Siri 1: Mogok Lapar : Sejauh Mana Keharusannya
Oleh Ustaz Nasaruddin Tantawi
Riwayat Imam Muslim , Ahmad , Tarmizi dan Nasaei
Terdahulu saya telah ditanya oleh wartawan berkait dengan isu " mogok lapar " , spontan saya jawab secara peribadi dan umumnya saya tidak bersetuju.Namun tentu sahaja isu ini tidak terhenti di atas satu pandangan [ ijtihad ] dan tidak juga dilihat hanya dari satu sudut .
Kesempatan terluang , saya manafaatkan sepenuhnya untuk memberi sedikit pandangan berkait isu mogok lapar .
Mogok Lapar
Mogok adalah satu tindakan yang biasanya diambil dalam 2 keadaan .
Pertama disaat pasrah atau tiada pilihan bertindak bagi merubah sesuatu situasi .
Kedua , untuk menarik perhatian pihak lain atau sebagai satu bahasa untuk menyatakan sesuatu perkara yang besar setelah bahasa lidah kelihatan tidak difahami .
Lapar atau berlapar salah satu dari cara mogok yang sering dilakukan dan ia antara cara mogok yang tertua di dunia dan pernah dilakukan oleh kaum jahiliyah . Ibu kepada Saad bin Abi Waqqas rha. pernah melancarkan mogok untuk tidak makan dan tidak minum , sehinggalah Saad bin Abi Waqqas rha. kembali kepangkuan agama asal mereka .
Ibu Saad bin Abi Waqqas pernah berkata kepada anaknya :
والله لا أطعم طعاما و لا أشرب شرابا حتى أموت أو تكفر
Demi Allah Aku tidak akan makan sebarang makanan dan Aku tidak akan minum sebarang minuman sehinggalah aku mati atau engkau mengingkari [ agama Muhammad saw dan kembali kepada agama asal ]
Riwayat Imam Muslim , Ahmad , Tarmizi dan Nasaei
Pendapat 1 : Mogok Lapar adalah Haram
Peristiwa ini [ di atas ] sering menjadi hujjah bagi mereka yang berpendapat bahawa mogok adalah haram justeru ia adalah amalan jahiliyah .
Atas alasan untuk melahirkan rasa tidak puas hati [ protes ] terhadap pihak lain , ingin memberitahu orang ramai tentang kezaliman yang dilakukan atau untuk memberi tekanan kepada pihak tertentu maka ia tidak sampai menghalalkan mogok lapar justeru matlamat tidaklah menghalalkan cara . [ الغاية لا تبرر الوسيلة ]
Hujjah mereka diperkuatkan dengan nas yang menyebut : و لا تلقوا بأيديكم إلى التهلكة [ jangan kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan - 195 al Baqarah ]
Syara' tidak membenarkan sama sekali [ kecuali dhorurat ] kita mendedahkan diri dan jamaah kepada binasa walaupun di atas tujuan yang baik seperti menentang kezaliman kerana matlamat yang ingin dicapai tidak sampai menghalalkan semua cara atau pendekatan .
Mogok lapar dilihat lebih membawa kesan mudharat atau binasa ke atas pelakunya berbanding musuh yang ditentang . Tidak dinafikan musuh menerima kesan tekanan politik dari mogok lapar yang dilancarkan tetapi tidak menjejaskan keseluruhan reputasi dan survival politik mereka sebaliknya mereka masih mempunyai 1001 cara untuk mengalih tumpuan dunia dan menyembunyikan kezaliman mereka .
Jika kita sanggup mogok lapar lalu membinasakan diri demi menentang kezaliman , kenapa tidak gempur sahaja musuh diatas nama jihad sehingga memungkinkan kita syahid atau paling tidak ditangkap dan kita binasa kerana seksaan musuh bukan kerana kita menyeksa diri kita .
Kita masih mempunyai banyak ruang dan peluang juga pelbagai sarana yang masih boleh diguna-manafaatkan untuk mendedahkan kezaliman musuh kepada dunia sekaligus memberi tekanan politik dan menghakis pengaruh kuasa mereka tanpa perlu kita mendera dan menyeksa diri kita sendiri , sementara musuh sedikit pun tidak terjejas kesihatan dan pengaruh mereka .
Kita belum kehabisan idea dan cara untuk menetang musuh dan mendepani kezaliman yang dilakukan oleh mereka .
Al A'llamah Syeikh Athiyyah Saqr bekas Pengerusi Lajnah Fatwa University al Azhar pernah mengeluarkan fatwanya :
Tiada di dalam agama apa yang dinamakan mogok dari makan atau minum bagi mendapatkan sesuatu tuntutan. Ia merupakan wasilah yang negative yang wajib dihindari oleh seseorang, sedangkan di sana ada wasilah-wasilah yang lain yang dibenarkan syara' yang begitu banyak.
