nasharuddin,husam,mat sabu...anda semua penting untuk pas!

Ulamak , profesional dan aktivis adalah 3 tungku PAS yang mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri dalam usaha menegakkan wadah perjuangan Islam terbesar tanahair ini [PAS] .

Tanpa satu daripadanya , PAS tidak akan mampu gah berdiri pada tahap yang ada pada hari ini .

Sesuai dengan istilah tungku yang saya gunakan , ianya membawa maksud setiap satu dari tungku tersebut diperlukan bagi mengimbang kekuatan parti mendepani cabaran , melengkapkan keperluan parti dan memenuhi tuntutan massa [ummah] .

Tidak mungkin salah satu daripadanya [ 3 tungku ] terpinggir atau dipinggir dan terabai atau diabaikan justeru ia akan melemahkan parti . Sebaliknya setiap satu dengan yang lainnya saling kuat menguat dan kukuh memperkukuhkan antara satu sama lain .

Menyedari kekuatan inilah , musuh kelihatan sangat cemburu dan gigih berusaha untuk melumpuhkannya . Media digunakan sepenuhnya untuk merungkai keserasian 3 tungku utama PAS ini dengan menimbulkan konflik dan mencetuskan pergeseran . Sedang PAS telah selesa sejak awal ia diasaskan , bergerak dan memacu perjuangan dengan kombinasi jitu 3 tungkunya iaitu ulamak , profesional dan aktivis .

Semangat yang diambil dari seminar khas sempena sambutan jubli perak Kepimpinan Ulamak baru - baru ini jelas memperakui peranan 3 tungku utama parti yang menjadi tonggak mendokong Kepimpinan Ulamak .

Kepimpinan ulamak tidak seharusnya dibaca semua pemimpin parti mestilah ulamak sebagaimana tidak juga wajar dibaca kepimpinan ulamak sebagai dominasi ulamak disemua peringkat kepimpinan parti .

Kepimpinan ulamak ialah satu konsep kepimpinan parti yang dasar dan arah tujunya dipandu dan dipimpin oleh ulamak al a'milin al mujahidin .

1982 menyaksikan Konsep Kepimpinan Ulamak ini diperkenal dan diamalkan dalam kepimpinan parti dan akhirnya membawa kepada penubuhan majlis Syura Ulamak yang kemudiannya didokumenkan dalam daftar perlembagaan parti . Penubuhan Majlis Syura Ulamak menjadi penafsiran bertulis bagi melaksanakan konsep Kepimpinan Ulamak yang telah dipersetujui dan didokong bersama .

Semangat dari konsep Kepimpinan Ulamak ini pula , biarpun tidak tertulis di dalam perlembagaan , parti melalui perwakilannya ke muktamar telah meletakkan Presiden dan Timbalan Presidennya dikalangan ulamak untuk memimpin sebuah jawatan kuasa yang besar diperingkat eksekutif parti .

Ianya berlaku sejak konsep Kepimpinan Ulamak ini digagaskan . [ di zaman al marhum Yusuf Rawa sebagai Yang Di Pertua PAS Pusat , Al Marhum Ustaz Fadzil Noor sebagai timbalannya . Sementara zaman al Marhum Ustaz Fadzil Noor sebagai Presiden PAS , Tuan Guru Hj Abd Hadi sebagai timbalannya , demikian di zaman Tuan Guru Hj. Abd Hadi sebagai Presiden PAS , al fadhil Ustaz Hassan Shukri sebagai timbalan dan kemudiannya diganti oleh Al Fadhil ustaz Nasharudin Mat Isa sebagai timbalannya .]

Sejak Kepimpinan Ulamak [1982] diamal dan dilaksanakan konsep kepimpinannya , ulamak terus diberi kepercayaan untuk memimpin parti bersama dengan gandingan mantap dari kalangan profesional dan aktivis . Justeru PAS tetap melaksanakan kaedah kepimpinan kolektif dengan prinsip amal jamaei [ kerja berpasukan ] yang utuh .

Tungku Aktivis PAS

Tungku ini sangat besar pengorbanan mereka kepada perjuangan Islam yang didokong oleh PAS . Mereka barangkali tiada STAM atau tiada STU , jauh sekali untuk dapat Ir dan Dr pada pangkal nama mereka . Rata - rata mereka adalah ahli biasa parti dan hanya menjadi pemimpin peringkat bawah seperti cawangan dan MTD [ Majlis Tindakan DUN ] .

