Belajar dari bangsa berjaya — Dr Mohd Ridhuan Tee

22 OGOS — Pantang ada bukan Melayu yang cuba memuji Melayu (Islam) dan dasar kerajaan, pasti akan dihentamkan oleh ultra kiasu. Terbaru, pemaju hartanah utama negara SP Setia Berhad, sebangsa dengan saya, dikutuk rapat golongan ultra kiasu melalui kenyataan yang agak pro kepada dasar kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kenyataan beliau yang mahukan bukan Melayu bersyukur atas dasar hari ini yang turut menguntungkan mereka, amat tidak disenangi oleh laman web ultra kiasu. Itulah wajah mereka sebenarnya. Tidak pernah bersyukur, pada masa sama terus mengaut keuntungan dari apa yang ada dan dimanfaatkan.

Logik yang diberikan untuk mengatakan bahawa orang bukan Melayu sudah jauh meninggalkan orang Melayu amat jelas. Pertama, terdapat lebih syarikat milik bukan Melayu yang tersenarai dalam Bursa Malaysia berbanding bumiputera. Kedua, statistik majalah Forbes menunjukkan masyarakat Cina telah telah berjaya sejak 30 tahun lalu. Ketiga, syarikat-syarikat dikuasai Cina mewakili 37 peratus pasaran modal di antara 100 syarikat Malaysia yang disenaraikan, berbanding tujuh peratus kalangan orang Melayu. Keempat, individu kaum Cina menguasai 73 peratus kekayaan yang dimiliki 40 orang terkaya di Malaysia dan lapan dari setiap 10 orang kaya adalah Cina.

Persoalannya, adakah orang Cina dilayan dengan buruk? Kata pemaju itu lagi, bukan Melayu (Cina) mesti belajar untuk memberi. Kita mesti belajar untuk mengambil satu langkah ke belakang. Kita juga harus belajar untuk hidup bersama budaya dan pemikiran mereka. Orang Melayu masih bimbang bahawa rakan niaga Cina menggugat perniagaan mereka jika tiada dasar pro-Melayu yang melindunginya.

Jika yang memberi pandangan itu adalah kalangan bukan sebangsa, saya tidak fikir ia akan dihentam. Tetapi dek kerana beliau sebangsa dengan saya, maka komen buruk dan negatif ke atas dirinya tidak pernah habis. Peribadinya dicemuh dan dihentam. Inilah nasib yang menimpa diri kami, bercakap sedikit menyebelahi Melayu, Islam dan beberapa dasar kerajaan, seluruh keturunan dihina dan dikeji. Kenapa bukan hujah yang telusuri dan didiskusi?

Selama inipun saya telah banyak bercakap, dasar kerajaan yang menyebelahi Melayu (bumiputera) memang menguntung bukan Melayu, sebab Melayu adalah pelanggan, manakala bukan Melayu adalah pengeluar (pembekal). Seramai manapun pengusaha Melayu muncul, mereka masih bergantung kepada bukan Melayu. Itulah hakikat yang sebenarnya.

Justeru, tidak timbul isu 30 peratus peruntukan ekuiti kepada bumiputera untuk dikongsikan. Peruntukan tersebut adalah kecil berbanding dengan populasinya melebihi 60 peratus.

Kajian demi kajian telah dibuat, termasuk sarjana bukan Melayu seperti Tan Teong Jin, Ho Wah Foon dan Tan Joo Lan (2005) akan keberuntungan bukan Melayu melalui polisi ini. Namun, ultra kiasu tetap ultra kiasu.

Apa yang kerajaan cuba buat semua tidak betul. Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang sahaja yang betul kerana didakwa mengikut urus tadbir Umar Abdul Aziz sehingga mencairkan kita. Kerajaan Kedah dan Kelantan masih dalam perhatian, ditakuti terlalu keIslaman, kerana masih tidak mengikut rentak ultra kiasu sepenuhnya. Dengan sebab itu, mereka agak membisu apabila kerajaan Kelantan cuba memperkenalkan penggunaan Dinar. Logiknya, dinar mempunyai kaitan dengan Islam.

Jika ultra kiasu pro-Islam dan mahu mengikut urus tadbir Khalifah Umar Abdul Aziz, sudah tentu hasrat murni kerajaan Kelantan akan disokong awal-awal lagi. Tetapi nampaknya mereka begitu berhati-hati dalam hal ini. Dengan sebab itu, saya amat ragu-ragu dengan idea mencontohi urus tadbir Umar Abdul Aziz.

