Pakatan Jelaskan Pendirian: Tiada Paksaan Beragama





Pakatan Rakyat hari ini mencapai kata sepakat dalam isu hak menentukan agama anak.

Presiden Pas Abdul Hadi Awang berkata gagasan sebulat suara bersetuju tidak harus ada paksaan untuk seseorang anak menganut agama Islam.

Pada masa sama, pucuk pimpinan Pakatan Rakyat bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas ke arah mencapai satu penyelesaian tuntas terhadap isu berkenaan .

“Islam menghormati kebebasan beragama, tiada paksaan dalam beragama, dan hak ibu-bapa tidak terputus dengan anak mereka walaupun perceraian itu berlaku,” tegas Hadi.

Presiden Pas itu berkata jawatankuasa yang ditubuhkan Pakatan Rakyat akan memastikan maklum balas pelbagai pihak diambil kira dalam merumuskan penyelesaian yang adil dan berkesan.

“Perbincangan atau muzakarah yang melibatkan semua pihak adalah penting. Kabinet telah membuat keputusan yang salah tanpa merujuk kepada ulama, pakar agama, pakar akademik, dan pemimpin agama negeri-negeri,” kata Hadi.

Menyentuh isu yang sama, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim berkata Islam dengan jelas telah mengariskan pendirian yang jelas dalam isu anutan agama serta hak ibu-bapa keatas anak.

“Dalam kaca mata Islam, penjagaan kepada ibu tetapi nafkah menjadi tanggungjawab si bapa. Si bapa juga berhak kepada maslahah dan kebajikan anak,” kata Anwar.

Kewujudan jawatankuasa khas, kata Anwar, perlu bagi meneliti enakmen agama Islam di peringkat negeri-negeri serta mencapai satu penyelesaian tuntas “supaya kontroversi membabitkan agama dalam diselesaikan secara harmoni di masa hadapan.”

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata Pakatan Rakyat berharap kewujudkan jawatankuasa ini dapat menyumbang kepada rakyat Malaysia.

“Kewujudkan jawatankuasa ini bagi melihat pelbagai aspek berkisar sekitar kontroversi agama mutakhir ini serta mencapai keputusan-keputusan yang bertaut pada hikmah dalam masyarakat plural,” kata Kit Siang.

No comments

Powered by Blogger.