PDRM Tempatkan 4,000 Anggota Dalam Ops Sikap Ke-22

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Seramai 4,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan untuk mengawal trafik di seluruh negara sempena Ops Sikap ke-22 yang dilaksanakan sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Polis Trafik Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof berkata anggota-anggota PDRM yang terlibat dalam Ops Sikap itu turut merangkumi pegawai polis di peringkat daerah dan juga dari unit tugas-tugas am.

"Selain skuad peronda, kami juga libatkan ramai anggota pada Ops Sikap kali ini termasuklah Ketua-ketua Polis Daerah dan anggota tugasan am, bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung sempena musim perayaan ini," katanya kepada Bernama selepas menghadiri program bual-bicara 'Hello Malaysia' di Wisma Bernama pada Jumaat.

Ops Sikap ke-22 akan bermula pada 3 September dan berakhir 17 September ini.

Beliau berkata PDRM juga akan menempatkan anggotanya di kawasan-kawasan 'hot spot' iaitu kawasan yang mencatatkan kadar kemalangan tertinggi sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Kami anggarkan pertambahan kenderaan empat ke lima kali ganda di jalan raya pada musim perayaan ini terutamnya sehari sebelum dan pada hari raya pertama. Jadi sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan, kami akan dirikan khemah yang menempatkan anggota polis statik di 100 lokasi hot spot yang meliputi jalan persekutan dan jalan negeri, manakala 33 lokasi (hot spot) lagi di lebuh raya," katanya.

Abdul Aziz berkata anggota-anggota polis yang memantau keadaan trafik di jalan persekutuan dan negeri akan bertugas selama 12 jam.

"Bagi anggota yang ditempatkan di lebuhraya, mereka akan bertugas selama 24 jam, begitu juga dengan polis peronda dan anggota ini juga bergantung kepada keadaan, iaitu antara satu ke dua orang pada tiap-tiap lokasi," kata Abdul Aziz.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.