Apa yang berlaku di Sibu, Sarawak semakin mencurigakan saya. Misalnya, tindakan pertubuhan ultra kiasu di bahagian Sibu yang mahu menukar nama Sibu kepada nama asalnya, kononnya Shi Wu. Kenapa baru sekarang nama Sibu mahu ditukar? Lagipun makna Shi Wu tidak membawa makna yang baik, merujuk kepada ahli sihir wanita. Nama Sibu sudah lama terpahat dan mudah disebut, tanpa berbelit-belit lidah. Saya cadangkan golongan ini bacalah sejarah pribumi Sabah dan Sarawak. Jika terlalu sukakan nama-nama berasaskan bangsa, tampallah nama-nama warisan bangsa di sekeliling rumah, tidak siapa yang menghalang. Tetapi janganlah melakukan sesuatu yang ultra di hadapan khalayak. Baru mencapai sedikit kemenangan dalam pilihan raya baru-baru ini sudah begitu berani. Bayangkan jika mereka berjaya memerintah negara sepenuhnya.

Saya mohon kita semua bukalah mata dan bukalah minda.

Golongan ini selalu mendakwa mereka memperjuangkan kepentingan semua kaum, hakikatnya mereka amat berbau perkauman. Janganlah kerana ada seorang dua orang Islam Melayu yang diambil bekerja dalam syarikat atau pertubuhannya, kitapun mendabik dada dengan mengatakan kita berjuang untuk semua. Kemudian, secara halus atau secara diam merampas hak orang lain.

Terbaru, saudara ipar saya telah pergi ke sebuah syarikat perumahan ultra kiasu untuk membeli rumah di bawah kuota bumiputera bagi melayakkan beliau mendapat diskaun tujuh peratus, keistimewaan yang didakwa oleh parti ultra kiasu yang mesti dihapuskan. Setelah pergi ke sana, maka ditunjukilah rumah diskaun tujuh peratus di bahagian simpang tiga, lokasi yang sudah tergolong dalam kategori tidak terjual kerana dianggap sebagai lokasi sial.

Inilah keistimewaan tujuh peratus yang kerap kali dibangkitkan. Lokasi sial yang ditinggalkan kepada bumiputera untuk mendapatkan diskaun. Ditanya lagi, tidak adakah lokasi yang lebih sesuai. Maka ditunjukkan oleh pekerja-pekerja ultra kiasu tersebut semua tempat telah penuh, walaupun rumah tersebut masih belum dibeli atau masih belum ada yang punya. Selepas itu, mereka akan membuat laporan bahawa kuota bumiputera tidak terjual.

Lihatlah betapa liciknya perancangan segelintir mereka. Kemudian perkara ini diperbesar-besarkan dengan harapan diskaun tersebut dihapuskan. Baru hati puas. Sebenarnya keistimewaan tujuh peratus tersebut hanya dalam kertas. Sudah tidak ada keistimewaan yang sebenarnya. Persoalannya kenapa mereka terus mendesak untuk dihapuskan?

Sama juga isu yang selalu dijadikan hujah iaitu kuota biasiswa belajar di dalam atau di luar negara dan peluang kerja dalam perkhidmatan awam. Kita sengaja tidak mahu melihat dari sudut sebaliknya, tetapi terus mendesak supaya semua ‘keistimewaan’ tersebut dihapuskan. Ramai rakan saya yang menghantar anak-anak mereka menyambung pelajaran keluar negeri dengan perbelanjaan sendiri. Alasannya, mereka tidak mahu anak-anaknya terikat kontrak perjanjian apabila mendapat biasiswa.

Itulah timbal balik mereka yang mendapat biasiswa dan seterusnya bekerja dalam perkhidmatan awam. Justeru, kajian perlu dibuat kenapa kadangkala ada yang tidak berminat memohon biasiswa, bukan hanya menyalahkan pihak kerajaan yang tidak dapat memenuhi permintaan yang begitu banyak.

Itupun masih ramai yang tidak balik apabila tamat pengajian dan terus bekerja di negara asing walaupun biasiswa ditaja oleh kerajaan. Mereka khianat dengan amanah yang telah diberikan. Pada mereka, gaji perkhidmatan awam tidak seberapa berbanding dengan sektor swasta.

Saya tidak pernah mendapat biasiswa ketika belajar bermula dari ijazah pertama hinggalah Phd. Semuanya menggunakan biaya sendiri. Saya tidak terikat dengan kontrak. Namun ultra kiasu menuduh semua pembelajaran saya ditaja oleh kerajaan sehingga menjadi tali barut Umno. Tujuan serangan dan fitnah ini dibuat tidak lain, supaya menunjukkan bahawa apabila seseorang beragama Islam, maka dia akan mendapat pelbagai kemudahan, termasuk keistimewaan Melayu dan bumiputera. Fitnah yang tidak benar dijadikan hujah untuk terus mendesak kerajaan membuka dan menghapuskan dasar sedia ada.

