Menanti keputusan dari retreat Pas - Malayiakini


NOV 7 — Ketika tulisan ini dibuat, para pemimpin Pas sedang mendaftarkan diri mereka di sebuah hotel di Langkawi untuk penyertai program retreat mereka. Mereka akan berkampung di sana mulai hari ini, esok dan lusa.

Retreat ini sudah lama dirancang iaitu sejak selepas pilihan raya ke 12 Mac lalu lagi. Namun, kerana kesibukan, hanya hari ini mereka boleh berkumpul di bawah satu bumbung selama tiga hari dua malam.

Tidak sebagaimana sebelum ini, program kali ini mendapat perhatian dari pelbagai pihak dalam mahu pun luar Pas. Pas menghadapi ujian getir dalam memperlihatkan kematangannya sebagai parti masa depan untuk negara.

Semalam, Barack Hussein Obama, seorang Kristian kulit hitam, menempa sejarah dalam sejarah politik negara kuasa besar dunia, Amerika apabila beliau menang dalam pertandingan merebut jawatan sebagai presiden negara itu.

Kemenangan ini menempa sejarah kejayaan pelobi antarabangsa bahawa Amerika sebuah negara yang demokratik dan rakyatnya menolak kecenderungan politik berasaskan warna kulit, kaum atau agama.

Bekas Setiausaha Negara Amerika Jeneral (B) Colin Powell dalam satu forum dengannya menolak tuduhan bahawa Obama adalah beragama Islam. Namun yang menariknya apabila dia berkata "Jika Islampun, apa masalahnya."

Dalam masa yang sama, melalui laman-laman web di negara kita, Pas diserang dari pelbagai pihak terhadap sikapnya dalam menangani isu perkauman di negara ini.

Ia semakin menjadi-jadi apabila timbul kontroversi perlantikan Low Siew Moi sebagai pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor. Selepas MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkannya Exco kerajaan negeri yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Hassan Ali, mempertikaikannya.

Mempertikaikan keputusan bos beliau satu hal (kerana ia boleh menimbulkan perpecahan dalaman) tetapi menimbulkan persoalan kenapa tidak dilantik dua lagi timbalan pengurus besar yang Melayu itu menjadi penyebab kepada andaian bahawa dia menolak Low kerana kecinaannya. Lalu timbullah tuduhan bahawa Pas dan Umno sama sahaja dalam sikapnya terhadap kau lain, racist.

Bagi seorang pelawat laman web, Umno lebih baik kerana menyatakan sikapnya dengan jelas tentang isu ini namun Pas pula berbelit-belit sikapnya. Semasa kempen pilihan raya lalu, Pas menggunakan slogan "Pas untuk semua" sedangkan selepas pilihan raya Pas untuk Islam dan Melayu sahaja. Inilah yang membingungkan orang ramai.

Mereka berkata Umno lebih baik kerana jelas sikapnya, tetapi Pas bersikap umpama “chameleon”, sentiasa berubah mengikut keperluan semasa. Semasa hendak undi bukan Melayu dikatakan "Pas for All" tetapi selepas diperolehi, perjuangan Pas untuk Melayu dan Islam.

Teori ini mereka kembangkan sejak isu muzakarah Umno Pas lagi. Langkah Pas pergi berbincang dengan Umno selepas menang pilihan raya dan ketika parti-parti pembangkang sibuk membentuk kerajaan negeri telah dilihat sebagai satu tindakan “memasukkan keraguan di kalangan bukan Islam terhadap Pas”. Begitu juga kenyataan mempertikaikan rancangan 16 September.

Kini para pemimpin Pas berkampung di Langkawi. Setahu saya, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas, Dr Mujahid Yusof akan membentangkan kertas cadangan beliau berkaitan perpaduan dan keahlian bukan Islam dalam Pas. Kertas beliau adalah antara beberapa kertas yang bakal dibahaskan dalam retreat ini.

Ketika rakyat Amerika memperlihatkan kehebatan perang psikologi mereka terhadap para pengkritik mereka, Pas juga perlu bijak melakar tindakan dalam memperlihatkan kematangan mereka berpolitik dan berdakwah.

Kalau rakyat Amerika berjaya menepis persepsi negetif yang ditinggalkan oleh presiden mereka sebelum ini dalam isu Irak, Afghanistan dan lain-lain, apa kurangnya kemampuan para pemimpin Pas dalam menangani persepsi negetif ini.

Semuanya tertunggu-tunggu apakah langkah-langkah yang akan dibuat oleh Pas dalam menghadapi cabaran semasa ini.

Mereka ingin tahu, apakah Pas ini sama sahaja dengan Umno dalam sikap perkaumannya. Kalau Umno mengembangkan sikap perkaumannya dalam program-program Biro Tata Negara (BTN), Pas juga dibimbangi mengembangkan sikap perkaumannya atas nama menjaga hak Bumiputera.

Dalam pada itu, Pas juga perlu berlaku adil. Rakyat tentu tidak mahu melihat ketika parti Islam itu mahu mengatakan mereka tidak perkauman, mereka akan dilihat pula oleh orang Melayu dan Bumiputera sebagai tidak adil kepada mereka sebagai penduduk pribumi.

Semua ini memang meletakkan Pas dalam dilema. Hanya wisdom dan panduan dari Ilahi di kalangan pucuk pimpinan Pas sahaja yang akan menentukan Pas berjaya menempuh semua ini dengan jayanya. Semoga Pas selepas ini lebih inklusif dan bukan eksklusif lagi. - themalaysianinsider

PAS bermukim, atasi konflik terbuka

Barisan pemimpin tertinggi PAS bermukim di Langkawi hari ini bagi membincangkan hala tuju parti selepas pergeseran terbuka mereka berhubung pembentukan kerajaan baru Pakatan Rakyat dan rundingan dengan Umno.

Pertemuan tiga hari yang bermula petang ini akan diadakan di sebuah resort di Pantai Chenang melibat anggota Majlis Syura Ulama dan ahli jawatankuasa pusat PAS.

Timbalan yang dipertua PAS Langkawi, Mazlan Ahmad berkata selaku tuan rumah, pihaknya sedang menyediakan persiapan terakhir dan pendaftaran untuk permukiman tersebut.

Beberapa kertas kerja dijadual dibentangkan pemimpin PAS, termasuk mengulas ucapan dasar presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang di muktamar Ogos lalu.

Kedudukan PAS dalam kerjasama Pakatan Rakyat, khususnya perkembangan dasar-dasar yang dikuasai kerajaan negeri dipercayai akan menjadi bahan diskusi hangat.

Mazlan menambah, permukiman ini akan bermula selepas solat Jumaat. - Malaysiakini

No comments

Powered by Blogger.