Calon PAS bebas berkempen tapi tak boleh guna Harakah

UMUM...Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Mustafa Ali mengumumkan calon-calon yang layak bertanding pada Muktamar PAS minggu depan.Foto mStar Online Oleh MANIMARAN.
AMARAN..Mustafa memberi amaran bahawa calon-calon yang bertanding boleh menggunakan apa jua media kecuali Harakah.


KUALA LUMPUR: Calon-calon yang bertanding pemilihan pusat PAS boleh berkempen menggunakan apa sahaja media termasuk media arus perdana tetapi dilarang muncul dalam Harakah.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, arahan itu telah dikeluarkan kepada calon-calon yang bertanding kali ini.

"Kalau semua nak keluar dalam Harakah, tak cukup ruang. Lagipun Harakah keluar dua kali seminggu sahaja," kata beliau ketika ditanya sama ada telah dikeluarkan satu arahan khusus atau garis panduan menjelang pemilihan minggu depan.

Pemilihan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi sesi 2009-2011 akan diadakan 5 Jun manakala keputusannya akan diketahui pagi keesokan hari.

Pemilihan Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama PAS akan diadakan pada 4 Jun.

Kesemuanya 162 orang bertanding pada pemilihan ketiga-tiga sayap itu dan PAS Pusat.

Menurut Mustafa, pemilihan kali ini menyaksikan beberapa pembaharuan.

Antaranya, ini kali pertama PAS mengumumkan senarai nama calon yang bertanding kira-kira seminggu lebih awal sebelum pemilihan.

"Ya ini kali pertama. Sebelum ini nama calon hanya diumumkan pada hari pemilihan," kata beliau sambil mengakui ini kali pertama begitu ramai calon bertanding pada pemilihan semua peringkat.

Malah katanya, ini kali pertama seramai tujuh calon wanita bertanding Jawatankuasa Kerja PAS Pusat kali ini.

Mereka terdiri daripada Azizah Khatib Mat, Dr. Halimah Ali, Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali, Mariam Abdul Rashid, Mumtaz Md. Nawi, Dr. Siti Mariah Mahmud dan Wan Hasrina Wan Hassan.

No comments

Powered by Blogger.