Ada dalang cuba jatuhkan PR

KAPAR – Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam mendesak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menukar segera Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Klang (MPK), Mislan Tugiu dan Pegawai Daerah/Tanah Klang, Bakhtiar Hussin kerana didakwa menjadi dalang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) terutamanya di daerah Klang.

Beliau berkata demikian selepas mendakwa kedua-duanya dikatakan gagal menyelesaikan beberapa isu berbangkit di daerah Klang terutamanya berkaitan tanah milik penduduk dan beberapa perkara lain.

“Saya amat kecewa apabila kedua-duanya dilihat berat sebelah dalam menjalankan tugas sedangkan mereka berkuasa penuh dalam menyelesaikan beberapa isu hingga tertangguh sehingga kini.

“Malah, nampak sangat ketara yang kedua-duanya adalah dalang kepada BN untuk menghuru-harakan kepimpinan kita (PR) di Klang,” dakwanya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa, pihaknya tidak menolak pendedahan laporan Ketua MCA Bahagian Kapar, Datuk Song Kee Chai berkenaan penyalahgunaan kuasa oleh seorang ahli Majlis MPK baru-baru ini dalam keratan Sinar Harian 12 Ogos lalu mempunyai hubung kait atau misi untuk menjatuhkan PR di Selangor.

“Saya mempersoalkan bagaimana beliau mendapat dokumen berkaitan tender sedangkan ia adalah dokumen rahsia milik MPK.

“Di sini timbul kesepakatan pihak dalaman MPK yang dipercayai YDP bersekongkol dengan Kee Chai melalui penyerahan dokumen yang mengaitkan ahli Majlis MPK yang juga pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Oleh itu katanya, perkara ini perlu disiasat segera oleh pihak berkuasa kerana dokumen rahsia ini yang seharusnya tidak boleh terlepas ke tangan pihak lain terutamanya pemimpin politik.

Sementara itu, mengulas mengenai tuduhan kepada ahli majlis berkenaan, Manikavasagam berkata, pihaknya mengalu-alukan siasatan terperinci pihak berkuasa ke atas beliau untuk memastikan pemimpin PKR mematuhi unsur perjuangan parti dan tidak menyalahgunakan kuasa yang dipertanggungjawabkan.

“Kita tunggu hasil siasatan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Menteri Besar ke atas beliau dan jika benar bersalah, pihak berkuasa harus mengambil tindakan ke atasnya (ahli majlis).

“Saya meminta Menteri Besar untuk mengambil tindakan drastik terhadap pihak yang berkaitan supaya nama baik pemerintahan PR dijaga sepanjang masa. Sudah tiba masanya Kerajaan Negeri Selangor mengambil tindakan keras terhadap ahli politik, pegawai Kerajaan termasuk kakitangan anak syarikat Kerajaan Negeri yang melanggar polisi asas yang ditentukan,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian cuba menghubungi YDP MPK dan Pegawai Daerah/Tanah Klang bagi mendapatkan maklum balas berkaitan perkara ini namun gagal kerana mempunyai mesyuarat di luar daerah.

SinarHarian 20/8/2010

No comments

Powered by Blogger.