11 Empangan Baru Di Sarawak Dikuasai Keluarga Taib Mahmud

DAP Sarawak mahu pembinaan 11 empangan di negeri itu dihentikan segera kerana hanya syarikat-syarikat milik Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud sahaja yang akan menerima faedahnya.

"Kedua-dua Cahaya Mata Sarawak (CMS) dan Naim Cendera adalah dua syarikat milik ahli keluarga beliau.

"CMS ialah pembekal tunggal simen di Sarawak manakala Naim Cendera ialah sebuah syarikat pembinaan; hanya dua syarikat ini yang akan mendapat keuntungan," kata Setiausaha DAP negeri, Chong Chieng Jen.

Beliau yang juga ahli parlimen Bandar Kuching berkata, rakyat Sarawak dan para pembayar cukai, bukan sahaja akan rugi tapi akan menjadi tebusan.

Di samping itu, empangan Bakun dan Murum, yang kini sedang dalam pembinaan, kerajaan juga membina 11 empangan lagi termasuk empangan Baram dan Bengoh

"Empangan-empangan ini tidak praktikal dan tidak berdaya maju dari segi ekonomi. Pokok-pokok akan musnah, sistem-eko akan rosak dan kehidupan penduduk pribumi akan bercempera," kata Chong.


"Masa depan anak-anak kita menjadi gelap kerana dana kerajaan negeri menjadi kering untuk membiayai projek pembinaan empangan-empangan ini."

Penawaran yang berlebihan

Beliau berkata, "tidak ada gunanya lebih banyak empangan dibina kerana keperluan tenaga di negeri ini hanya sebanyak 900MW, iaitu lebih dari mencukupi."

"Dengan mengambil kira penawaran tenaga elektrik dari empangan Bakun dan Murum maka kapasiti tenaga di negeri ini akan meningkat kepada 2,400MW.

"Ini melebihi keperluan kami. Memandangkan kami tidak memerlukan tenaga yang banyak maka kesemua ini akan membawa kepada pembaziran.

"Kita juga tidak dapat mengeksport tenaga ke Semenanjung kerajaan kos memasang kabel di bawah laut terlalu mahal," katanya, menambah Semenanjung juga mempunyai lebihan sebanyak 40 peratus tenaga dan tidak memerlukan tenaga elektrik dari Sarawak.

Chong mendesak supaya kerajaan negeri mengurangkan tarif elektrik kepada sektor komersial dan industri di negeri itu, kerana elektrik yang dijanakan oleh empangan Bakun adalah lebih murah.

No comments

Powered by Blogger.