Bazar Ramadan Jasin dipindah ke Bandar Baru Jasin Tiga

JASIN, 14 Ogos — Peniaga Bazar Ramadan Jasin di perkarangan Stadium Jasin yang musnah dilanda ribut petang semalam, akan ditempatkan dilokasi baru berhampiran Pejabat Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (PPNIN) di Bandar Baru Jasin Tiga.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata kawasan baru itu didapati lebih selamat kerana dilindungi deretan bangunan kedai dan juga bangunan PPNIN.

“Bazar Ramadan di kawasan baru itu dijangka beroperasi pada Isnin ini selepas persiapan dibuat oleh Majlis Perbandaran Jasin dan Persatuan Penjaja Kecil Melaka daerah Jasin,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam kejadian ribut pukul 5 petang semalam, dua peniaga dan seorang pengunjung terbunuh manakala 18 orang yang lain cedera dihempap khemah dan objek lain yang diterbangkan ribut kencang itu.

Dua peniaga yang terbunuh itu ialah Mahadi Mohamad, 40, berasal dari Kampung Gong Merang, Terengganu; Abdul Omar, 73, dari Kampung Air Merbau di sini dan pengunjung Muhammad Wahab, 49, dari Kampung Rim di sini.

Seramai 15 mangsa telah dibenarkan pulang manakala dua mangsa masih dirawat di Hospital Jasin dan seorang lagi di Hospital Pakar Putra dekat sini.

Semasa kejadian, sebanyak 56 peniaga bersama pembantu masing-masing menjalankan perniagaan di bawah 21 buah khemah bersaiz (panjang) 6.2 meter kali 6.2 meter (lebar).

Mohd Ali berkata kawasan di perkarangan Stadium Jasin tidak sesuai untuk didirikan khemah untuk peniaga kerana kawasan lapang itu dikhuatiri akan dilanda ribut lagi.

Beliau berharap keluarga yang terlibat bersabar menghadapi suasana yang sedih terutama kepada tiga keluarga yang anggota keluarga mereka meninggal dunia.

“Kerajaan negeri menghulurkan bantuan menguruskan jenazah sebanyak RM3,000 seorang dan (mangsa) yang masuk wad kritikal diberi RM1,000 seorang dan yang lain (cedera) diberi RM500 seorang,” katanya.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai luar biasa dan tidak pernah berlaku sehingga melibatkan kematian sejak bazar itu dibuka di situ tujuh tahun lepas.

Bercakap kepada Bernama, Pengerusi Persatuan Penjaja Kecil Melaka Daerah Jasin, Ahmad Ali berkata kejadian ribut itu tidak mematahkan semangat peniaga untuk meneruskan perniagaan mereka di lokasi baru.

“Ramadan masih panjang lagi, rata-rata peniaga masih berminat untuk meneruskan perniagaan mereka, lagi pun umat Islam terutama mereka yang bekerja ingin mendapatkan juadah berbuka puasa dari bazar Ramadan,” katanya.

Beliau berkata peniaga akan berniaga di khemah yang lebih kecil milik masing-masing, dan persatuan akan terus membantu mereka sekiranya menghadapi masalah di lokasi baru itu. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.