik mereka.
"Mereka mempunyai pendirian dan pemikiran tersendiri dan jika kita tidak mendengar mereka, kita akan berhadapan dengan masalah dalam pilihan raya umum akan datang," katanya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini.
PAKATAN SUSUN STRATEGI
Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Shamsul Iskandar Mohd. Akin memberitahu, pihaknya optimis dengan pengundi baru sebab percaya mereka kebanyakannya merupakan pemilih muda.
"Sudah pasti pendekatan pada pilihan raya umum ke-13 akan lebih menarik dan segar di mana kaedah kempen akan lebih menjurus kepada pengundi baru dan muda," katanya.
Tambah beliau, sekiranya pengundi baru sebanyak dua juta ini berjaya didekati oleh Pakatan Rakyat, maka usaha mengekalkan kemenangan adalah lebih mudah.
"Angkatan Muda Keadilan akan merangka strategi khusus untuk menarik pengundi muda dan menarik pengundi muda dan baru ini mana pelbagai program akan dijalankan bermula awal tahun depan," katanya lagi.
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa ketika dihubungi berkata, kewujudan dua juta pemilih ini adalah aspek menarik untuk diteliti dan dikaji.
"Kami akan mengkaji cara mendampingi mereka selepas ini," kata ADUN Kubang Kerian ini.
No comments
Post a Comment