MB jumpa alat perakam dalam bilik pejabatnya

SHAH ALAM, 11 Ogos – Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menemui sebuah alat rakaman video yang disembunyikan dalam bilik pejabatnya dipercayai untuk mengintip aktiviti harian beliau.

Beliau berkata perkara itu hanya disedari kira-kira jam 6 petang semalam apabila alat berkenaan berbunyi sebagai isyarat bateri berkeadaan lemah.

“Saya sedang melakukan tugasan apabila terdengar bunyi dan sebaik mencari di seluruh bilik saya menemui alat perakam video itu yang disorok di belakang langsir bilik saya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Negeri di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata pengawal keselamatan yang dirujuk mengenai perkara itu menyatakan mereka tidak mengetahui mengenai kewujudan alat perakam video tersebut.
Beliau berkata pihaknya telah meneliti rakaman dari alat perakam video itu yang dipercayai telah berada dalam bilik berkenaan bagi satu tempoh yang agak panjang.
“Saya dah teliti tiada apa cuma rakaman menunjukkan saya bertemu dengan beberapa pihak dan urusan harian biasa,” katanya.

Abdul Khalid berkata beliau masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu sebaliknya akan meneliti rakaman kamera kawalan litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bangunan dan bilik pejabatnya terlebih dahulu.
“Saya akan teliti dulu rakaman CCTV sebelum serahkan kepada pihak berkuasa, jika mereka ingin datang untuk membuat pemeriksaan juga tiada masalah,” katanya. - BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.