sifat jimat cermat umno sudah hilang di manek urai, banyak duit rakyat akan hangus!

Situasi di Perak tidak jejaskan peluang BN di Manek Urai: Ahmad Maslan

SHAH ALAM: Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata kemelut politik semasa yang berlaku di Perak ketika ini tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai dari Pas, yang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Jumaat lalu.

Beliau berkata, pihaknya akan menggerakkan semua jentera parti untuk memberi penjelasan dan penerangan berhubung situasi sebenar yang berlaku di Perak kepada rakyat di kawasan itu.

"Saya akan ke sana (Manek Urai) Selasa ini untuk melihat segala persiapan dan kita berpendapat ada harapan untuk BN menang kerusi DUN Manek Urai.

"Kita bukan takbur atau ingin mendahului takdir tetapi jika dilihat rekod Manek Urai pada 2004, kita (BN) pernah menang jadi di mana-mana kawasan yang kita pernah menang bererti tidak mustahil untuk kita menang lagi," katanya pada sidang media dalam pertemuan dengan ketua penerangan bahagian empat peringkat Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manek Urai, Ismail Yaakob, 60, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan, kira-kira jam 5.55 pagi Jumaat lalu, selepas dimasukkan ke hospital itu untuk menerima rawatan sejak bulan lepas akibat sakit jantung.

Mengenai kenyataan beberapa pemimpin Pas bahawa BN tidak sepatutnya meletakkan calon di Manek Urai seperti yang dilakukannya di DUN Penanti, Pulau Pinang, Ahmad berkata, situasi di Penanti tidak sepatutnya disamakan dengan situasi di Manek Urai.

"Sebabnya pada pandangan kami pilihan raya kecil di Penanti adalah satu penyalahgunaan kepada proses demokrasi dan adalah satu siri yang diteruskan untuk membina imej pembangkang tetapi Manek Urai mempunyai sebab yang patut untuk diadakan pilihan raya kecil (berikutan kematian Adunnya), begitu juga di Bukit Gantang dan Kuala Terengganu," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, jentera Penerangan Umno di Selangor perlu digerakkan ke tahap yang maksimum dalam usaha untuk merampas kembali negeri itu dari tangan Pakatan Rakyat.

"Kita akan terus masuk gear lima terus kalau ada gear enam kita masuk gear enam. Jentera Penerangan perlu digerakkan ke semua peringkat termasuk di semua cawangan bagi menjelaskan segala isu, dasar parti dan kerajaan BN, supaya rakyat memahami bahawa mereka sudah melakukan kesilapan dengan memilih pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lalu," katanya.

Ketua Penerangan Umno Selangor yang baru dilantik, Abdul Shukur Idrus pula berkata, pihaknya akan mewujudkan biro dan sekretariat Penerangan di negeri itu selain menghidupkan semula pusat daerah mengundi bagi memulakan program penerangan.

"Kita tidak ada lagi pelancaran dari peringkat negeri secara besar-besaran seperti sebelum ini tetapi kita akan terus ke peringkat akar umbi dan perjelaskan apa yang sudah dilaksanakan oleh BN dan yang akan dilaksanakan," katanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.