PPP Johor nafi dakwaan 13 bahagian akan tinggalkan parti

JOHOR BAHRU: Parti Progresif Penduduk (PPP) Johor, hari ini, menafikan dakwaan oleh penyokong Senator Datuk T Murugiah, bahawa ketua 13 bahagian parti di negeri itu menyokong mereka dan akan meninggalkan parti sekiranya laporan Pendaftar Pertubuhan (ROS) nanti berpihak kepada Datuk M Kayveas.

Pengerusi PPP Johor, Dr K Siva Kumar, berkata sebaliknya daripada 19 bahagian parti di negeri itu, 18 bahagian menyokong penuh kepimpinan Kayveas.

"Kecuali Pontian, semua bahagian-bahagian lain menyokong Datuk M.Kayveas," katanya di sini, hari ini.

Semalam satu kumpulan yang menyokong Murugiah, yang juga adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mendakwa 13 bahagian di Johor akan bertindak meninggalkan parti sekiranya laporan Pendaftar Pertubuhan (ROS) nanti berpihak kepada Kayveas.

Dr Siva yang juga ketua bahagian PPP Gelang Patah, berkata perhimpunan agung tahunan yang dijadualkan pada 7 Jun ini akan diteruskan dan beliau menganggap Kayveas masih Presiden Parti sehingga ROS membuat keputusan muktamad berhubung krisis yang melanda PPP.

PPP, sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) terjerumus dalam krisis selepas lembaga disiplin parti itu memecat Murugiah yang juga ahli Majlis Tertinggi PPP serta beberapa pemimpin lain parti.

Minggu lalu, dalam satu mesyuarat agung luar biasa (EGM), Kayveas pula dilucutkan dari jawatannya selepas satu usul undi tidak percaya diluluskan terhadap presiden parti, dan Murugiah dipilih ke jawatan itu; menjadikan parti itu kini mempunyai dua presiden selepas kedua-dua mereka enggan berganjak dari kedudukan masing-masing. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.