Kes Mati Dalam Tahanan Ditangguh 12 September

Oleh Frederick Luccas

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Penghujahan kes R Gunasegaran, yang mati semasa ditahan di lokap Balai Polis Sentul ditangguhkan ke 12 September depan selepas mahkamah mendengar keterangan dari semua saksi yang disenaraikan oleh peguam keluarga mangsa, M Visvanathan.

Visvanathan berkata, kematian Gunasegaran, 31, amat mencurigakan terutamanya berkenaan masa tepat kematian yang menimbulkan pelbagai persoalan.

"Masa kematian ini amat penting bagi kes ini, dan untuk itu kita telah menyenaraikan sejumlah tujuh saksi, di mana enam daripada mereka ialah pegawai polis yang menahan Gunasegaran dan saksi ketujuh ialah majistret Tuan Nazran Mohd Shah, yang mengesahkan kematian Gunasegaran di bilik mayat," jelas Visvanathan kepada pemberita di luar Mahkamah Majistret Jenayah Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata kenyataan pihak polis yang mengatakan Gunasegaran mati ketika cap jarinya sedang diambil juga menimbulkan keraguan.

"Kita sudah memfailkan permohonan untuk mendapatkan borang cap jari yang digunakan untuk mendapatkan cap jari Gunasegaran, kerana polis mengatakan mereka hanya sempat mengambil cap jari bagi satu jari sahaja.

"Ini tidak masuk akal kerana takkanlah Gunasegaran jatuh mati begitu sahaja selepas meletakkan satu cap jari?," soal Visvanathan.

Pegawai polis yang dipanggil sebagai saksi termasuk Sarjan Mejar Rajinder Singh yang merupakan pegawai yang membuat tangkapan, Lans Korporal Mohd Faizal yang dikenalpasti oleh saksi dalam perbicaraan sebagai anggota yang menendang Gunasegaran di dada dan empat lagi anggota polis yang terlibat secara langsung dalam tangkapan Gunasegaran.

Mangsa merupakan seorang pekerja kedai todi di Jalan Sentul dan pada petang 16 Julai 2009, Gunasegaran dan empat individu lain telah ditangkap oleh anggota polis yang berpakaian preman kerana disyaki terlibat dalam salah guna dadah dan di bawa ke Balai Polis Sentul untuk siasatan lanjut.

Kira-kira 7.40 malam pada hari yang sama, Gunasegaran telah dikejarkan dari lokap Balai Polis Sentul ke Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur kerana pengsan di dalam lokap, dan beliau disahkan mati dalam perjalanan oleh Pegawai Perubatan yang bertugas pada masa itu, Dr Al Hilmi Saim.

Laporan bedah siasat HKL menyatakan Gunasegaran mati disebabkan penyalahgunaan dadah, dan punca kematian di dalam sijil kematian yang dikeluarkan oleh polis juga menyatakan sebab yang sama.

Tidak berpuashati dengan sebab kematian Gunagesaran, kakaknya R Ganga Gowri telah memfailkan permohonan di mahamah untuk menjalankan bedah siasat kedua ke atas Gunasegaran untuk mengetahui punca sebenar kematian.

Laporan bedah siasat kedua yang dijalankan oleh Dr Prashant di Pusat Perubatan Universiti Malaya mendapati terdapat kesan kecederaan sebesar 28cm X 8cm X 5cm di dada Gunasegaran, dan dipercayai cedera akibat dipukul dengan kuat.

Visvanathan yang mewakili keluarga Gunasegaran berkata terdapat beberapa unsur di dalam kes ini yang perlu dipersoalkan berkenaan tindakan polis ke atas kematian Gunasegaran.

"Sehingga hari ini, tiada laporan polis dibuat untuk melaporkan kematian Gunasegaran di dalam lokap dan apabila saya menanyakan sebab laporan tidak dibuat kepada OCPD Balai Polis Sentul, ACP Zakaria Pagan dalam perbicaran lalu, beliau sendiri tidak dapat memberikan jawapan.

"Tidak membuat laporan polis apabila berlakunya satu kematian merupakan satu pelanggaran undang-undang yang seruis dan saya tidak dapat menerima bahawa polis sendiri yang patut mempertahankan undang-undang ini boleh mengabaikannya begitu sahaja," tegas beliau.

Kata beliau lagi, pelanggaran undang-undang oleh polis mencadangkan telah berlakunya satu salah laku yang serius yang telah membawa kepada kematian Gunasegaran, dan keluarga serta masyarakat awam berhak mengetahui apa sebenarnya telah berlaku semasa Gunasegaran ditangkap hingga menyebabkan kematian.

No comments

Powered by Blogger.