KONSEP TADARRUJ DALAM PERLAKSANAAN ISLAM

Walaupun bukan berkelulusan agama secara formal (ulama mee celup), tetapi Ir Nizar sendiri mampu menyampaikan ceramah agama di Masjid dan Surau dalam meneruskan agenda dakwah islamiyyah semasa menjadi menteri Besar Perak

KONSEP TADARRUJ DALAM PERLAKSANAAN ISLAM

Setelah 50 tahun lebih UMNO memerintah, banyak perkara yang melibatkan perlaksanaan Islam tidak dilaksanakan. Rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam sendiri, sudah agak tidak mengenali Islam. Semuanya berpunca islam berjaya dicandukan oleh UMNO.

Dari sisi inilah, didapati rakyat semakin hari semakin jahil tentang Islam. Bahkan, apabila sebarang perkara yang melibatkan Islam dicadangkan, maka kedengaranlah ungkapan-ungkapan tidak senang, seperti islam sesuai di zaman unta, hudud adalah zalim dan banyak lagi.

Justeru, usaha kearah perlaksanaan Islam secara menyeluruh menjadi batu penghalang. Ianya bersebab, apabila Islam yang indah itu telah didoktrinkan buruk dengan sedemikian rupa.

Penerapan Islam yang mahu dilakukan, terpaksa berhadapan dengan berbagai-bagai rintangan. Makanya, konsep tadarruj (baca : bertahap-tahap) menjadi asas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak bagi menyelesaikan persamalahan ini.

ISLAM AGAMA MUDAH

Konsep perlaksanaan Islam secara tadarruj, bukanlah sesuatu yang salah, bahkan ianya amat bersesuaian dengan kehendak Syariah Islamiyyah yang meletakkan asas bahawa agama islam adalah agama yang mudah.

Firman Allah;

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya;
”Allah mahu kemudahan terhadap kamu, dan Allah tidak mahu kesusahan terhadap kamu”

(Surah Al-Baqarah : 185)

Juga firman Allah;

يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُخَفِّفَ عَنْكُمْ وَخُلِقَ الْإِنْسَانُ ضَعِيفًا

Maksudnya;
“Allah menghendaki dimudahkan terhadap kamu dan manusia itu dicipta dalam keadaan lemah”

(Surah An-Nisa’ : 28)

Diantara kemudahan yang terkandung dalam syariah islam adalah, Allah mensyariatkan wujudnya “rukhsah” atau “keringanan” dikala wujud kepayahan dalam melaksanakan Islam.

Daripada Abdullah bin Omar, Sabda Nabi SAW;

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ أَنْ تُؤْتَى رُخَصُهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ تُؤْتَى مَعْصِيَتُهُ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah suka dilakukan rukhsah, sepertimana Allah benci dilakukan maksiat
[1]

Antara kemudahan yang dibenarkan dalam Islam adalah, Allah mengharuskan melakukan perkara yang haram dikala wujudnya unsur mudharat.

Firman Allah;

فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

(Surah Al-Baqarah : 173)

KONSEP TADARRUJ PAKATAN RAKYAT PERAK

Antara kemudahan yang dianjurkan dalam Islam adalah, perlaksanaan secara bertahap-tahap. Hal ini boleh dilihat dipermulaan islam, yang mana arak itu diharamkan secara berperingkat-peringkat dan bertahap-tahap.

Sunnah alam telah menyatakan, semua perkara itu bermula dari sesuatu yang kecil, yang kemudiannya semakin membesar dan terus membesar. Kekuatan itu bermula dengan kelemahan. Tidak ada kekuatan itu bermula dengan kuat, bahkan semestinya bermula dengan kelemahan. Tidak ada manusia itu cerdik, melainkan mereka bermula dengan kejahilan (baca : tidak tahu).

Keadaan yang sama juga dalam perlaksanaan islam. Jika tidak mampu melaksanakannya secara sempurna dalam keadaan sekarang, tetapi perlu mempunyai usaha bagi melaksanakannya dimasa akan datang.

Dalam pemerintahan Omar Abdul Aziz, kita dapati beliau merupakan seorang khalifah islam yang baik dan berjaya. Beliau berjaya menegakkan keadilan, menyebarkan kebaikan dan sebagainya. Tetapi dalam masa yang sama, beliau sendiri tidak berjaya melaksanakan semua yang dikehendaki oleh islam, seperti menghidupkan peranan syura yang menjadi asas pemerintahan islam dan tidak berjaya mengeluarkan pemerintahan khalifah dari ruang kuasa keluarga Bani Umayyah
[2].