Terbaru, menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam pertemuan dengannya NGO ultra kiasu mengatakan tidak salah untuk sesiapa pun membangkitkan hak mereka, termasuk sehingga menggugat hak dan kepentingan orang lain. Siapa kata salah? Persoalannya, pandangan yang dibangkitkan itu terlalu ultra kiasu. Itulah yang menjadi masalah. Tuntutan melampau sehingga menyentuh sensitiviti kaum dan agama yang telah termaktub dalam perlembagaan. Saya teringat kata-kata Dato Onn Jaafar, berbaik-baiklah dengan bangsa lain dalam pekerjaan mencari nafkah, tetapi kita mesti ingat bahawa sejarah asal-usul negara ini mesti diutamakan.

Kadangkala saya keliru, apakah tujuan perkara tersebut dibangkitkan? Saya cukup bimbang dengan sikap mahu menunjukkan diri supaya kita mahu diterima oleh semua orang. Maka kitapun mendapat tepukan gemuruh, sedangkan orang lain merancang sebaliknya. Saya cadangkan supaya kita sibukkan diri banyakkan berdialog dengan NGO-NGO ultra kiasu, baharulah kita akan dapat tahu betapa ultranya mereka. Sekali bertemu belum tentu dalam menyelami akal budinya.

Saya tidak mahu komen banyak soal tuntutan mendapatkan hak sama rata dan sama rasa dalam kek ekonomi. Saya sudah muak membahaskannya.

Nasihat saya, jika masih tidak pasti. Belajarlah. Kadangkala di kalangan masyarakat kita, ada yang faham, tetapi buat-buat tak faham.

Bagi yang tidak faham pula, tidak mahu belajar, tetapi ego. Akhirnya, keluarlah kenyataan atau pandangan yang amat menyakitkan hati. Sama juga isu judi dan arak yang telah dibangkitkan sebelum ini. Janganlah kerana ada kalangan ahli keluarga kita yang mungkin terlibat dengan arak dan judi, menjadikan kita mahu menghalalkannya. Matlamat tidak menghalalkan cara. Agama Islam tidak boleh disamatarafkan dengan agama lain.

Kenapa kita tidak bersatu dalam senyap seperti orang lain. Lihatlah Kongres Ekonomi yang dianjurkan oleh MCA 14 Ogos lalu dan kaitan dengan apa yang telah saya bangkitkan. Suara ultra kiasu parti ini begitu lantang dari sebelumnya, walaupun moralnya tidak sehebat mana. Sudahkah kita lupa artikel saya bertajuk bersatu dalam senyap? Ultra kiasu lantang mengkritik dan bersuara, segelintir sahabat mereka dalam parti komponen Barisan Nasional bukan hanya memujuk tetapi begitu berani dan secara terbuka menyuarakan hasrat ultra kiasu itu.

Walaupun suara ultra kiasu mereka ini mendapat tentangan hebat daripada beberapa pertubuhan Melayu seperti Perkasa, termasuk laporan polis turut dibuat. Saya yakin, selepas ini kerajaan akan mempertimbangkannya. Ya, kita tidak akan memberi kesemuanya apa yang dituntut, tetapi kita akan beri sedikit. Sedikit itulah kemenangan besar kepada mereka.

Inilah strategi demi strategi yang ditunjukkan oleh bangsa yang berjaya. Masihkah kita tidak mengambil pengajaran. Sebenarnya, selama ini strategi tersebut sudah lama berjalan, kita sebenarnya tidak mahu belajar daripada bangsa berjaya ini.

Berdasarkan sejarah, jika sesebuah bangsa itu mahu berjaya, bangsa tersebut hendaklah mengambil iktibar dan cuba aplikasikan resepi kejayaan bangsa lain. Dalam Islam tidak salah mengadaptasikan ciri-ciri bangsa berjaya sekiranya tidak bertentangan dengan asas beragama.

Ketika zaman kegemilangan Islam di bawah pemerintahan Khalifah al-Makmum, sumber ilmu dari Tamadun Yunani diadaptasikan oleh para ulama seperti al-Kindi, al-Farabi dan Ibnu Sina. Mereka menggunakan ilmu daripada tamadun tersebut untuk memajukan tahap keilmuan mereka tanpa mendewa-dewakan secara melampau ilmu tersebut. — Mingguan Malaysia

* Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.