Gerakan Menyusahkan Umno

Jika Pemuda Gerakan menganggap undang-undang hudud adalah impian peribadi Nik Abdul Aziz, anggapan itu sangat meleset. Sukar diagak, adakah Umno tidak mengajar Gerakan selama ini bahawa undang-undang hudud bukan persoalan Nik Abdul Aziz tetapi persoalan Islam?

Undang-undang hudud adalah impian semua orang Islam, bukan sekadar Nik Abdul Aziz secara individu. Jika ditakdirkan Nik Abdul Aziz tiada pun, undang-undang hudud tetap diimpikan oleh semua orang Islam.

Undang-undang hudud bukan undang-undang Nik Abdul Aziz, juga bukan undang-undang PAS. Jika perasaan keinginan kepada undang-undang hudud tidak ada dalam diri orang Islam, maka keislaman orang itu berhak diragui.

PAS tetap inginkan undang-undang hudud walau pun salah seorang orang kuat DAP mempersoalkannya. Itu tidak pelik kerana Karpal bukan Islam. Harap-harap Karpal bersuara atas kapasiti peribadi bukan kapasiti parti.

Ada dua kemungkinan dia mempersoalkannya. Mungkin kerana jahil dan mungkin kerana jahat. Kalau dia jahil, maka orang Islam berkewajipan mengeluarkannya daripada kejahilan itu. Tetapi, jika dia jahat, dia akan ditinggalkan dan diketepikan begitu sahaja.

Oleh kerana Karpal berkawan baik dengan PAS, maka kewajipan itu terpulang kepada PAS. Kesediaan Nik Abdul Aziz berhadapan dengan Karpal dalam perkara ini adalah langkah sangat tepat. Nik Abdul Aziz bersedia ditemui bila-bila masa atas isu itu.

Disela-sela berbalas kenyataan antara Nik Abdul Aziz dan Karpal itu, Pemuda Gerakan tumpang sekaki. Pemuda Gerakan bersuara atas kapasiti parti. Mereka tidak boleh menerima hudud sama seperti Karpal. Adakah Umno bersetuju dengan pandangan pemuda Gerakan ini?

Pemuda Gerakan juga seperti Karpal, tidak Islam. Mereka tidak bersetuju dengan hudud juga mungkin kerana jahil atau jahat.

Kalau mereka jahil, kawan rapat mereka ialah Umno. Ulama muda Umno wajar memahamkan mereka mengenai hudud ini.

Kalau mereka jahat pula, adakah mereka akan diketepikan sedangkan kenyataan itu dikeluarkan atas nama parti? Sudi dan sanggupkah Umno mengenepikan Gerakan?

Sehingga kini Umno belum bersuara. Jika parti itu bersuara pun, suaranya adalah suara untuk melaga-lagakan PAS dengan DAP. Isu hudud ini nampaknya sangat berkesan untuk tujuan itu.

Pendirian PAS adalah jelas. Undang-undang hudud akan diusahakan supaya boleh dilaksanakan. Jika ada yang tidak bersetuju, meja dialog sentiasa terbentang.

Bukan sekadar Nik Aziz dengan DAP, malah semua pemimpin PAS bersedia. Bukan sekadar dengan DAP malah dengan sesiapa sahaja termasuk dengan Umno.

Mengapa PAS mengambil pendirian begitu? Kerana pelaksanaan undang-undang hudud adalah impian semua orang PAS.

Cuma apa yang orang ramai ingin tahu sekarang ialah apa pendirian Umno dengan kenyataan pemuda Gerakan itu? Umno bersetuju dengannya?

Nampaknya kenyataan Pemuda Gerakan ini menyusahkan Umno dan bukan menyusahkan PAS atau DAP.

Sumber

No comments

Powered by Blogger.