Isytihar Harta Kepada Umum Tak Sesuai, Kata Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata cadangan untuk meminta semua Menteri Kabinet mengisytiharkan harta kepada umum adalah tidak sesuai untuk dilaksanakan.

Beliau berkata apa yang dilakukan pada masa ini di mana semua anggota Kabinet mengisytiharan harta mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah memadai.

"Saya isytihar harta saya kepada Perdana Menteri. Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan saya berpendapat ianya sudah memadai.

"Bagaimanapun, sebarang gesaan seperti itu yang membabitkan dasar kerajaan perlu dibincangkan dalam Kabinet," katanya kepada pemberita selepas menutup Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia Keempat di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia Datuk Seri Abu Kassim Mohammed yang berhasrat untuk meminta semua anggota kabinet mengisytiharkan harta kepada umum.

Pada Sabtu, Abu Kassim dilaporkan bersetuju dengan cadangan bekas presiden Majlis Peguam Datuk S. Ambiga supaya aset ahli-ahli politik terutama di kalangan anggota kabinet dan kehakiman didedahkan kepada umum untuk menunjukkan ketelusan.

Mengenai cadangan pengerusi DAP kebangsaan, Karpal Singh agar perogol kanak-kanak dikenakan hukuman mati, Hishammuddin berkata hukuman seberat mana pun tidak akan dapat menyelesaikan masalah sebenar.

Semalam, Karpal meminta kerajaan meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan agar perogol kanak-kanak boleh dikenakan hukuman mati kerana saban hari, semakin ramai kanak-kanak menjadi mangsa penjenayah termasuk perogol.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.