Tiba-tiba gempar diperkatakan oleh jemaah akan seketul tahi di saf hadapan satu masjid. Letak masjid yang dulunya uzur kini mula berubah dengan gemerlipan lampu baru bergantungan, ruang masjid yang luas, sarat dengan pengisian dan semestinya berhawa dingin. Jika dulu masjid ini hanya dikunjungi oleh warga tua dan mereka yang benar-benar mengimarahkan masjid kini jemaahnya semakin ramai dari semua kalangan.
Cerita seketul tahi itu diperkatakan oleh khalayak ramai termasuk mereka yang hanya berjemaah sekali sahaja setahun semasa solat hari raya. Mesyuarat tergempar diusahakan menyuarakan pandangan. Tiga hari dua malam tanpa keputusan. Kalangan ustad berhujah panjang lebar akan hukum fekah mengenai najis. Kalangan doktor berhujahkan najis dari sudut kesihatan. Kalangan pencinta alam sekitar pula berhujah kesannya pada sekitaran. Kalangan peguam mula berkira untuk menyaman. Kalangan korporat hadir dengan plan struktur yang kiranya mantap dan menawan. Semua pihak menyatakan pandangan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman.
Pelbagai cadangan dikemukakan. Ada yang mencadangkan mahluk yang membuang najis itu dipakaikan lampin. Ada yang mencadangkan diadakan gerakan besaran memburu dan menyahkan mahluk itu dari pandangan. Sehingga ada yang mencadangkan agar dikhatankan sahaja mahluk itu untuk di Islamkan.
Disatu sudut lain ada pihak sedang mengambil kesempatan dari peristiwa ini. Mereka adalah mantan jawatankuasa masjid yang tersingkir dari pemilihan. Setelah berkoyan duit dilarikan. Mereka mula mencanangkan bahawa jawatankuasa baru sekarang tidak layak dan sentiasa berbalah sesama sendiri. Ditambah lagi cerita bahawa jawatankuasa sekarang punca jemaah berpecah belah dan membiarkan diri diperalatkan oleh orang lain yang berlainan pegangan.
Namun cerita seketul tahi itu tiba-tiba terhenti bila siak masjid yang tidak turun berjemaah selama tiga hari kerana keuzuran mula bertugas. Diambilnya penyapu kecil lalu disapunya tahi yang telah kering itu kedalam bekasnya lalu dibuang. Lagipun ia hanya seketul tahi cicak yang berak tak kira dimana sahaja samada dalam masjid, dalam dewan orang ramai, dalam pejabat bahkan dalam rumah kita sendiri.
SELAMAT HARI PEKERJA KEPADA SIAK MASJID. Yang lain tu kita fikir-fikirkan.
No comments
Post a Comment