Sesiapa yang mengambil langkah ini sesungguhnya dia telah memudharatkan dirinya dengan dengan lapar dan dahaga dalam perkara yang bukannya ketaatan. Sedangkan hadis ada menyatakan
"Tiada boleh memudharatkan (untuk dirinya) dan juga tiada boleh memudharatkan orang lain" .
Dalam masa yang sama dia mendedahkan dirinya kepada kebinasaan, sedangkan Allah SWT berfrman yang bermaksud :
" Dan janganlah kamu campakkan dirimu ke dalam kebinasaan" (Al-Baqarah 195).
Sesiapa yang mati disebabkan mogok tersebut ia dikira membunuh diri. Bunuh diri adalah dosa besar dan sesiapa yang menghalalkannya ia menjadi kafir, tidak boleh dimandikan (jenazahnya), tidak disembahyangkan dan tidak boleh ditanam di perkuburan orang Islam"
Ahsanul kalam fil Fatawa wal Ahkam -
Asy - syeikh A'thiyah Saqr . Jilid 1 : 366
Usahkan mogok lapar yang membinasakan diri sendiri , hanya berpuasa untuk mendekatkan diri kepada Allah swt tetapi melebihi kadar ketetapan syara' juga dilarang keras oleh Rasulullah saw .
وخرجه البخاري عن أنس أيضا ولفظه قال: جاء ثلاثة رهط إلى بيوت أزواج النبي صلى الله عليه وسلم يسألون عن عبادته، فلما أخبروا كأنهم تقالوها - فقالوا: وأين نحن من النبي صلى الله عليه وسلم ؟ قد غفر الله له من ذنبه ما تقدم وما تأخر.
فقال أحدهم: [ أما ] أنا فإني أصلي الليل أبدا.
وقال آخر: أما أنا فأصوم الدهر ولا أفطر.
وقال آخر: أما أنا فأعتزل النساء ولا أتزوج أبدا.
فجاء رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال: " أنتم الذين قلتم كذا وكذا أما والله إني لاخشاكم لله وأتقاكم له لكني أصوم وأفطر وأصلي وأرقد وأتزوج النساء فمن رغب عن سنتي فليس مني ".
فقال أحدهم: [ أما ] أنا فإني أصلي الليل أبدا.
وقال آخر: أما أنا فأصوم الدهر ولا أفطر.
وقال آخر: أما أنا فأعتزل النساء ولا أتزوج أبدا.
فجاء رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال: " أنتم الذين قلتم كذا وكذا أما والله إني لاخشاكم لله وأتقاكم له لكني أصوم وأفطر وأصلي وأرقد وأتزوج النساء فمن رغب عن سنتي فليس مني ".
Telah datang 3 orang lelaki ke rumah isteri Nabi saw lalu mereka bertanya mengenai ibadat Nabi saw lalu diceritakan kepada mereka [ mengenai ibadat nabi saw ] lalu mereka berkata : dimana [ perbezaan ] kami berbanding Nabi saw ? sedang Allah swt mengampunkan dosanya yang terdahulu dan terkemudian ?
Lantas berkata seorang dari mereka : adapun aku sembahyang sepanjang malam [ tanpa tidur ] dan berkata pula yang lainnya : ada pun aku berpuasa sepanjang hari tanpa berbuka . Berkata pula yang ketiga : adapun aku menjauhi perempuan dan aku tidak berkahwin selamanya [ kerana sibuk beribadat ] .
Lalu datang Rasulullah saw. dan berkata : apakah kamu yang berkata begitu dan begini ? demi Allah swt. sedang aku orang yang paling takut kepada Allah swt dikalangan kamu dan paling bertaqwa kepadaNya , akan tetapi aku berpuasa aku berbuka , aku sembahyang aku tidur dan aku mengahwini perempuan , maka barangsiapa yang [ berpaling ] tidak mengikut sunnahku maka ia bukan dari kalanganku .
dikeluarkan oleh al Bukhari dari Anas Rha .
Nas ini membawa maksud Islam tidak suka tindakan yang keterlaluan sehingga menafikan hak jasad dan Islam juga sangat mencela kita mengadakan sesuatu yang tidak dilakukan atau tidak dibenarkan oleh Rasulullah saw.
Lihat , bagaimana puasa yang bermaksud untuk mendekatkan diri kepada Allah , jika dilakukan melebihi [ melampau ] dari kadar yang ditetapkan oleh Allah swt. mendapat celaan dari Rasulullah saw . Betapalah pula mogok lapar yang tidak bermaksud mendekat diri kepada Allah swt dan ia bukanlah sejenis ibadah seperti puasa bahkan tidak makan dan minum sehingga memudharatkan diri . [ sementara puasa ada sahur dan iftar ]
Berasaskan penghujahan ini maka mereka [ ulama' ] mengharamkan perbuatan mogok lapar dan menyebut sebagai suatu yang tiada asal di dalam Islam .
bersambung ...........
No comments
Post a Comment