Namun mereka tidak teragak - agak mewaqafkan tanah mereka untuk didirikan markaz , menjual keperluan asas mereka bagi membiayai perjuangan yang didokong malah menggadai barang kemas mereka demi menampung keperluan jamaah . Mereka mungkin juga tidak dikenali di bumi namun keikhlasan mereka sangat dikenali di langit dan pastinya doa mereka didengari [ diterima ] oleh Allah swt.

Mereka sangat sayang kepada perjuangan Islam yang didokong dan mereka jua sangat komited mendokong para ulamak yang memimpin dan membimbing mereka . Mereka faham Islam dan tergerak dihati penuh insaf dan sedar untuk berjuang , bermula dari ilmu dan bimbingan para ulamak .

Saya melihat latar belakang kategori ini , tidak mungkin mereka menolak kepimpinan ulamak dan siapa yang kata mereka tolak kepimpinan ulamak ? Golongan aktivis parti tetap akan mendokong cita - cita perjuangan dan bersama kepimpinan ulamak seperti yang telah ditunjukkan oleh al marhum Tuan Guru Yusuf Rawa , al Marhum Tuan Guru Hj Fadzil Noor , Tuan Guru al Mursyidul Am Dato' Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Dato' Seri Hj Abdul Hadi .

Tungku Profesional PAS

Kategori ini juga wujud di dalam PAS sejak hari jadi PAS yang pertama lagi seperti Prof Dr. Burhanudin al Helmi , Dr. Abbas , Prof Dr. Ahmad Ibrahim dan ramai lagi tenaga - tenaga pakar dalam bidang - bidang tertentu yang membantu pemimpin PAS dari belakang tabir .

Sangat membanggakan di era kepimpinan ulamak , melalui didikan dan bimbingan ilmu serta sentuhan spiritual perjuangan Islam oleh para ulamak , golongan profesional mula berhijrah beramai - ramai secara terang - terangan menyertai PAS malah mengambil posisi besar dan tinggi dalam PAS untuk membantu kepimpinan ulamak mengangkat parti menjadi gah dan hebat .

Pengorbanan mereka juga sangat besar . Sebahagian mereka sanggup meninggalkan gaji lumayan justeru menyedari bahawa Islam dan perjuangannya adalah lebih bernilai dari segala material yang ada . Mereka menginsafi bahawa akhirat adalah taruhan sebenar sementara dunia adalah tempat mereka mencurah bakti kepada perjuangan Islam . Kesedaran mereka dibina dan bentuk oleh para ulamak dan akhirnya mereka terpaut kepada perjuangan suci ini .

Sejurus mereka menyertai PAS , segala kepakaran dan kemahiran dicurahkan untuk membangunkan PAS dan memperkasanya . Organisasi dimantapkan , pengurusan dikemaskinikan , perancangan dan strategi disistematikkan . PAS kini berdiri sama tinggi bahkan lebih tinggi berbanding parti - parti politik yang lain .

Saya melihat , golongan profesional juga sangat menghormati ulamak justeru mereka memahami Islam dan perjuangannya ini melalui sentuhan ilmu dan didikan para ulamak . Tidak ada orang yang faham Islam dengan sendiri begitu sahaja tanpa melalui ilmu sedang ilmu itu dari dada para ulamak yang membimbing mereka . Berasaskan realiti ini juga , saya yakin profesional juga mendokong kepimpinan ulamak . Sekali - kali mereka tidak akan meminggirkan ulamak dan siapa yang kata mereka akan pinggirkan ulamak ?

Tungku Ulamak PAS

Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa perjuangan Islam ini diasaskan oleh Nabi saw dan kemudiannya disambung oleh para sahabat rhm sehinggalah akhirnya diteruskan oleh para pewaris baginda saw iaitu ulamak .

Bukan sahaja menubuhkan PAS malah yang mula menggerakkan kebangkitan ummah menentang penjajah bagi membebaskan negara dari penjajahan dan perhambaan sesama hamba ialah ulamak . Tidak sahaja di negara kita bahkan di seluruh dunia . Pahlawan dan para pendekar yang bangkit menentang kuffar yang menjajah tanahair dan merampas hasil bumi mereka ialah terdiri dari kalangan ulamak atau tok - tok alim dari pondok - pondok dan juga madrasah - madrasah .

