Perlukah sebuah lagi jambatan di Selat Tebrau?


GAMBAR HIASAN DARI ATAS JAMBATAN PULAU PINANG yang sedang dinaik taraf.


Lain padang lain belalang, lain pemimpin lain pula cadang(nya). Itulah yang dapat saya katakan apabila cuba mengamati cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membina sebuah jambatan baru menghubungkan timur Johor dengan timur-laut Singapura.

Setahu saya, cadangan mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad ialah untuk menggantikan tambak dengan sebuah jambatan. Bukan bina sebuah jambatan baru disatu kawasan lain.

Dua perkara penting harus dipertimbangkan sebelum DS Najib teruskan cita-citanya itu yang sudah semestinya, mendapat sokongan PM Singapura Lee Hsien Loong, kerana ia lebih menguntungkan republik itu berbanding Malaysia.

Perkara pokok pertama yang harus diingati ialah aliran arus air laut di Selat Tebrau yang kini tersekat kerana adanya tambak. Jika tambak diroboh dan diganti dengan jambatan, maka aliran dan arus laut akan pulih seperti sediakala yang bakal memberi manfaat kepada hidupan laut dan menambah rezeki nelayan.

Kedua, dari sudut keselamatan tambak menjadi penghalang untuk bot-bot dan kapal-kapal ronda Kastam, Pasukan Gerakan Marin, Pasukan Penguatkuasaan Maritim Malaysia ataupun Tentera Laut Diraja Malaysia.

Sekarang, bot dan kapal peronda agensi keselatan dan penguatkuasaan Malaysia terpaksa berlayar melalui selatan Selat Singapura untuk dari bahagian barat Semenanjung ke bahagian timur Semenanjung atau dari timur ke barat. Jika tambak diroboh dan diganti dengan jambatan, masa perlayaran jauh lebih cepat hanya melalui Selat Tebrau tanpa perlu mengambil laluan jauh melalui Selat Singapura. Faktor ini mesti diambil kira demi keselamatan negara.

Perkara pokok kedua yang mesti dipertimbangkan sebelum memikir untuk membina jambatan dari Penggerang ke Singapura ialah kedudukan Pelabuhan Pasir Gudang.

Kita semestinya mengambil kira sama ada jambatan yang dicadangkan itu boleh menjejas kedudukan strategik Pelabuhan Pasir Gudang atau tidak. Jika laluan kapal besar termasuk VLCC untuk ke Pasir Gudang bagi tujuan pembaikan dan sebagainya terjejas dek adanya jambatan, maka kita tidak seharusnya membina jambatan di kawasan itu.

Sekiranya kedudukan Pelabuhan Pasir Gudang terjejas, sudah tentu ia menguntungkan pelabuhan di Singapura. Ini yang harus difikirkan, iaitu keutaman negara.

Kita tahu bahawa pihak Singapura telah merasai kesan daripada keberkesanan Pelabuahn Tanjung Pelepas (PTP) dan mereka telah mengambil tindakan tertentu termasuk manambak laut luar pantai Jurong dengan harapan dapat mengurangkan saingan daripada PTP, jadi kenapa kita pula mahu membina jambatan yang mungkin menjejas Pasir Gudang?

Malaysia harus berhati-hati dan tidak terburu-buru membuat sesuatu keputusan dalam hubungan dua hala dengan Singapura. Walau apapun yang hendak dibuat, sama seperti Singapura, kita seharusnya bersikap berhati-hati kerana kita tidak mahu peristiwa Batu Putih berulang. Semoga pisang tidak berbuah dua kali.

Biarlah apa yang hendak dilakukan benar-benar menguntungkan kedua-dua pihak atau "win-win situation" yang betul. Bukan "win-win" seperti dalam isu Batu Putih, mereka dapat isi (daging) kita dapat tulang.

http://kudaranggi.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.