UMNO suruh henti politik perkauman?~malaysiakini
"Apabila dunia hampir kiamat pelbagai kepelikan yang akan muncul. Di zaman mutakhir ini, satu lagi berita pelik telah muncul di Malaysia, yang sekarang sedang hangat diperkatakan
Bermula dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail, yang menyatakan bahawa berdasarkan sejarah, kaum Cina adalah kaum pendatang di Malaysia. Kenyataan ini tidaklah pelik, namun yang peliknya adalah respons yang terus bermunculan dari kalangan pemimpin UMNO yang lain.
Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan PresIden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, mengambil langkah awal menyatakan bahawa UMNO memohon maaf atas apa yang dilakukan oleh Ahmad Ismail, manakala Ketua UMNO Bukit Bendera tersebut tetap bertegas dengan keputusannya untuk tidak memohon maaf, kerana yakin beliau tidak bersalah. Najib bagaimana pun menyatakan pula bahawa pendirian Ahmad Ismail yang disokong oleh 13 Ketua UMNO Bahagian yang lain tidak mencerminkan dasar UMNO. Peliknya, kalau begitu kenapa Najib memohon maaf bagi pihak UMNO, kerana UMNO tidak melakukan sebarang kesalahan?
Ada yang lagi pelik, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan semua perbincangan yang menjurus kepada sensiviti perkauman perlu dihentikan segera. Tidakkah pelik, Hishamuddin yang terkenal lantang dengan semangat keMelayuan dan hunusan keris UMNOnya, menyeru agar dihentikan isu perkauman. Bukankah menyeru kepada bangsa dan berjuang untuk bangsa hingga sanggup menghunus keris itu adalah ‘perkauman’? Atau, tidak mengapa jika perkauman yang diseru berapi-api itu adalah perkauman Melayu semata-mata, namun yang tidak bolehnya adalah mengaitkannya dengan bangsa lain?
Pak Lah sendiri, selaku ketua parti Melayu terbesar menyeru agar menghentikan sensasi isu perkauman. Bukankah menyeru kepada Melayu itu sendiri merupakan seruan perkauman, yang sekali gus merupakan seruan Jahiliyyah? Sungguh pelik apabila mereka yang selama ini menyeru kepada kaum masing-masing, sekarang menyeru agar dihentikan seruan perkauman. Ada yang lebih pelik, bukankah UMNO itu sendiri parti perkauman. Bukankah ia untuk kaum Melayu dan bukankah perbincangan di dalam mesyuarat Agung UMNO adalah perbincangan yang senantiasa dipenuhi perkauman?
Kalau sudah UMNO adalah untuk bangsa Melayu, MCA pula untuk bangsa Cina dan MIC adalah untuk bangsa India, dan ketiga-tiga parti terbesar ini berjuang untuk kepentingan kaum masing-masing, bukankah ini semua perkauman?
Inilah hakikat apabila dunia sudah menghampiri kiamat, undang-undang dan pemikiran Jahiliyyah menyatakan bahawa, tidak mengapa untuk menyeru kepada perkauman hanya kepada kaum masing-masing, namun jangan sekali-kali dikaitkan dengan bangsa lain. Jika dikaitkan dengan bangsa lain, maka barulah dikatakan ‘perkauman’, dan hal ini tidak boleh. Namun jika tidak mengaitkannya dengan bangsa lain, maka ini bukan perkauman, dan hal ini diperbolehkan, malah mesti diperjuangkan!
Bagi sesiapa yang berjuang untuk kaum masing-masing, sama ada mengaitkannya dengan bangsa lain atau tidak, maka dengan ingin mengingatkan mereka akan sabda Rasulullah SAW,
“Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah” [HR Abu Daud]
Terdapat banyak peristiwa di dalam sirah di mana Rasulullah mencela mereka yang cuba mempertahankan sikap assabiyyah ini. Dalam satu kejadian, sekumpulan Yahudi merancang untuk memecahkan kesatuan kaum Muslimin setelah dengki melihat bersatunya Auz dan Khazraj atas dasar Islam. Mereka menghantar beberapa orang pemuda untuk melaga-lagakan Aus dan Khazraj dengan mengungkit semula kisah Perang Bu’ath di mana golongan Aus berjaya mengalahkan Khazraj. Hasilnya terjadilah perkelahian antara Aus dan Khazraj dan hal ini kemudiannya sampai ke pengetahuan Rasulullah. Nabi dengan tegas lalu bersabda,
“Wahai kaum Muslimin, ingatlah kalian kepada Allah, ingatlah kalian kepada Allah! Kenapa kalian mengikuti seruan Jahiliyyah, padahal aku masih berada di tengah-tengah kalian. Dan Allah sebelumnya telah memberi petunjuk kepada kalian dengan Islam, memuliakan kalian dengannya, memutuskan segala kejahiliyyahan dari kalian, menyelamatkan kalian dari kekafiran dan menyatukan hati kalian.”
Apabila mendengar sabda Nabi ini, kaum Aus dan Khazraj terus sedar bahawa seruan Jahilliyah adalah tipuan syaitan, dan salah satu dari makar musuh Allah terhadap mereka. Mereka terus menangis dan berpelukan antara satu sama lain. Peristiwa ini merupakan asbabun nuzul Surah Ali Imran (3):102-103.
“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (dengan Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya, supaya kamu berpetunjuk.”
Justeru, jika pemimpin Malaysia benar-benar ingin menyeru agar dihentikan seruan perkauman ini, maka merekalah yang sewajibnya terlebih dahulu menghentikan perjuangan assabiyah (perkauman) mereka. Mereka wajib berpaling dari perkauman dan wajib mengambil “Islam” sebagai perjuangan, bukannya “bangsa”. Bagi mereka yang kononnya menyeru agar ditinggalkan perkauman, walhal dalam masa yang sama masih berpegang erat kepada perkauman, menyeru dan memperjuangkannya, maka ingatlah akan firman Allah,
“Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kemurkaan di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”. [TMQ as-Saf (61):2-3].
Na’uzubillah min zalik.
No comments
Post a Comment