Pengorbanan mereka tidak terhenti setakat tenaga , wang ringgit dan masa tetapi darah dan nyawa . Berbekal kekuatan ilmu dan kefahaman mereka yang mendalam mengenai Islam , mereka berjuang memburu syahid dan berdakwah tanpa memperduli sebarang implikasi .

Mereka turun meredah sempadan dari satu daerah ke satu daerah , dari satu negeri ke satu negeri untuk menyampaikan ilmu Islam kepada masyarakat . Sebahagiannya dicemuh dan dimaki malah ada yang diseret ke mahkamah seperti al marhum Tuan Guru Hj Mustafa Pondok pasir Tumboh dan ramai lagi .

Ulamak tidak sahaja penuh ilmu di dada tetapi juga terhias peribadi mereka dengan taqwa dan amal yang soleh , menjadikan diri mereka tawadhu' dan zuhud . Mereka memimpin parti dan ahlinya dengan keikhlasan dan ketaqwaan disaat orang belum mengenali strategi planning , analisis swot dan sebagainya . Pun begitu mereka berjaya membangunkan insan dan jiwa berjuang bangkit menentang boneka penjajah yang memerintah negara .

Kehadhiran aktivis PAS dibawah kepimpinan mereka mengukuhkan akar umbi parti dan kemunculan golongan profesional menambah nilai dan meningkat upaya kepimpinan ulamak dengan membesarkan lagi skala kemampuan parti mendepani segala cabaran moden yang dihadapi pada hari ini .

Fenomena ini [ kehadhiran aktivis dan kemunculan profesional ] adalah sangat membanggakan malah mengembirakan semua pihak termasuk para ulamak justeru mereka menjadikan PAS lebih lengkap dan semakin sempurna berbanding sebelumnya .

Saya melihat realiti ini tidak memungkin ulamak meminggirkan golongan aktivis dan profesional lantaran mereka sangat diperlukan oleh ulamak untuk terus membangunkan satu - satu wadah besar perjuangan Islam yang mampu bersaing dengan kuasa toghut dalam negara ini . Saya tidak nampak para ulamak mengabaikan dua tenaga penting [ aktivis dan profesional ] dalam kepimpinan ulamak , atau siapa yang kata ulamak tolak aktivis dan profesional ?

Musuh Dalam Selimut

Saya melihat musuh Islam sangat cemburu dengan tiga kombinasi tungku PAS ini . Mereka akan lakukan apa sahaja untuk mengalih salah satu dari tungku ini dari posisinya agar PAS tumbang atau paling tidak senget dan tidak seimbang .

Siapa mereka ini agak sukar kita kesan . Zahirnya UMNO dan BN memang telah menjadi musuh tradisi kepada PAS . Tidak mustahil dan ini telah berlaku sejak zaman nabi saw sehingga hari ini dan ianya juga berlaku kepada semua gerakan Islam di seluruh dunia termasuk Ikhwan Muslimin , di mana musuh dihantar masuk ke dalam parti untuk merosakkannya dari dalam .

Mungkin inilah yang kita sebut sebagai musuh dalam selimut . Samaada musuh yang dihantar masuk dalam parti atau anggota parti yang khianat lalu menjual diri dan maklumat parti kepada musuh , ini juga musuh dalam selimut .

Perkara ini perlu hazar [ waspada ] oleh seluruh saff pimpinan dan anggota parti . Islam sememangnya mengajar kita demikian . خذوا حزركم ambillah [ tumpukan ] kewaspadaan kamu terhadap perkara - perkara seperti ini .

Insyaallah selama mana 3 tungku ini tidak dipisahkan sebalik terus berada diposisi asalnya , saya percaya PAS akan terus utuh dan tidak mungkin mudah rosak dan binasa kerana angkara anai - anai ini . Kalau anai - anai ini hanya seekor dua , tidak mengapalah , tapi kalau banyak dan berjujut masuk dalam bangunan PAS ini terpaksalah PAS menghubungi pest control !

http://episodeperjuangan.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.