abdullah yang tiada hati budi


PARLIMEN - ISTERI Kepada salah seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA meminta agar Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mencontohi bakal Presiden Amerika, Barack Obama yang bercita-cita untuk menutup Kem Guantanamo.

Ketika sidang media di lobi Parlimen semalam Norlaila Othman turut melahirkan rasa kecewa terhadap Menteri Dalam Negeri kerana suaminya masih ditahan hampir lapan tahun.

“Jika Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama ingin menutup Kem Guantanamo, Abdullah seharusnya juga menutup Kem Tahanan Kemunting,” kata Norlaina isteri kepada Mat Sah Mohd Satray.

Beliau berkata sedemikian dalam sidang media penyerahan memorandum dan 50,000 poskad kepada Perdana Menteri Abdullah Badawi, menuntut agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

Poskad berkenaan yang tertulis tiga tuntutan bantahan rakyat diserahkan secara simbolik kepada Ahli Parlimen Klang, Charles Santiagon yang kemudian akan menyerahkannya kepada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bagi menyerahkannya kepada PM.

Tiga tuntutan berkenaan ialah ISA dimansuhkan, semua tahanan ISA dibebaskan dan menutup Kem Kamunting (Kemta), diedarkan kepada rakyat sejak pelancarannya April lalu.

Dalam pada itu, ketika sidang media, Naib Presiden KeADILan yang juga Ahli Parlimen Subang R Sivarasa berkata beliau serta pimpinan pakatan akan terus menerus menyampaikan mesej untuk menutup Kem Kemunting.

“Kami akan terus menyampaikan mesej anti ISA kepada seluruh rakyat untuk menegaskan akta kejam ini serta kem kemunting ditutup,” katanya.

Sidang media berkenaan turut disertai Ketua Whip PAS, Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Tumpat, Kamaruddin Jaafar, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad.

Turut serta, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharom.

Kesemua mereka turut menandatangani, satu poskad gergasi yang dibawa sebagai sokongan untuk membantah ISA. - SK

No comments

Powered by Blogger.