Pernah anak beliau bertanya tentang lambatnya beliau melaksanakan urusan pemerintahan islam ini. Mendengar soalan anaknya itu, beliau menjawab;

لا تعجل يا بني، فإن الله ذم الخمر في القرآن مرتين، وحرمها في الثالثة، وإني أخاف أن أحمل الحق على الناس جملة، فيدفعوه جملة، ويكون من ذا فتنة

Maksudnya;
“Jangan kamu terburu-buru wahai anakku, sesungguhnya Allah mencela arak dalam Al-Quran sebanyak dua kali. Dan mengharamkannya pada kali yang ketiga. Sesungguhnya aku bimbang menanggung kebenaran secara keseluruhannya, lalu mereka menolak seluruhnya dan menimpa fitnah
[3]

Justeru, semenjak Perak berada dibawah kerajaan Pakatan Rakyat, banyak penerapan islam secara bertahap telah dilakukan. Ini dapat dibuktikan dengan kejayaan pihak kerajaan Pakatan Rakyat Perak mengadakan program di bulan Ramadhan dengan solat maghrib, solat Isya’, berbuka puasa, solat tarawih, bertazkirah, qiyamullail dan bersahur secara berjamaah di dataran majlis perbandaran Ipoh yang berada di tengah-tengah bandaraya ipoh.

Jika dahulu, dataran itu adalah temapt anak-anak muda berpeleseran, rempit, berdua-duaan dan banyak lagi. pun begitu, semenjak Pakatan Rakyat mengambil kerajaan Perak, dataran itu berjaya dijadikan tempat melakukan ibadat dan tempat mencari ilmu.

Begitujuga, kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat Perak menyelamatkan 19 buah sekolah agama rakyat yang telah dinafikan hak mereka oleh BN.

Masjid-masjid yang di zaman Barisan Nasional dikawal sedemikian rupa, sehinggakan sebarang program-program keagamaan seperti kuliah, tazkirah dan sebagainya disekat, tetapi semenjak Pakatan Rakyat memerintah, diberikan ruang terbuka kepada para ustaz menceritakan kesyumulan islam.

Kejayaan penerapan Islam secara bertahap di Perak semakin terserlah, apabila semenjak kita memerintah, kita menegakkan konsep keadilan sejagat. Semuanya bersesuaian dengan fitrah yang di ajar dalam Al-Quran. Sehingga kini, sudah ramai orang DAP, terutama pemimpin mereka yang mampu membaca Al-Quran. Seperti mereka mampu membaca surah Al-hujurat ayat 13

Apabila diadakan sebarang program yang berkaitan dengan Islam kehadiran ke program-program tersebut, tidak sekadar dari kalangan orang melayu sahaja, bahkan kehadirannya sudah menggambarkan bertapa Islam adalah sebuah agama sejagat, bersesuaian untuk semua kaum dan bangsa.

Lebih mengharukan lagi, semenjak Pakatan Rakyat memerintah, pimpinan DAP sudah boleh bertahlil bersama orang-orang islam dalam masjid, bahkan sudah ada dari kalangan mereka yang memakai baju melayu dalam majlis-majlis keramaian.

PENUTUP

Walaupun dalam jangka masa yang terlalu singkat, kami telah membuktikan kejayaan dalam memberikan keuntungan kepada Islam itu sendiri. Dengan sebab itu, kami berkeyakinan, di suatu masa nanti, jika kami diberikan mandat memerintah di perak, berbekalkan konsep tadarruj, pasti akan melahirkan kejayaan Islam yang lebih gemilang lagi.

Kami terlalu optimis, jika perkara ini berjaya diteruskan, tidak mustahil, di suatu masa nanti, negeri kami akan menjadi negeri Islam yang paling unik di Malaysia. Ini kerana bilangan rakyat kami adalah 48 peratus bukan mereka yang berbangsa melayu dan beragama Islam. keadaan ini tidak sama di negeri-negeri lain, seperti negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sekian

p/s : article ini adalah olahan dan penambahan dari kandungan ceramah Ir Nizar

Wallahu ‘Alam




[1] Musnad Ahmad : 5600. dalam kitab Sahih At-Targhib wa at-tarhib karangan Albani, beliau menyatakan hadis ini adalah hasan sahih. : 1059.
[2] Fatawa Muasarah : 3/432
[3] Al-Muwafaqat : 2/148


http://g-82.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.